[ KALAM PIMPINAN: EKSISTENSI MASA ]

[ KALAM PIMPINAN: EKSISTENSI MASA ]

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين. 

Firman Allah SWT: 

وَٱلۡعَصۡرِ ۝  إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِی خُسۡرٍ ۝  إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ 

Maksudnya: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." [Surah al-Asr: Ayat 1-3] 

Sesungguhnya Allah telah bersumpah dengan masa, yang mana padanya ada keberkatan. 

Waktu itu seperti pedang, jika kamu tidak memintasnya maka dia akan memintasmu, jika tidak disibukkan dengan kebenaran maka kamu akan disibukkan pula dengan kebatilan. 

Dalam dunia ini tiada benda yang paling adil melainkan MASA.

Semua orang mempunyai kurniaan masa yang sama, 24 jam sehari bersamaan dengan 1 440 minit atau 86 400 saat. 

Sebagai seorang mahasiswa, mungkin ada sesetengah yang merasakan susah menjadi seorang yang bergelar mahasiswa kerana perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, sebagai seorang pemimpin ataupun ahli dalam persatuan, sebagai seorang anak sehingga merasa tidak cukup masa. 

Tapi jika nak dibandingkan situasi seorang mahasiswa yang dilalui sekarang dengan orang yang sudah bekerja ataupun yang sudah berkeluarga jauh berbeza.

Hakikatnya, fasa kehidupan di universiti hanyalah sebuah latihan untuk melalui fasa kehidupan sebenar yang lebih mencabar nanti. 

Pengurusan masa yang berkesan bermaksud bagaimana seseorang itu menguruskan masa dalam kehidupan seharian dengan cara terbaik supaya dapat menjalani sebuah kehidupan yang teratur, sistematik dan lancar. 

Ia merupakan satu kemahiran yang harus dikuasai oleh setiap individu sama ada sebagai seorang pelajar, seorang yang bekerjaya, seorang nelayan mahupun seorang suri rumah.

Antara tip pengurusan masa sebagai seorang mahasiswa: 
⌚ Mengetahui kemampuan diri.
⌚ Menyusun jadual.
⌚ Melaksanakan tugasan mengikut prioriti. 

Seterusnya, antara kepentingan menjaga masa: 
⏱️ Masa dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
⏱️ Disiplin diri yang mantap dapat dibentuk.
⏱️ Urusan dapat disiapkan dengan lancar.
⏱️ Dapat mengelakkan diri dari tekanan. 

Antara item yang terdapat dalam Muwasafat Tarbiah adalah "Tersusun Dalam Urusan" dan bijak mengurus masa yang merupakan ciri peribadi seorang muslim.

Kesimpulannya, setiap masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang lalu tidak akan kembali semula. Berapa banyak masa yang telah kita bazirkan sebelum ini perlu dihitung semula kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikan semula masa yang telah berlalu. 

Peribahasa ada mengatakan bahawa "di mana ada kemahuan di situ ada jalan". Jadi, segala-galanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. 

Hargai masa ibarat anda menghargai diri sendiri. 

Wallahua'lam.

Disediakan oleh:
BALQIS BATRISYIA BINTI BASRI
Timbalan Lajnah Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2021

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]