[ RISALAH BIAH SOLEHAH Bil 03: KERENDAHAN HATI, KETULUSAN BUDI ]


Bil 03: Kerendahan Hati, Ketulusan Budi

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan hamba-hamba ar-Rahman ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila mereka disapa oleh orang yang jahil (dengan kata-kata yang kesat) mereka menjawab dengan ucapan yang baik." (Surah al-Furqan 25 : 63)

Al-Shahid Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa inilah antara ciri pertama ibad ar-Rahman atau sifat hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah dan Yang Memberi Rahmat. Mereka berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah hati dan menjaga diri daripada terkesan dengan kata-kata yang dilemparkan oleh orang yang jahil sebagai bukti ketinggian jiwa mereka.


Manakala al-'Allamah Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa antara sifat yang dikehendaki Allah SWT menerusi firman-Nya ini adalah supaya menjauhi kesombongan dan keangkuhan. Menjauhi keangkuhan diri adalah kewajipan bagi setiap hamba. Ia merupakan syarat utama dalam mencapai makrifatnkepada-Nya (mengenal Allah). Mana mungkin keangkuhan dapat seiring dengan kerendahan hati. Ia seumpama mencampurkan perkara maksiat dan ketaatan.

Kerendahan Hati Dua Umar

Mari kita lihat bagaimana Khalifah Islam kelima, Umar Abdul Aziz menterjemahkan firman Allah SWT dalam hidupnya. Ketika seorang tetamu kerajaan mengingatkan kepadanya bahawa api minyak pelita yang digunakan oleh khalifah untuk menulis hampir terpadam dan seeloknya diisi kembali oleh penjaganya, lalu Umar menjawab, " Sekarang, masa bagi penjaga rehat dan tidur."

Kemudian Umar bangun lalu mengisi minyak pelita itu sendiri. Perbuatannya itu mengejutkan tetamu tersebut. Kemudian beliau bertanya, "Wahai Amirul Mukminin, mengapakah tuan sendiri yang melakukannya?"

Dengan perasaan rendah hati, Umar menjawab, "Aku hanyalah Umar walau apa-apa keadaan sekalipun."

Tindakan yang sama juga diambil oleh Saidina Umar al-Khattab. Ketika Urwah bin Zubayr melihat khalifah Islam kedua ini memikul bekas berisi air yang diambil dari kawasan awam, Urwah bertanya, "Mengapakah engkau melakukan kerja seperti ini duhai khalifah?"

Umar menjawab, "Ketika para utusan dan delegasi datang kepadaku, mereka tunduk dan patuh terhadap ucapanku sehingga terkadang muncul benih-benih kesombongan dalam hatiku. Oleh sebab itulah aku lakukan pekerjaan ini untuk menghilangkannya."

Subhanallah! Lihatlah betapa jelasnya kerendahan hati dua khalifah agung ini, walaupun mereka mampu memiliki dunia dan isinya. Namun, kerana anugerah al-Rahman itulah yang didambakan,maka segala keangkuhan dan kebesaran diri ditundukkan dengan rasa rendah hati.

Perhiasan Akhlak

Renunglah sifat rendah hati Abu Hurairah RA Bukankah sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Gabenor Madinah, umat Islam ketika itu selalu melihat beliau memikul muatan kayu untuk dijual bagi memenuhi keperluan keluarganya?

Bahkan Mu'az bin Jabal RA juga menzahirkan sifat rendah diri. Ketika beliau baru sahaja menerima baju sebagai hadiah daripada Khalifah Umar al-Khattab, beliau gunakannya untuk membebaskan enam orang hamba sedangkan ketika itu beliau adalah Gabenor Yaman.

Sheikh Abu al-Qasim dalam ar-Risalah al-Qusyairiyyah juga menukilkan satu kisah berkenaan sifat rendah hati seorang hamba sahaya. Apabila para bangsawan bersetuju meletakkan harga hamba itu dengan bayaran seribu dirham, hamba itu berkata, "Tuan, sesungguhnya aku tidaklah mahal seperti itu. Cukuplah kamu bayar dengan beberapa dirham sahaja dan ketahuilah akhlak yang ada padaku inilah yang lebih mahal daripada 1000 dirham yang telah engkau tetapkan (harganya).

Subhanallah! Betapa kerendahan hati telah menghiasai jiwa mereka sehingga mereka menjadi teladan sepanjang zaman. Ia menjadi penyubur benih kemuliaan untuk mencapai redha Allah SWT. Benarlah kata Sufyan al-Thawri, “Sesungguhnya orang yang paling mulia ialah ilmuwan yang zuhud, ahli feqah yang sufi, orang kaya yang rendah hatinya, orang fakir yang bersyukur serta pembesar yang sentiasa senyum kepada golongan di bawahnya." Semoga kita semua dapat mendidik hati untuk bersifat rendah diri, kerana tatkala kita sujud itulah waktu kita yang paling dekat dengan Allah. Secara analoginya, semakin kita rendah diri semakin dekat kita dengan Allah SWT. 

Unit Biah Solehah

Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir

Sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah