[ KALAM PIMPINAN: BAHAYA MEDIA SOSIAL ]

Bismillahirrahmanirrahim

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
(Surah al-An'am : 32)

Fenomena ‘Dunia di Hujung Jari’ ini menatijahkan masyarakat hari ini memperoleh maklumat yang luas tanpa batasan dengan kemudahan pelbagai aplikasi sosial yang tersedia dalam teknologi-teknologi pintar masing-masing. Jika dilihat daripada suatu sudut, ia merupakan satu perkembangan yang positif di mana Internet ataupun media sosial khususnya, kian menjadi medium maklumat terkini dan sumber ilmu pengetahuan. Namun malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku.

Jika semua maklumat di hujung jari, maka ia mudah disebarkan tanpa henti. Lambakan isu dan khabar angin kerap dimuat naik di paparan media sosial tanpa diketahui sumber dan tahap kesahihannya. Ada beberapa ciri yang dapat disimpulkan untuk perkara ini. Pertama,  mereka yang tidak diketahui identitinya dan kedua mereka yang tergopoh-gapah dalam sesuatu isu. Jelaslah bahawa antara dua ciri yang disebutkan ini mengakibatkan penyebaran khabar angin tanpa tapisan dalam dunia maya.

Sikap negatif daripada ciri-ciri ini dapat dilihat apabila individu yang menyebarkan khabar angin akan melepaskan dirinya dan meninggalkan kesan buruk yang bakal berlaku terhadap dunia luar daripada perbuatannya itu kerana mereka merasakan identitinya tidak diketahui umum dan dia berasa dirinya dalam keadaan yang selamat. Selain itu, Sesuatu isu juga mudah tersebar kerana terhasil daripada sikap tergesa-gesa dan tanpa berfikir panjang serta mahu berlumba menjadi orang yang paling awal megetahui sesuatu isu.

Junjungan besar Rasulullah S.A.W telah memberi peringatan kepada umatnya :

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Maksudnya : Seseorang itu boleh dianggap berdusta apabila menyebarkan setiap berita yang dia dengari. (Riwayat Muslim)

Selain itu juga, kita hendaklah berwaspada pada kebenaran isu-isu yang hangat diperkatakan kerana boleh jadi isu-isu itu hanyalah permainan media untuk menutup kesalahan isu yang lain.

Oleh yang demikian, bagaimanakah seharusnya seorang muslim berperanan dalam menangani fitnah maya yang semakin berleluasa ini? Antara usaha  yang boleh dilakukan adalah:

1- Meneliti kesahihan sesuatu berita yang sampai kepada kita dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya terlebih dahulu sebagaimana saranan Allah S.WT yang termaktub dalam surah al-Hujurat ayat 6.

2- Mengurangkan pergerakan maklumat bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi yang hanya mengeruhkan lagi keadaan, sejajar dengan mafhum sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut di mana apabila berlaku suatu fitnah, orang yang duduk (diam) itu lebih baik daripada orang yang berdiri.

Tambahan, Islam meraikan kepelbagaian pandangan semua orang sama ada mereka yang beragama Islam mahupun bukan
beragama Islam asalkan hasil pandangan berdasarkan hujjah dan fakta bukan hanya sekadar kata-kata fitnah dan kosong. Namun, Kebebasan bersuara juga perlulah disertai dengan:

•Bersifat adil.
•Menolak kezaliman dan kerosakan.
•Tidak memaksa supaya pandangan diterima.
•Menghormati hak individu lain.
•Menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dalam bersuara.


Akhir kalam, setiap sebaran maklumat perlulah ditapis dengan pertimbangan akal dan iman. Fikirkan kesan sebelum butang ‘Kongsi’ ditekan.


Disediakan oleh:

MASITAH NADHIRAH BINTI ANUAR
Timbalan Bendahari Agung BKAWM sesi 2019/2020

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]