[ KALAM PIMPINAN: ERATKAN UKHUWAH, KUKUHKAN KESATUAN ]



Eratkan Ukhuwah, Kukuhkan Kesatuan 

Perkataan ukhuwah acapkali disebutkan, lalu apa kaitan ukhuwah dan kesatuan?

Sebelum kita lanjutkan perkongsian ini, Allah SWT ada berfirman :

(إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ)

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara. Kerana itu, damaikanlah kedua saudara kalian dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapatkan rahmat.”
(Surah al-Hujurat: ayat 10)


Nabi SAW juga ada bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ، وَلَا يُسْلِمُهُ، مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيْهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

"Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya, dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Barangsiapa memberi pertolongan akan hajat saudaranya, maka Allah selalu menolongnya dalam hajatnya. Dan barangsiapa memberi kelapangan kepada seseorang muslim dari suatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan orang itu dari suatu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Dan barangsiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang itu pada hari kiamat."
(Muttafaqun 'alaih)

Sepertimana kita ketahui, ukhuwah antara perkara yang telah sekian lama diterapkan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabat baginda. Pada permulaan dakwah Islam, Rasulullah telah mengadakan satu sistem yang diberi nama "sistem taakhi", iaitu sistem persaudaraan antara kaum ansar dan muhajirin bagi menguatkan penyebaran dakwah Islam dan membantu di antara satu sama lain. Antara sahabat yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW ialah Abdul Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi’.

Kembali kepada zaman globalisasi kini, "sistem taakhi" ini diteruskan lagi bagi mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW. Ia juga antara sistem yang dikekalkan oleh Badan Kebajikan Anak Negeri yang ditubuhkan oleh PMRAM pada suatu ketika dahulu bagi menerapkan ukhuwah sesama anak negeri.

Bak kata pepatah “Cubit peha kiri, peha kanan terasa”, inilah perumpamaan yang akan dirasakan ketika mana menggunakan sistem ini dan ia jugalah antara medan ukhuwah yang akan melahirkan kesatuan yang kukuh dan kuat.

Jika kita lihat di BKAWM sendiri, program berkaitan ukhuwah sering dilaksanakan seperti Hari Keluarga, katibah, usrah dan sebaginya. Tujuan tersebut tidak lain melainkan mengukuhkan tautan ukhuwah sesama ahli dan mengekalkan kesatuan yang telah lama terbina.

Justeru itu, marilah kita bersama-sama menjayakan setiap program yang dijalankan oleh BKAN khususnya di BKAWM agar tautan ukhuwah kita bersama dapat dikekalkan dan akan melahirkan satu kesatuan yang terbina atas dasar aqidah. Firman Allah SWT:

(وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai,dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (ketika jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah menyatukan hatimu sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka. Lalu Allah selamatkan kamu dari sana.”
(Surat ali-Imran: ayat 103)

Disediakan oleh:
Wan Rahimah binti Wan Abdul Rashid,
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2017/2018


"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]