[ BERITA: TINTA KASIH AIDILFITRI 2018 (TAUTAN '18) ]




[ BERITA: TINTA KASIH AIDILFITRI 2018 (TAUTAN '18) ]

KAHERAH, 18 Jun 2018 – Bersyukur ke hadrat Ilahi, program Tinta Kasih Aidilfitri 2018 (TAUTAN '18) telah selamat melabuhkan tirai pada 17 Jun 2018. TAUTAN '18 adalah sebuah program yang diadakan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) bagi meraikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang menyambut hari lebaran di bumi Mesir. Ahli Jawatankuasa program ini terdiri daripada 16 orang 8 orang ikhwah dan 8 orang akhawat . Program ini telah berlangsung selama 3 hari berturut-turut bermula 15 Jun 2018 sehingga 17 Jun 2018.




Antara objektif penting TAUTAN ‘18 adalah mengeratkan ukhuwah sesama anak Wilayah Persekutuan di Mesir, menambah thaqafah dan kemahiran serta menghidupkan budaya bermasyarakat serta menjadi medium kepada semua anak Wilayah Persekutuan meraikan sambutan hari raya di perantauan.




Program TAUTAN ’18 telah dimulakan dengan perutusan syawal yang telah disampaikan oleh YDP BKAWM sesi 2017/2018 iaitu saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib. Aktiviti diteruskan dengan ucapan perantauan oleh ahli Wilayah Persekutuan yang beraya di bumi Mesir dan takbir raya di setiap rumah Asrama Baharu Wilayah Persekutuan. Selain itu, selepas solat sunat hari raya, anak-anak Wilayah Persekituan dihidangkan dengan makanan rohani iaitu kuliah dhuha yang telah disampaikan oleh saudara Abdul Wafi bin Alias, Penasihat BKAWM sesi 2017/2018. Bagi merapatkan lagi ukhuwah antara ahli asrama dan ahli Komuniti Rumah Sewa (KRS), serambi KRS telah diadakan yang bertempat di rumah sewa BKAWM sendiri. Aktiviti memasak kek dan menganyam ketupat telah diadakan bagi mencungkil bakat ahli BKAWM. Semua acara telah berjalan dengan lancar dan mengikut tentatif yang telah diatur. Kami sebagai Ahli Jawatakuasa Program berpuas hati dengan sambutan ahli terhadap aktiviti yang telah dianjurkan dengan catatan 70 peratus ahli BKAWM untuk menyertai semua aktiviti yang dianjurkan. Terbukti disinilah kita dapat melahirkan bibit kasih sayang dan meminimumkan jurang antara junior dan senior .






Program TAUTAN ’18 telah melabuhkan tirai dengan rasminya pada 17 Jun 2018 bertempat di Surau Asrama Baharu Wilayah Persekutuan. Majlis penutup IHTIRAM ’18 dan TAUTAN ’18 telah dirasmikan oleh saudara Sheikh Muhamad Faeez bin Mohd Nasir, penasihat BKAWM sesi 2017/2018. Acara gilang-gemilang yang dinantikan oleh semua anak Wilayah Persekutuan adalah majlis jamuan aidilfitri. Semua anak Wilayah telah bertungkus-lumus membuat persiapan rumah terbuka. Hal ini secara tidak langsung telah menjayakan objektif TAUTAN ’18 iaitu mengeratkan ukhuwah sesama anak Wilayah Persekutuan di Mesir. Maka berakhirlah program julung kali yang diadakan ini dengan sebak dan pujian kerana menyambut aidilfitri diiktibar menyambut kemenangan umat Islam yang telah berjaya menahan dirinya daripada lapar, dahaga dan segala perkara yang membatalkan puasa. TAUTAN '18 juga menerima muhasabah yang membina daripada ahli BKAWM untuk menambahbaik program sambutan hari raya aidilfitri pada masa akan datang.




Pihak program mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Program yang telah banyak menyumbang tenaga dan masa demi menyerikan suasana aidilfitri untuk anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir melalui program TAUTAN '18 ini. Bersama kita memohon agar Allah menerima sumbangan kecil kita ini sebagai suatu yang barangkali dapat membantu kita masuk ke syurgaNya . Tidak lupa juga kepada penyumbang dana dan tenaga sama ada secara langsung mahupun tidak yang telah berjasa dalam menjayakan program ini.




Harapan kami agar program sambutan hari raya aidilfitri pada masa akan datang dapat mengambil anjakan paradigma dan  melaksanakan program dengan lebih baik serta memikirkan inisiatif untuk meningkatkan keterlibatan ahli bahawa ianya sangat penting dalam membina ukhuwah thaqafiyah.



Disediakan oleh:

'AIN NAJIHAH BINTI BUKHARI
Setiausaha Tinta Kasih Aidilfitri 2018 (TAUTAN '18)



"Fitrah Dikecapi, Ramadan Dihayati"

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]