Hubungan Dengan ALLAH S.W.T. Dan Sesama Insan - Timb LDPI


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Ilahi di atas nikmat Iman dan Islam yang kita miliki hingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat dan ahlul bait baginda S.A.W. Semoga Redha dan Rahmat ALLAH S.W.T sentiasa menaungi ahli-ahli BKAWM sekalian.

Bulan januari adalah antara bulan yang sinonim dengan fatrah imtihan. Apabila kita perhatikan keadaan di sekeliling, jelas kelihatan Mahasiswa/wi islam Pengajian Islam mahupun Perubatan tekun menelaah buku-buku kuliah masing-masing. Buku di jadikan rakan karib sepanjang musim peperiksaan ini. Tidak di nafikan semua orang yang bergelar penuntut ilmu inginkan kejayaan, namun sedarkah kita sejauh mana kita dalam melaksanakan hak-hak ALLAH sebelum memohon kejayaan dari-NYA??..

Hendaklah kita yang mengaku sebagai seorang muslim untuk memahami konsep kejayaan itu bukanlah terletak hanya pada usaha semata-mata, malah nikmat kejayaan yang seseorang itu kecapi adalah anugerah dari ALLAH S.W.T. Setelah mana kita berusaha dengan gigih dari segala sudut, dengan meletakkan sepenuh pengharapan kepada yang Maha Esa, serta berdoa agar di beri keizinan dan rezeki untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan kelak. Haruslah dengan berusaha, berdoa dan bermunajat kepada ALLAH S.W.T itu seiring dalam kita mengejar kejayaan, kerana ALLAH S.W.T yang menetapkan segala-galanya bagi setiap manusia.

Apabila hati kita gelisah, tidak tenteram, maka carilah ketenangan dengan bermunajat di tengah malam serta amalan-amalan sunat, apabila sedih dan risau redakanlah dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan selawat, bertaubat dengan penuh rasa kehambaan agar doa kita dimakbulkan oleh-NYA. Kejayaan akan dimiliki dengan mengingati ALLAH dan menghindari segala dosa, juga kejayaan akan dimiliki lagi dengan ketaatan amalan yang soleh. Janganlah kita mencari jalan selain dari itu, dengan meletakan ‘hiburan’ yang berlebih-lebihan sebagai cara untuk kita mencari ketenangan jiwa atau untuk melepaskan rasa tension atau stress. Mungkin juga ada yang berjaya walaupun dengan gaya hidup sebegini, tetapi dikhuatiri kejayaan yang di miliki ‘kosong’, kerana Ilmu itu tidak dapat menghiasi peribadi dan kehidupan sehariannya.

Dalam kita berusaha, berdoa dan bertaqarrub kepada ALLAH S.W.T, janganlah pula kita lupa untuk meminta restu dan memohon kemaafan dari kedua ibu bapa kerana keredhaan ALLAH S.W.T terletak dibawah keredhaan mereka, juga tidak lupa untuk melunaskan hak-hak orang di sekeliling kita sama ada sahabat handai mahupun ahlibait. Oleh kerana hablun minannas (hubungan sesama manusia) juga antara faktor-faktor untuk kita mencapai kejayaan.

Semoga dengan kita mengumpul segala asbab-asbab tadi, kejayaan menanti kita semua. Kejayaan bukan sekadar keputusan yang tertulis di kertas semata-mata tetapi kejayaan yang hakiki dengan memiliki akhlak mulia dan keberhasilan kita beramal sesudah itu. Dengan harapan agar amalan kebaikan yang kita lakukan tidak bertempoh, hanya sepanjang musim peperiksaan tetapi dapat dikekalkan selepas itu lebih-lebih lagi setelah memiliki kejayaan yang cemerlang, agar kita tidak lupa diri bahawasanya dengan belas kasihan ALLAH S.W.T jua kita meperolehinya, bukan atas dasar usaha secara total.

Akhir kata, harapan dan doa saya kepada seluruh ahli BKAWM Pengajian Islam mahupun Perubatan, yang tinggal di asrama ARWP mahupun yang dirumah sewa, di kaherah mahupun cawangan, agar memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang, bagi mencurah bakti kepada umat islam kelak khususnya di tanah air tercinta.

Salam Perjuangan untuk semua…

Nurul Hanna Mohammad Bokhari
(Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan)
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2010/2011

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]