[ INFO IQTISODIAH: PERANAN WAKAF DALAM EKONOMI ISLAM ]


Peranan Wakaf Dalam Ekonomi Islam

Ekonomi Islam memainkan peranan penting dalam kehidupan era globalisasi di dalam perkembangan rezeki manusia. Aspek ekonomi Islam meliputi banyak perkara seperti infaq, zakat, pusaka serta wakaf. Wakaf memainkan peranan penting sebagai institusi ekonomi umat Islam. Ianya perlu dikembangkan dengan cara yang baik dalam membantu perkembangan ekonomi Islam dengan cara mekanisme perkongsian harta kekayaan seseorang dengan orang lain.

Konsep Wakaf
Wakaf berasal dari perkataan Arab: waqafa. Ia membawa berbagai pengertian, antaranya: berhenti, mencegah dan menahan.
Para fuqaha sepakat mentakrifkan wakaf mengikut istilah bahasa dengan al-habs ertinya menahan, kerana perkataan al-habs itu lebih hampir kepada pengertian syarak. Lebih-lebih lagi perkataan al-habs itu banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa buah hadisnya, antaranya:
" حَبِّسِ الأَصْلَ وَسَبِّلِ الثَّمَرَةَ "
 “Wakafkanlah tanah itu dan berikanlah hasil buahnya sebagai sedekah” – HR Bukhari
Kedudukan wakaf dalam Islam sama seperti zakat yang memindahkan sebahagian daripada kekayaan masyarakat kepada mereka yang memerlukan. Apa yang membezakan zakat dan wakaf ialah zakat adalah satu amalan diwajibkan dan apa yang disumbangkan itu tidak akan kekal di mana sumbangannya akan digunakan dalam bentuk hangus. Wakaf khususnya yang berbentuk produktif ialah menggabungkan unsur simpanan tetap dan pelaburan. Aset wakaf adalah berbentuk kekal dan boleh dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah pada masa hadapan.
Menurut cerita Anas bin Malik, bahawa Abu Talhah adalah seorang Ansar yang paling banyak memiliki kebun kurma di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayangi ialah kebun kurmanya di Bairuha, yang terletak berhadapan masjid. Rasulullah SAW sendiri pernah mengunjunginya dan meminum airnya yang sangat nyaman.
Apabila turunnya wahyu Allah SWT kepada Rasulullah SAW,surah ali-Imran, ayat 92:
لَن تَنَالُوا الْبِرّ َحَتَّى ٰتُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ -  3:92
Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sebenarnya
sehingga kamu belanjakan sebahagian daripada harta yang paling
kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu,
maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
(Surah ali-Imran, ayat 92)

Maka Abu Talhah berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta yang paling aku sayang ialah hartaku di Bairuha dan sesungguhnya hartaku di Bairuha itulah diwakafkan ke jalan Allah SWT”. Amalan mewakafkan harta ke jalan yang baik akan diberikan oleh Allah SWT ganjaran pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.
Peranan wakaf dalam ekonomi Islam.
Sejarah membuktikan bahawa wakaf memainkan peranan  yang sangat signifikan dalam ekonomi sesebuah negara. Wakaf telah menjadi alat agihan semula kekayaan bagi mencapai pembangunan ekonomi dalam konteks yang menyeluruh. Ini kerana wakaf telah memainkan peranan untuk menyediakan pendidikan, pusat kesihatan, tempat ibadat serta menyediakan kemudahan jalan raya, jambatan dan sebagainya.
Jika ditinjau pada zaman Rasulullah SAW, sahabat nabi, Uthman bin Affan telah mewakafkan telaga ar-Raumah yang menjadi sumber bekalan air utama untuk umat Islam ketika itu bahkan sehingga sekarang.Air merupakan kemudahan asas yang diperlukan dalam kehidupan.
Menurut Prof Murat Cizakca,cendiakawan ilmu dari Turki, wakaf wang yang dilaksanakan semasa zaman Kerajaan Uthmaniyyah pula banyak membantu dalam menyediakan pelbagai aktiviti pembangunan ekonomi masyarakat seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan lain-lain aktiviti yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat. Wakaf wang dilaksanakan dengan cara wang yang diwakafkan tersebut dilaburkan dan hasil keuntungan dibelanjakan untuk benefisiari wakaf. Ini bermakna modal asal yang wang wakaf kekal dan tidak berkurangan.
Pada masa ini peranan wakaf dalam ekonomi Islam dapat dilihat diseluruh dunia. Di Malaysia sahaja, pengurusan dan pentadbiran wakaf diletakan bawah Majlis Agama Negeri masing-masing serta penubuhan JAWHAR bertujuan untuk memastikan bahawa pentadbiran harta wakaf, zakat, mal dan haji di seluruh negara lebih sistematik, tersusun dan berkesan. Projek-projek ekonomi yang dilaksanakan di Malaysia adalah menggunakan harta wakaf itu sendiri, hasil pulangan daripada harta wakaf atau daripada kumpulan wang dana saham wakaf.
Manakala di Singapore 170,000 pekerja Islam membuat caruman sebanyak $2-$11.50 sebulan menggunakan mekanisme CPF(Tabung Simpanan Pekerja) dan berjaya mengumpul sebanyak $6 juta setiap tahun. Hasil daripada perolehan harta wakaf diagihkan untuk masjid, madrasah, kebajikan, pengebumian, orang miskin dan lain-lain.
Di United Kingdom, penubuhan Islamic Relief telah memperkenalkan beberapa bentuk wakaf untuk membantu umat Islam di seluruh dunia iaitu wakaf air dan sanitasi, wakaf korban, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan, wakaf anak yatim, wakaf bantuan kecemasan, wakaf pendapatan generasi dan wakaf dana masa hadapan. Antara pihak yang mendapat manfaat daripada pelbagai projek wakaf ini ialah kanak-kanak Palestin, mangsa perang Bohsia, rakyat miskin di Bangladesh, Mali, Sudan dan sebagainya.
Banyak lagi peranan wakaf yang bergerak diseluruh dunia dalam membantu ekonomi masyarakat Islam. Sesuai dengan konsep Islam sebagai sistem hidup yang lengkap,amalan tolong-menolong dan sama membantu, telah digariskan dengan jelas dalam syarak. Ini bersesuaian dengan pepatah “berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing”, di mana amalan tolong-menolong seharusnya bermula daripada keluarga terdekat,saudara mara,jiran tetangga sehinggalah kepada masyarakat dan umat sejagat. Apa yang jelas, wakaf amat pentingdalam memenuhi sebahagian kekurangan di dalam masyarakat di samping memangkin perkembangan ekonomi masyarakat.

Disediakan oleh:
Mohd Asrool Hasbullah bin Shuib,
Juruaudit,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Pesekutuan Mesir sesi 2017/2018



0 comments:

Post a Comment

Blogroll

Loading...