CEO MAIWP Bertukar Ke JAKIM


KUALA LUMPUR, 1 JAN - Majlis Perhimpunan Bulanan MAIWP Disember 2010 yang diadakan di Darul Kifayah pada 24 Disember yang lalu merupakan perhimpunan bulanan terakhir bagi Tuan Haji Anan bin C. Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIWP.

Ianya apabila tugas beliau sebagai KPE MAIWP yang bermula 1 September 2008 akan berakhir pada 31 Disember ini setelah beliau yang berstatus pinjaman daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dipanggil semula untuk mencurahkan tenaga dan buah fikiran sebagai Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Tuan Haji Anan ketika berucap di majlis tersebut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga MAIWP yang telah sama-sama membantu melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang dirancang. Menurut beliau, tanpa usaha dan sokongan semua pihak, beliau tidak mampu untuk bergerak sendiri.

Beliau bersyukur kerana sepanjang mengetuai pengurusan MAIWP, terdapat beberapa perkara yang telah berjaya dicapai. Antaranya merealisasikan penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz di Wilayah Persekutuan dan Sekolah Menengah Agama di Labuan dan memperkenalkan pakaian seragam untuk pelajar-pelajar Tadika Islam MAIWP. Sikap rendah diri jelas dapat dilihat apabila beliau tidak menyatakan beberapa kejayaan besar lain hasil usaha keras beliau yang disifatkan sebagai kejayaan kecil.

Pada majlis tersebut juga, beliau mengucapkan tahniah kepada Bahagian Pembangunan Insan yang telah berjaya melaksanakan Konvokesyen Tadika Islam MAIWP 2010 pada November baru-baru ini dan Sekolah Menengah Agama MAIWP yang telah melakar kejayaan cemerlang apabila seramai 76 orang calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah berjaya memperolehi 9A.

Mengakhiri ucapannya, beliau memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang beliau memegang amanah sebagai KPE. “Saya dengan penuh rasa rendah diri dan tawaddhuk mewakili diri yang lemah dan isteri saya, memohon keampunan di atas segala kesilapan kami sepanjang berada di MAIWP. Tidak banyak yang mampu kami lakukan dalam tempoh masa yang terbatas ini. Terima kasih sekali lagi atas sokongan yang diberikan dan teruskan berjuang membawa obor MAIWP demi menyemarakkan lagi syiar Islam di Wilayah Persekutuan,” ujar beliau menahan sebak.

Pihak Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang merupakan persatuan kebajikan yang menaungi anak-anak Wilayah di Mesir ini, mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Anan di atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan kepada BKAWM khususnya. Moga-moga ukhuwah kita akan kekal selamanya.

TERIMA KASIH TUAN HAJI ANAN ATAS JASA DAN SUMBANGANMU UNTUK BKAWM.




Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]