[ TINTA DAKWAH: SUDAHKAH KITA BERTAQWA? ]


Sudahkah Kita Bertaqwa?
Taqwa menurut al-Quran:
Dalam kitab Minhaj al-Abidin, Imam Ghazali menyenaraikan makna taqwa mengikut al-Quran iaitu:
1)   Taat
2)   Takut
3)   Membersihkan hati daripada sebarang kederhakaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Siapa yang taat kepada Allah dan rasulNya, dan takut kepada Allah serta bertaqwa kepadaNya maka mereka ialah orang yang beruntung." (Surah an-Nur:52)
Taqwa dari segi bahasa bererti pemeliharaan, penjagaan atau perlindungan. Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada dua bahagian:
Pertama, taqwa fardu iaitu istiqamah dan taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, taqwa adab iaitu menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari kiamat kelak.
Orang yang bertaqwa akan sentiasa memelihara semua batas dan hukum-hukum agama. Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah, maka Allah akan memeliharanya dan Allahlah sebaikbaik Pemelihara.
Soalnya sekarang, adakah kita telah dipelihara oleh Allah? Jawapannya bergantung pada sejauh mana kita telah memelihara hukum-hakam, batasan dan segala kehendak Allah. Jelas sekali tahap ketaqwaan kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Hasilnya, hingga kini kita belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Jalan untuk mencapai taqwa itu bermula dengan beberapa langkah yang bersinambungan. Antara langkah-langkah itu ialah:
1-      Menuntut ilmu dan beramal dengannya
2-      Mujahadah dan istiqamah
3-      Bertaubat dan melakukan kebaikan
Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa dalam al-Quran, antaranya:
1-  Beriman dengan perkara-perkara ghaib
2-  Menafkahkan sebahagian rezeki
3-  Memandang kehidupan akhirat yang kekal dan hakiki berbanding dunia
Antara kelebihan taqwa yang dipetik daripada al-Quran:
1-  Mendapat bantuan dan perlindungan. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya)." (Surah al-Jathiyah 45:19)
2-  Penyelesaian masalah dan rezeki Firman Allah SWT:
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpahlimpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A’raf 7:96)
3-  Diterima amalan. Firman Allah SWT:
"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang -orang yang bertaqwa." (Surah al-Maidah 5:27)
Kesimpulannya, hanya orang yang dicelikkan mata hatinya dengan taufiq dan hidayah sahaja akan memburu taqwa. Hati orang yang bertaqwa akan dipenuhi dengan rasa malu, cinta, takut, kagum, harap dan rasa hina dengan Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahawasanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Surah al-Anfal 8:2)
Disediakan Oleh:
Natasya Amirah binti Abdul Jalil,
Timbalan Unit Surau,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2017/2018.

0 comments:

Post a Comment

Blogroll