MASA, SESUATU UNTUK 'DIINFAKKAN'
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT
kerana dengan limpah dan
kurnia-Nya, kita masih
lagi diberi nikmat iman dan Islam sehingga kini. Selawat dan salam ke atas
junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, kaum kerabatNya dan para pengikutnya
sehingga hari akhirat.
Firman
Allah SWT dalam surah al-’Asr yang bermaksud:
“Demi
masa. Sungguh manusia di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan
mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling
menasihati untuk kesabaran.”
Sesungguhnya
Allah SWT telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalam-Nya,
iaitu al-Quran. Melalui ayat di atas, kita ketahui bahawa manusia itu akan
sentiasa berada di dalam kerugian kecuali bagi mukmin yang sedar akan
kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan
kebaikan serta peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling
secara umumnya.
Masa itu emas.
Sungguh masa sangat berharga sehingga orang-orang terdahulu mengumpamakan masa
dengan emas. Malah ada yang mengatakan bahawa masa lebih berharga daripada
emas. Bayarlah emas seberapa banyak pun tetap tidak boleh mengembalikan sedetik
masa yang telah berlalu.
Saya yakin dan
percaya, kita semua sedar akan kepentingan masa. Namun, berapa ramaikah yang
berjaya menyusun kehidupannya dengan baik tanpa ada pembaziran pada masanya.
Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Dua nikmat
yang sering manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat
Bukhari)
Ada mahasiswa
yang mampu menguruskan masa dengan baik sehinggakan setiap detik masa yang ada
diinfakkan untuk melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah SWT.
Ada juga sebahagiannya yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan
masa untuk perkara yang menggembirakan hati mereka semata-mata tanpa
menghiraukan yang lain. Ada juga yang mampu menggunakan masa dengan baik pada
mulanya. Tetapi, tidak kekal lama. Akhirnya kembali meneruskan tabiat yang
lama.
Sahabat-sahabat yang dikasihi
kerana Allah SWT,
Secara
puratanya, keberadaan kita di bumi Mesir ini hanyalah selama empat hingga enam
tahun sahaja. Masa yang sangat singkat untuk kita garap segala mutiara ilmu
yang terdapat di sini. Sekiranya sebahagian besar daripada masa kita dihabiskan
untuk perkara yang tidak berfaedah, maka semakin berkuranglah masa yang kita
ada untuk melangsaikan amanah kita di bumi kinanah ini. Sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila
seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu
Daud)
Nabi SAW menekankan
supaya apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka lakukanlah dengan
bersungguh-sungguh. Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah
bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat
dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Justeru, saya
menyeru kepada semua sahabat-sahabat agar kita saling memperingati antara satu
sama lain untuk memanfaatkan masa yang terluang dengan sebaiknya. Janganlah
disebabkan sikap kita yang sambil lewa pada hari ini akan menyebabkan kita
menyesal di masa akan datang. Sungguh benda yang paling jauh adalah masa yang
telah berlalu!
Nabihah binti Ahmad Rosdi
Timbalan Setiausaha Agung II
Badan Kebajikan Anak Wilayah
Persekutuan Mesir
Sesi 2014/2015
"BKAWM Keluarga Kita"
"Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan"
Satu Fikrah Satu Amal
Comments
Post a Comment