[ BERITA: SEINDAH LEBARAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN 2022 (SALAM '22) ]


[ BERITA: SEINDAH LEBARAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN 2022 (SALAM '22) ] 

KAHERAH, 7 Mei 2022 – Bersyukur ke hadrat Ilahi, program Seindah Lebaran Anak Wilayah Persekutuan 2022 (SALAM ‘22) telah selamat melabuhkan tirai pada 4 Mei 2022. SALAM ’22 adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2021/2022 bagi meraikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang menyambut hari lebaran di bumi Mesir. Program ini telah berlangsung selama 4 hari berturut-turut bermula dari 1 Mei 2022 sehingga 4 Mei 2022. 

Antara objektif yang diketengahkan oleh SALAM ‘22 pada kali ini ialah menghidupkan asrama Wilayah Persekutuan dengan suasana Aidilfitri di perantauan, mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa Malaysia di Mesir dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri anak Wilayah Persekutuan. 

Program SALAM ‘22 telah dimulakan dengan Perutusan Khas Syawal yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua BKAWM sesi 2021/2022, saudara Khairul Ieman bin Azmi. Aktiviti diteruskan dengan Takbir Mahabbah di setiap aras Asrama Wilayah Persekutuan Baharu dan Asrama Wilayah Persekutuan Lama. 

Program SALAM ‘22 pada kali ini juga sama seperti IHTIRAM ‘22 iaitu kembali meriah dengan aktiviti fizikal yang dianjurkan. Dengan itu, telah ramai ahli yang dapat menyertai aktiviti yang dijalankan. 

SALAM ‘22 turut diserikan dengan Talkshow Duha yang bertajuk “Ijazah Syawal dari Madrasah Ramadan” yang dikendalikan oleh moderator saudara Aiman Haziq bin Haji Kamaruddin, Ketua Pembangunan Fasilitator dan Discussion Group, Jabatan Fasilitator, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2021/2022 bersama panel saudara Ahmad Nabil bin Ahmad Fauzi, Koordinator Bendahari Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri (MG BKAN). 

Suasana raya di Asrama Wilayah Persekutuan diteruskan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti pertandingan Gambar & Caption Raya serta pertandingan 'Show Your Talent'. SALAM '22 ditutup dengan Majlis Perasmian Penutupan oleh Encik Muhammad Zuwairi bin Abu Bakar, Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan. Acara diteruskan dengan jamuan raya yang dihadiri oleh anak-anak Wilayah Persekutuan dan tetamu kehormat dari pimpinan BKAN dan kedutaan. 


Meraikan Aidilfitri diiktibarkan sebagai satu kemenangan buat umat Islam yang telah berjaya menahan diri daripada makan, minum serta segala perkara yang membatalkan puasa. 

Harapan kami agar sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini dapat dihayati oleh seluruh anak Wilayah Persekutuan sebagai suatu kemenangan. Semoga kemenangan yang menjadi sambutan tahun ini meningkatkan rasa syukur kita sesama insan. 

Disediakan oleh,
TUN AHMAD IRFAN BIN AHMAD BAKRI 
Setiausaha,
Seindah Lebaran Anak Wilayah Persekutuan 2022 (SALAM ‘22),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2021/2022. 

"Raikan Lebaran, Ekspresi Kesyukuran" 

"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]