[ KALAM PIMPINAN NAIB PENGERUSI HEWI: RIBATKAN UKHUWAH DENGAN IKATAN IMAN DAN TAQWA ]

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Tuhan pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda dan seluruh umat muslimin muslimat.

Kekuatan sesebuah organisasi terletak kepada kekuatan kesatuannya. Inilah yang menjadi tunggak utama dalam persatuan-persatuan Islam yang dilandaskan dengan ukhuwah Islamiyah. Ukhuwah Islamiyah merupakan anugerah yang suci dan nikmat daripada Allah SWT yang dicampakkan ke lubuk hati hamba-hambanya yang beriman dan ikhlas. Sepertimana firman Allah SWT dalam surat Al-Hujurat ayat 10: 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

As-Syahid Imam Hasan al-Banna menyebutkan berkaitan erti persaudaraan, “Yang aku kehendaki dengan ukhuwah adalah hendaklah mengikat hati dan roh dengan ikatan akidah kerana akidah itulah ikatan yang paling kemas dan mahal.” Maka jelaslah kepada kita bahawa asas kepada ukhuwah itu adalah akidah dan iman kepada Allah SWT.

Sebagai sebuah persatuan yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar dan panduan utama, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) amat menitik beratkan aspek ukhuwah Islamiyah dan kesatuan yang mengikat hati anak-anak Wilayah Persekutuan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Berdasarkan ayat ini, telah jelas bahawa ukhuwah yang terbina membentuk kesatuan dan kesatuan itu hasil daripada keterikatan hati dan keterlibatan individu dengan sesebuah organisasi. Binalah dan jalinkanlah hubungan persaudaraan sesama kita bagi membangunkan satu kekuatan yang sebenar. Lebih-lebih lagi dalam perjuangan menegakkan ISLAM di atas muka bumi Allah SWT melalui kesatuan yang terbina.

Justeru itu, cita-cita tertinggi dalam persahabatan dan persaudaraan yang dibina adalah persaudaraan yang berpanjangan hingga ke akhirat sesuai dengan ayat Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf yang bermaksud:

“Pada hari akhirat sahabat-sahabat karib setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain kecuali orang yang bersahabat berdasarkan iman dan takwa.”

Ribatkanlah ukhuwah antara kita sesama ahli BKAWM dengan ikatan iman dan takwa serta berukhuwahlah dengan aqidah yang benar agar kesatuan yang terbina dalam BKAWM ini berterusan sehingga hari bertemunya kita dengan Sang Pencipta. Semoga Allah SWT memelihara kesatuan BKAWM beserta ahlinya untuk terus menegakkan syiar Islam di bumi ini.


Ustazah Nur Hidayahtul Aiman binti Johan,
Naib Pengerusi HEWI,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
sesi 2015/2016


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]