[ KALAM PIMPINAN: BAHANA MENJUAL AGAMA ]







[ KALAM PIMPINAN: BAHANA MENJUAL AGAMA ]

Bismillahirrahmanirrahim,
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabatnya.

Firman Allah SWT:
(إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ )

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Surah ali-Imran: ayat 19)

Kurangnya ilmu, nipisnya iman dan kuatnya dorongan hawa nafsu merupakan antara faktor yang melemahkan kita dalam menyampaikan risalah Islam. Sedangkan ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan akan dipersoal di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
 
(وَادْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ)

“Dan serulah mereka ke (jalan) Rabbmu, dan janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Rabb” (Surah al-Qasas: ayat 87)

Allah telah mencipta manusia dengan sebaik-baik ciptaan sepertimana yang telah dirakamkan dalam surah at-Tin bahkan Allah SWT juga telah memberi taklifan khusus kepada manusia untuk memakmurkan bumi Allah dengan syiar-syiar Islam.

Akan tetapi, realiti fenomena yang berlaku dalam kehidupan umat zaman kini adalah sebahagiannya yang sanggup menjadikan agama sebagai alat tarikan untuk mendapat kelazatan duniawi. Mereka inilah yang disebut sebagai “Penjual Agama”, iaitu mereka yang memperguna dan menggadaikan agama Allah demi menjana duniawi, kepentingan serta kemewahan peribadi.

Mereka menggunakan ayat Allah demi kepentingan diri dan mempelajari ayat Allah dengan tujuan yang salah. Sebagai contoh, isu yang pernah tular di tanah air berkaitan Valet Doa, iaitu pakej khidmat doa di Kota Mekah dengan harga tertentu sedangkan hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT bukannya manusia. Selain itu, ulamak yang dikurniakan ilmu yang tinggi kemudiannya mengambil peluang untuk meraih keuntungan dan manusia yang bertopikan Islam walhal berniat untuk menjatuhkan dan mengubah sistem Islam serta lain-lain lagi.

Pada hakikatnya, sejarah fenomena ini telahpun berlaku seawal zaman Nabi Musa a.s, firman Allah SWT:

(وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ)

"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat" (Surah al-A'raf: ayat 175)

Sebahagian ulamak menafsirkan surah al-A'raf, ayat 175 bahawa ia mengisahkan tentang seorang ulama yang bernama Bal'am bin Ba'ura dari kalangan Bani Israil yang dimakbulkan doanya oleh Allah SWT. Kisahnya berlaku apabila nabi Musa sedang beristirehat di satu negeri bersama pengikutnya. Salah seorang daripada kabilah tersebut datang kepada Bal'am seraya mengkhabarkan tentang berita itu dan mengatakan, "Musa adalah seorang yang sangat kuat dan dia bersama pengikutnya yang sangat ramai, jika mereka mengalahkan kita, maka mereka akan membinasakan kita". Oleh itu, dia menyuruh Bal'am agar berdoa kepada Allah supaya mengusir Nabi Musa dan pengikutnya keluar.

Kemudian Bal'am berkata bahawa jika dia berbuat demikian, maka akan hilang dan lenyap dunia dan akhiratnya. Maka, kaumnya terus-menerus memujuknya agar melakukan perkara demikian sehinggalah Bal'am berdoa seperti apa yang diminta. Akhirnya, Allah SWT mencabut kelebihan yang ada pada dirinya. Begitulah Allah memberi balasan bagi mereka yang berbuat sedemikian dan pada ayat yang seterusnya diumpamakannya seperti anjing.

Sebahagian ulamak yang lain juga menafsirkan bahawa seorang ulamak yang berasal daripada Bani Israel terkenal dengan doanya yang mustajab. Nabi Musa mengutusnya kepada Raja Madyan untuk menyerunya agar menyembah Allah SWT. Kemudian, raja tersebut memberinya kekuasaan dan hadiah yang banyak. Akhirnya dia mengikuti agama raja tersebut dan meninggalkan agama Nabi Musa.

Ketahuilah bahawasanya harta, pangkat, keluarga, populariti dan sebagainya hanyalah ujian daripada Allah SWT. Selayaknya kita sebagai hambaNya untuk melaksanakan perintah serta menjauhi laranganNya tanpa mengharapkan apa-apa balasan melainkan keredaanNya, seperti yang dilakukan para Anbiya', firman Allah SWT:

(وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ)

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam." (Surah ash-Shu'ara: ayat 109)

Diriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda: “Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang semestinya dicari untuk memperoleh reda Allah, kemudian ia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan kemewahan dunia, maka ia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat.”
(HR. Abu Daud)

Dalil tersebut memberi pengajaran kepada kita selaku hambaNya agar melakukan sesuatu perkara dengan hati yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT kerana ia merupakan kunci utama yang dapat mengangkat amalan kita kepada Rabbul Izzati bahkan sifat kkhlas itu haruslah dicari, bukan hanya ditunggu.

Ia juga memberi tauladan kepada kita selaku penuntut ilmu untuk mendidik hati agar sentiasa ikhlas dengan niat untuk mencari keredaanNya serta membuang kejahilan dalam diri, bukannya meraih populariti demi mengejar keuntungan duniawi. Ilmu itu adalah jambatan dan antara wasilah bagi hamba untuk mendekatkan diri dengan Rabbnya. Jadikan ilmu yang kita pelajari seiring dengan amal. Semakin tinggi ilmu yang dipelajari, semakin luas amal ketaatan yang dilakukan agar mendapat nilai dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Terapkanlah nilai-nilai Islam yang telah diajar oleh baginda Nabi Muhammad SAW kerana agama Islam itu adalah agama yang paling sempurna seperti yang telah dikhabarkan dalam al-Quran,

(الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا)

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam sebagai agama bagimu" (Surah al-Maidah: ayat 3]

Akhir sekali, perlulah kita sedari bahawa agama Islam ini telah menjadi fokus utama bagi musuh-musuh Allah untuk menjatuhkannya sejak awal kebangkitan Islam. Dengan umur dunia yang sudah kian meningkat tua, yang semakin tua, semakin berleluasanya maksiat, serta realiti segelintir masyarakat yang kurang pemahamannya berkaitan agama amat memberi impak yang negatif. Maka, kita selaku penuntut ilmu, dalamilah ilmu agama sebaiknya supaya kelak kitalah yang menjadi pembenteng dan pertahanan bagi Islam. Semoga kita semua tergolong dalam mereka yang sentiasa menegak dan mempertahankan kalimah Allah sehingga hujung nafas, bukan mereka yang akhirnya menyeleweng malah menjatuhkan agama. Wallahu a'lam.

Disediakan oleh:
Fathimatuz Zahra' binti Rasid,
Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi 2017/2018.


"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]