[ RISALAH HISBAH: TEGURAN ]


[ RISALAH HISBAH: TEGURAN ]

“Kau siapa nak tegur aku?”
 
“Tegur orang konon, kau ingat kau tu baik sangat?”
 
Menegur kemungkaran yang dilihat tak semudah mengajak orang kepada kebaikan. Kerana mengajak orang buat baik ni sekadar beritahu dan ajak buat baik sahaja. Berbeza dengan melarang orang yang buat kemungkaran. Sebab ia melibatkan emosi dan perasaan. Kita takut orang yang ditegur tu terasa hati, lalu akhirnya menjauhkan diri daripada kita.
 
Sebenarnya, dalam Islam terdapat adab dan garis panduan khusus dalam bab menegur ini. Di bawah ini disenaraikan beberapa adab menegur dalam Islam.
 
1. Ikhlaskan niat ketika menegur
 
Niat menegur bukan kerana nak tunjuk kita baik, tapi sebagai tanggungjawab nak laksanakan amar makruf nahi mungkar.
 
Nabi SAW bersabda: ”Agama itu nasihat”.
 
Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada rasul-Nya, kepada para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum.
 
2. Dengan cara berhikmah, lemah lembut dan tidak mencela pelaku
 
Lemah lembut dalam menegur ni bukan bermaksud kita tak tegas, tetapi ia lebih fokus bagaimana caranya agar nasihat kita mudah sampai ke hati orang lain.
 
Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud,
"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." (Taha: 44)
 
Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata,
 
"Menasihati sesama muslim (selain ulil amri) adalah menunjukkan berbagai maslahat untuk mereka iaitu dalam urusan dunia dan akhirat, tidak menyakiti perasaan mereka, mengajarkan perkara yang mereka tidak ketahui, menolong mereka dengan perkataan dan perbuatan, menutupi aib mereka, menghilangkan mereka dari bahaya serta memberikan mereka manfaat dan melakukan amar makruf nahi mungkar." - (Kitab Adab Memberi Nasihat Menurut Islam)
 
Elakkan berkata tidak baik kepada pelaku kesalahan, kecuali setelah berkali-kali dinasihati barulah dibolehkan untuk bertindak tegas. Itupun masih di bawah kawalan bukan mengikut perasaan dan nafsu marah.
 
3. Pilih masa yang sesuai dan tepat untuk menasihati
 
Cuba elakkan menegur seseorang dalam keadaan dia sedang marah. Tunggu sebentar situasi tersebut reda, agar nasihat yang kita akan kita sampaikan itu dapat diterima dengan baik.
Ibnu Mas'ud berkata,
"Sesungguhnya kadang kala hati bersemangat dan mudah menerima, dan kadang kala hati lesu dan mudah menolak. Maka ajaklah hati saat dia bersemangat dan mudah menerima serta tinggalkanlah saat dia malas dan mudah menolak." (Kitab al-Adab asy-Syar’iyyah, Ibnu Muflih)
 
4. Menasihati secara rahsia
 
Waktu kita hendak menasihati orang lain elakkan dibuat di tempat umum. Sebab, menasihati di tempat umum dengan membuka kesalahan orang lain seolah-olah kita ingin mempermalukannya.
 
Al-Hafizh Ibnu Rajab berkata,
"Apabila para salaf hendak memberikan nasihat kepada seseorang, maka mereka akan menasihatinya secara rahsia. Barang siapa yang menasihati saudaranya berdua saja (empat mata) maka itulah nasihat sebenar. Dan barang siapa yang menasihatinya di depan orang, maka sebenarnya ia sedang mempermalukannya." - (Jami’ al-Ulum Wal Hikam)
 
5. Menasihati secara terbuka
 
Sekiranya kesilapan tersebut dilakukan secara umum (terbuka) khususnya ketika menyampaikan ilmu agama, ianya perlu dilakukan teguran ataupun tashih (pembetulan) secara terbuka juga. Kerana dikhuatiri perkara yang salah tersebut tersebar dalam kalangan masyarakat.
 
Biasanya kesalahan secara terbuka ini mudah berlaku di media sosial. Sama ada dalam live, penulisan di Facebook, Instagram dan media sosial yang lain.
 
6. Beramal dengan nasihat yang disampaikan 
 
Nasihat paling baik adalah dengan menunjukkan contoh yang baik pada orang lain terlebih dahulu. Kerana bila kita menasihati orang lain tetapi kita sendiri tidak melakukan apa yang kita katakan, secara tak langsung ianya dapat meruntuhkan kepercayaan orang lain terhadap kita.
Oleh sebab itu, kita sebagai muslim mestilah selarikan antara fikiran, perkataan dan perbuatan kita. Tapi sebenarnya, jika difikirkan balik kalau tunggu kita (dai) nak jadi baik dulu barulah kemungkaran tersebut ditegur pasti sampai bila-bila pun kemungkaran tidak akan ditegur.
Teguran kepada mereka yang buat salah wajib ditegur dan dalam masa yang sama kita juga sentiasa memperbaiki dosa yang kita buat. Mustahil, kita semua suci tidak melakukan dosa.
 
 
7. Ada ilmu pengetahuan dan hujah
 
Pastikan teguran dibuat berdasarkan hujah dan bukti yang pelakunya benar-benar salah. Dikhuatiri teguran tersebut jatuh kepada fitnah lalu akhirnya membuatkan pelaku semakin menjauhi kita. Teguran yang disampaikan perlu juga disulami dengan ilmu pengetahuan. Supaya dapat diterima dengan baik.
 
8. Sabar dengan apa yang ditegur 
Sebagai dai, dalam apa jua keadaan sekalipun jangan fikir setiap teguran kita akan mudah diterima oleh orang lain. Tugas kita ialah menyampaikan dan menunjukkan kebenaran. Selebihnya serah kepada Allah.
 
Menyampaikan kebenaran adalah kerja kita (manusia), yang memberi hidayah adalah kerja Allah. Jadi, buat kerja kita. Jangan buat kerja Allah. Apa pun berlaku, contohilah Nabi Nuh dalam berdakwah. Tetap sabar menyampaikan dakwah hingga bertahun-tahun lamanya.  
 
Sebarkan kebenaran dan betulkan apa yang salah. Sebab, Allah akan tanya kita “kenapa kau tak tegur dia buat salah masa di dunia dulu?” Paling kurang kita sudah ada jawapan yang kukuh untuk dipersembahkan di hadapan Allah.
 
Sekian.


Unit Hisbah,
Jabatan Yang Dipertua BKAWM sesi 2021

“Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]