[KALAM PIMPINAN: MELESTARIKAN KESATUAN DALAM KELUARGA BKAWM]
Alhamdulillahirabil
‘Alamin. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Agung, yang
mengikat hati-hati hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi
Mustofa, Muhammad SAW serta seluruh ahli keluarga baginda SAW. Juga kepada para
sahabat baginda yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Allah Rabbul Jalil berfirman dalam kalamNya
yang agung:
وَاعْتَصِمُواْ
بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ
“Maka
berpegang teguhlah kalian dengan tali Allah SWT. Serta janganlah kalian
berpecah belah.” (Surah Hud, ayat 118)
Daripada
ayat yang telah dinyatakan di atas jelas menunjukkan larangan Tuhan sekalian
alam daripada kita berpecah belah serta hendaklah kita kekal di atas talinya
iaitu Islam. Agama Islam merupakan agama dinamik untuk umat manusia. Agama ini
dimulai dengan gagasan tauhid, iaitu keesaan Allah SWT dan menjauhkan segala
kefahaman syirik, atau mempercayai sesuatu yang membawa kepada syirik.
Sejak
daripada awal penurunan syariat lagi, agama Islam masyhur dengan ketinggian dan
kehebatannya menyatukan para muslim dengan ikatan satu akidah. Sehingga
menimbulkan kegerunan di hati musuh-musuhnya. Kesatuan umat Islam dapat dilihat
dan dihayati dalam ibadah-ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT melalui
Kekasih kita yang agung, Nabi Muhammad SAW seperti sembahyang, puasa, zakat dan
haji. Semuanya dilaksanakan dengan niat yang satu tanpa mengira darjat dan
pangkat.
Selain
itu, Islam mengikat hati penganutnya dengan konsep kesamarataan dalam masyarakat.
Yang tua mengasihi yang muda, manakala yang muda menghormati yang tua. Yang
kaya berkongsi rezeki, manakala yang miskin saling membantu. Sepertimana akhlak
dan contoh yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi SAW, Saidina Abu Bakar as-Siddiq
ketika zaman penindasan umat Islam di Mekah. Beliau ditanya oleh bapa beliau,
Abu Qahafah:
“Wahai
anakku, aku dapati engkau memerdekakan hamba-hamba yang lemah. Kenapa kamu
tidak memerdekakan hamba-hamba lelaki yang kuat agar mereka mampu membela dan
menolong kamu.”
Jawab Saidina Abu Bakar Radiallahu’anhu:
“Wahai
ayahku, sesungguhnya apa yang ingin aku lakukan, aku lakukannya kerana Allah
SWT.”
Melalui
sirah yang ditunjukkan oleh sahabat ini menunjukkan bahawa umat Islam merupakan
sebuah keluarga. Meskipun ada sebahagian umat yang lemah, yang kaya, mahu pun
yang berjawatan. Tetapi, semuanya memainkan peranan di posisi masing-masing
serta saling melengkapi antara satu sama lain. Kesatuan umat Islam ini bukanlah
sekadar kesatuan dalam ritual dan ibadah khusus yang ditunjukkan oleh
masyarakat selama ini. Tetapi kesatuan ini seharusnya menjelma dalam semua
aspek kehidupan kita. Bagi
mencapai makna sebenar kesatuan dalam Islam, kita selaku individu muslim
haruslah berusaha bersungguh-sungguh dalam beramal dengan ajaran Islam yang
sebenar sebelum ianya diterjemahkan ke dalam masyarakat.
Kesatuan tulen
inilah yang seharusnya dilestarikan di dalam keluarga BKAWM, iaitu kesatuan
akidah. Justeru, hendaklah kita menjauhi segala bentuk kesatuan yang bersifat
material, emosi dan kepuakan. Melalui
kesatuan akidah inilah seterusnya akan menghindarkan kita daripada saling
berpuak-puak, bermasam muka serta berpecah belah. Adalah menjadi tanggungjawab
kita agar memelihara kesatuan di dalam persatuan yang telah dipelopori oleh
insan-insan terdahulu yang merupakan sebuah medium dakwah dan kebajikan kepada
anak-anak Wilayah Persekutuan ini.
Akhir sekali,
BKAWM mengharapkan agar visi yang digariskan iaitu, “Kefahaman, Kebersamaan dan
Kebajikan” dapat tercapai menerusi pimpinan dan ahli. Selain itu, diharapkan
agar semua peringkat dapat memainkan peranan di posisi masing-masing dengan
kefahaman yang jitu dan tulen agar kesatuan kita tidak goyah digoncang
anasir-anasir luar yang berniat menghancurkan kesatuan ini. BKAWM Keluarga
Kita!
Nabihah binti Ahmad Rosdi
Naib Pengerusi HEWI
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2016/2017
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment