[ KALAM PIMPINAN SETIAUSAHA AGUNG : KEPENTINGAN PENGURUSAN MASA DAN INDIVIDU ]



Dengan nama Allah yang Pengasih lagi Penyayang.

Segala puji bagi Allah SAW yang wujud-Nya disaksikan oleh makhluk, Keesaan-Nya dituturkan oleh langit dan bumi, mengetahui segala yang terkandung dalam hati, melihat semua yang tersembunyi, Maha Suci Allah SAW dari segala yang menyerupai, membantu, dan mendampingiNya. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Selawat dan salam tercurah kepada penutup para rasul dan nabi, yang diutus sebagai rahmat bagi alam semesta, sayyidina Muhammad SAW, keluarganya perahu penyelamat, dan sahabatnya yang berbakti. 

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Nahl, ayat 18)

Berdasarkan kepada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT amatlah luas dan melimpah. Justeru itu, kita sebagai mahasiswa Islam yang berada di bumi Mesir perlulah manfaatkan nikmat masa yang tidak terhingga nilainya ini sehingga disebutkan oleh para ulamak, “Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka pedang itu akan memotong kamu”.

Sebagaimana kita lihat pada peribadi agung Rasulullah SAW sebagai suri tauladan yang sempurna. Tiada sesaat pun daripada waktunya yang digunakan untuk perkara yang sia-sia. Malah baginda merupakan seorang yang mampu menyusun waktunya dengan baik dalam menyampaikan risalah dakwah Islam sehingga segala perbuatan yang dilakukan oleh baginda menjadi contoh ikutan para sahabat ketika waktu tersebut bermula daripada saat bangun sehinggalah tidur.

Sebagai seorang penuntut ilmu yang berada di Mesir, banyak tanggungjawab yang kita perlu galas sama ada dari segi akademik, persatuan, di rumah dan sebagainya. Janganlah disebabkan tanggungjawab-tanggungjawab tersebut, kita mengasingkan diri malah mengabaikan tanggungjawab yang lain. Maka di sini, kita perlu bijak dalam menyusun waktu kita dengan memahami kaedah-kaedah yang telah disusun oleh ulamak di dalam fiqh aulawiyat.

Kesimpulannya, kita sebagai mahasiswa Islam perlulah mempersiapkan diri dengan melatih diri dalam menyusun waktu dengan baik bagi menghadapi cabaran dakwah yang lebih besar akan datang. Harapan saya dalam kalam ini agar semua mahasiswa di Mesir dapat memanfaatkan masa dengan sebaiknya terutama dalam waktu peperiksaan ini. Semoga semua dapat dilapangkan dada ketika menjawab peperiksaan dan diberikan keputusan yang terbaik buat diri kita.




Amirul Hakim bin Mohd Razib
Setiausaha Agung 
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
BKAWM sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]