[ KALAM PIMPINAN: AT-TARGHIB DAN AT-TARHIB ]


[ KALAM PIMPINAN: AT-TARGHIB DAN AT-TARHIB ]

‎بسم الله الرحمن الرحيم
‎السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

‎إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له, وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.

Firman Allah SWT: 

‎كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَـٰبِ لَكَانَ خَیۡرࣰا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ.    

Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” 

(Surah ali-Imran: Ayat 110)

Berdakwah adalah tugas dan tuntutan mulia yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam untuk seluruh masyarakat umumnya dan umat Islam secara khususnya supaya memberikan pengabdian kepada Allah SWT serta membawa seluruh masyarakat kepada agama yang benar iaitu Islam.

Dalam melaksanakan dakwah, komunikasi digunakan bagi tujuan menyampaikan, memberi kefahaman serta meyakinkan masyarakat dengan mesej Islam.

Ia mestilah melalui pendekatan berhikmah, peringatan yang baik dan berdialog dengan cara paling baik jika berlaku pertentangan pandangan. 

Perkara itu dinyatakan dalam Surah an-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Dakwah juga boleh dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan, pencegahan dan hukuman.

Pendidikan merupakan sebuah proses transformasi ilmu dan pengetahuan beserta didikan, dalam rangka pembentukan individu yang sesuai dengan harapan dan tujuan kehidupan di dalam masyarakat. Untuk mewujudkan harapan tersebut, sebagai pendakwah perlu mempunyai sebuah strategi dalam membawa masyarakat kepada Islam.

Dapat dilihat konteks pelaksanaan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah juga mempunyai dua prinsip asas iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran (الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر).
Kedua-dua prinsip itu menjadi asas penting bagi mewujudkan masyarakat yang selamat dan bebas daripada segala perbuatan maksiat serta mengundang dosa.

Dalam melaksanakan dakwah juga harus mempertimbangkan elemen at-Targhib dan at-Tarhib.

Strategi untuk menjadi orang Islam yang itqan adalah dengan mentadabbur makna ayat-ayat ilahi yang sarat dengan targhib dan tarhib. Keyakinan untuk diberi kesenangan telah disimpulkan melalui janji-Nya dan ia merupakan batu loncatan untuk kita memperbanyakkan amal manakala tarhib yakni ancaman bertujuan untuk memberi penekanan agar kita sentiasa mengikut aturan-Nya. Tidak lain tidak bukan untuk meraih reda Ilahi.

Secara istilah, targhib adalah strategi atau cara untuk meyakinkan seseorang terhadap kebenaran Allah melalui janji-Nya yang disertai dengan pujukan dan rayuan untuk melakukan amal soleh. Pujukan yang dimaksudkan adalah kesenangan duniawi dan ukhrawi kesan kepada melakukan suatu perintah Allah atau menjauhi larangan-Nya.

Adapun tarhib adalah strategi untuk meyakinkan seseorang terhadap kebenaran Allah melalui ancaman dengan memberi peringatan dan kesan buruk kepada manusia supaya menghindari sebarang kejahatan dan kemaksiatan sama ada zahir atau batin.

Tujuan targhib ialah lebih kepada upaya memupuk rasa optimis dan berusaha meyakinkan kebenaran melalui janji dan pujukan.

Sedangkan tarhib memfokuskan pada penanaman kerasaan hati dalam melakukan kewajipan atau perintah Allah. Dengan demikian, pada intinya kedua-dua elemen ini membangkitkan kesedaran akan keterkaitannya diri manusia kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: 

‎قد أفلح من زكاها (٩) وقد خاب من دساها (١٠)      

Maksudnya: "Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” 

(Surah asy-Syams: Ayat 9-10)

Islam memberi penekanan agar mendidik ummah mencapai taraf masyarakat yang berilmu dalam menjaga setiap langkah dengan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.

Konsep at-Targhib dan at-Tarhib adalah uslub dakwah yang memberikan rangsangan agar mendorong masyarakat ke arah ketaatan kepada Allah dan ancaman supaya menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran. 

Dengan demikian, masyarakat dapat menuju menjadi sebuah negara yang dirahmati Allah serta menepati prinsip syariat Islam iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Sebagai penutup, sukalah saya untuk meninggalkan sepotong ayat al-Quran yang terkandung didalamnya uslub targhib dan tarhib.

Maksudnya: "Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya Dia akan melihat (balasan)nya, dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya Dia akan melihat (balasan)nya pula."

(Surau al-Zalzalah: Ayat 7-8)

Disediakan oleh:
NORSYUHADA BINTI MOHAMAD RAIS
Timbalan Lajnah Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah BKAWM sesi 2021/2022

“Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]