Tinta Dakwah: Keistimewaan dan Kelebihan Sayyidul Ayyam


Bil 01: Keistimewaan dan Kelebihan Sayyidul Ayyam
          

            Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah SWT yang maha Pengasih lagi maha Penyayang . Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya kita masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan ini. Dikesempatan kali ini, saya ingin berkongsi keistimewaan dan kelebihan hari jumaat Saiyidul Aiyam .



    1. Jumaat penghulu segala hari.
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan
akan dikabulkan permintaannya.”(Hadith riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hari jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah SWT. Ianya hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah. Pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam AS, baginda diturunkan daripada syurga ke muka bumi. Hari itu juga wafatnya Adam AS, dan Allah SWT mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat. Hari Jumaat juga akan terjadinya hari Kiamat.”(Hadith riwayat Ibnu Majah)

    2. Membaca surah Al-kahfi disinari cahaya antara dua Jumaat.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah al-kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.”(Hadith riwayat Hakim)


     3. Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah SWT memberi rahmat 10 kali kepadanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah memberinya rahmat 10 kali).”(Hadith riwayat Al Baihaqi)

     4. Diampuni dosa.
“Sesiapa yang berwudhu’ dan kemudian dia pergi ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan) , maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan berikutnya.”(Hadith riwayat Tirmizi)

    5. Doa tidak ditolak.
Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba muslim memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.”(Hadith riwayat Abu Daud)

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya darpada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.”(Hadith riwayat Tirmizi)

     6. Kebaikan dengan memotong kuku.
Ibnu Mas’ud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.” 

      7. Diselamatkan daripada fitnah kubur.
Rasulullah bersabda, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat ataupun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah dari fitnah kubur.”(Hadith riwayat At-Tirmizi)



      8. Nabi Adam dicipta dan disingkirkan dari syurga.
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itulah, Adam AS diciptakan dan pada hari itu jugalah nabi Adam dikeluarkan dari syurga.”

       9. Berlakunya hari Kiamat.
“Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seseorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”


“Hari yang dijanjikan ialah hari Kiamat. Hari yang disaksikan ialah hari A’rafah, dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat . Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdhal daripada hari Jumaat.”



Wallahu a’lam .



DISEDIAKAN OLEH:
UNIT SURAU SRI PUTRA,
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN,
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]