Ayuh Kita Gapai Kecemerlangan.- YDP



”AYUH KITA GAPAI KECEMERLANGAN”

Alhamdulilllah. Segala puji bagi Allah raja sekalian alam, selawat yang tidak pernah putus buat kekasih Allah Muhammad s.a.w. Semoga kita sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Amma ba’d.

Bertepatan dengan imtihan yang bakal menjelang, sukalah saya menyeru kepada sahabat dan sahabiah sekalian supaya sama-sama kita memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Tinggalkan seketika segala aktiviti yang tidak berkaitan dan segera ubah mana-mana gaya hidup yang tidak bertepatan dengan ciri-ciri mukmin yang berjaya. Ini kerana kejayaan yang diharapkan bukanlah sekadar pangkat di atas kertas, namun apa yang lebih utama adalah kejayaan sebenar yang dicorakkan oleh suluhan wahyu dan teladan para ulama'.

Imam Syafi'e dan Imam Ahmad antara contoh sarjana muslim sebenar, yang kehebatan ilmu mereka terpancar melalui peribadi, yang ingin kita lahirkan di kalangan anak-anak wilayah sama ada Pengajian Islam mahupun Perubatan. Dengan harapan, kita pulang ke tanahair dengan penuh persediaan ilmu yang dipelajari.

MISI 100 % CEMERLANG

Saya juga amat berbesar hati mengajak sahabat dan sahabiah untuk sama-sama kita tingkatkan prestasi bagi mencapai sasaran 100 peratus cemerlang pada tahun ini. Jadikan 75 peratus kecemerlangan akademik pada tahun lepas sebagai kayu ukur dan penanda aras untuk kita lebih cemerlang pada tahun ini. Tanamkan dalam fikiran sahabat dan sahabiah bahawa kegagalan itu sebenarnya adalah satu fitnah untuk Islam. Ini memandangkan keadaan umat Islam kini yang sedang dihina dan dipandang rendah oleh kuffar, maka kegagalan kita akan semakin meramaikan bilangan umat Islam yang lemah sekaligus menambah modal untuk mereka mentohmah.

Tidak dilupakan juga kepada sahabat dan sahabiah sepimpinan terutamanya, mari kita menjadi qudwah hasanah kepada ahli. Hanya pimpinan yang berjayalah akan dapat menjadi contoh ikutan terbaik buat ahli, lantas seruan kita tidaklah sekadar menjadi bualan kosong. Gigihkan usaha dan panjangkan doa di akhir setiap solat kalian moga usaha kita memburu kejayaan buat Islam mendapat redha dan bantuan dari Allah S.W.T. Jika benih kegigihan yang kita semai, kelak kejayaanlah yang akan kita tuai, Insya Allah.

Akhir kalam saya ucapkan selamat berimtihan buat semua anak-anak Wilayah Persekutuan di Republik Arab Mesir, mahasiswa pengajian islam dan perubatan dengan slogan “Ayuh Kita Gapai Kecemerlangan” demi ISLAM dan negara.

Siiru 'ala Barakatillah

Wassalam

AB SAMAD BIN ABDUL AZIZ

Yang Dipertua

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir

Sesi 2009/2010


*Nyatakan Target anda pada tahun ini diruangan komen di bawah.

*Tandakan bintang dibawah untuk kalam ini.

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah