[ KALAM PIMPINAN: PERJUANGAN SEBUAH MEDAN ]

 


[ KALAM PIMPINAN: PERJUANGAN SEBUAH MEDAN ]

بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على المرسلين والحمد لله رب العلمين


إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له, وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله. أما بعد.


Dasawarsa ini, perjuangan di dalam sebuah medan khususnya medan dakwah seharusnya bukan medan yang bertatahkan intan dan permata. Banyak liku dan mehnah yang akan dilalui seorang pendakwah sebenar sekiranya dia benar-benar istiqamah dan menjiwai setiap langkah perjalanannya menuju syurga abadi kelak. 


Jika kita telusuri secara mendalam tentang kisah-kisah para pejuang pendakwah dari kalangan para nabi terdahulu di dalam al-Quran, pasti kita akan percaya dan meyakini yang jalan dakwah ini sungguh pahit dan memeritkan. Sebagai contoh, Nabi Nuh a.s. sepanjang umurnya merentas 950 tahun, di penghujung usianya hanya sekitar 80 orang sahaja yang menjadi pengikutnya. Kesabaran dan ketabahan Nabi Nuh a.s sebagai seorang pendakwah harus kita amati sebaiknya.


Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155:


وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ


Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”


Jelaslah bahawa, sifat sabar ketika menempuh ujian ini amat sinonim bagi seorang pejuang di jalan Allah. Sehinggakan di dalam buku المتساقطون على طريق الدعوة  karangan Fathi Yakan telah menggariskan beberapa tekanan yang akan dilalui bagi seorang pendakwah, jika tidak dilalui atau dihadapi dengan sebaiknya, pendakwah itu berpotensi untuk tergolong didalam golongan yang tercicir di atas jalan dakwah ini. 


Antaranya, adalah tekanan ujian. Sehingga ke hari ini, ramai orang telah meninggalkan medan dakwah ini akibat tekanan ujian yang telah dilaluinya. Perkara ini bukanlah asing bagi sesiapa yang berada di dalam medan ini, yang membezakan orang yang mampu untuk terus kekal atau terus meninggalkan adalah pada cara setiap orang menempuh liku dan ujian yang dilaluinya. 


Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 31:


وَلَنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتَّىٰ نَعۡلَمَ ٱلۡمُجَٰهِدِينَ مِنكُمۡ وَٱلصَّٰبِرِينَ وَنَبۡلُوَاْ أَخۡبَارَكُم


Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."


Selain itu, di dalam al-Quran menceritakan kegembiraan,keikhlasan dan keyakinan satu golongan ketika di beri ujian kepadanya.


Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran 173:


ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ


Maksudnya: "Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)."


Oleh sebab itu, amatlah perlu atau dituntut sebagai seorang pendakwah untuk tidak lari dari tarbiah di dalam medan ini. Tujuannya, adalah semestinya untuk menguatkan jiwa dan fizikal ketika menempuh ujian-ujian yang bakal dilalui. Jadi, sebagai pendakwah hakiki ketika dipanggil untuk mengikuti tarbiah seharusnya tidak memberi pelbagai alasan untuk lari dari tarbiah. Kerana, perkara tarbiah ini akan melahirkan kekuatan jiwa dan rohani bagi seorang pendakwah.


Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 17:


وَٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ زَادَهُمۡ هُدٗى وَءَاتَىٰهُمۡ تَقۡوَىٰهُمۡ

Maksudnya: "Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa."


Tambahan, tarbiah terbahagi kepada dua iaitu jasad dan rohani. Tarbiah jasad bertujuan menguatkan fizikal para pendakwah ketika menempuh ujian. Sebagai contoh, ketika menghadapi peperangan atau ujian-ujian yang melibatkan jasad ataupun fizikal. Seterusnya, tarbiah rohani bertujuan menguatkan dan meneguhkan keimanan dan kepercayaan dalam hati ketika menempuh ujian melibatkan jiwa dan rohani pendakwah. Sebagai contoh, kisah terkenal di dalam sirah Nabi Muhammad SAW, iaitu kisah tentang seorang sahabat bernama Bilal bin Rabah r.a.. Ketika permulaan kemasukan beliau di dalam agama Islam, beliau ditangkap oleh tuannya yang bernama Umaiyah bin Khalaf kerana memeluk agama Islam. Sedang beliau diseksa dengan amat dahsyat oleh tuannya sendiri, beliau dipaksa oleh tuannya untuk murtad dari agama Islam. Akhirnya, beliau tetap teguh dengan keimanan dan kepercayaannya terhadap Islam.


Kesimpulannya, sebagai seorang pejuang di dalam medan dakwah ini, liku dan mehnah tribulasi tidak akan terlepas darinya jika kita benar-benar berada di atas landasannya. Sedangkan Rasulullah SAW semulia-mulia manusia pun tidak terlepas dari perkara ini, inikan kita penyambung mata rantai perjuangan junjungan baginda SAW. Teruslah kukuhkan pendirian dan kekuatan untuk terus berada di atas jalan yang mulia ini, moga-moga ada ganjaran di atas keikhlasan kita membantu agama Allah SWT. 


Sebagai akhirnya, saya tutup dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 110:


قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا


Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada tuhannya."


Disediakan oleh:

SITI NORUL IZZAH BINTI BUSARI

Timbalan Lajnah Kebajikan dan Perumahan

BKAWM sesi 2021


"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM MANTAN NAIB PENGERUSI HEWI BKAWM SESI 2015/2016 ]