Kalam Pimpinan - Kita Adalah Mahasiswa Islam Yang Bijak


     Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda, para sahabat, dan para pejuang agama Allah SWT sepanjang zaman.

Maksud firman Allah s.w.t: “ kemudian apabila engkau telah berazam (membulatkan tekad) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya” .
 ( Surah Ali Imran : 159 )

     Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah, Kejayaan yang dimilik oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para salafussoleh terdahulu bukanlah semudah yang kita fikirkankan. Dalam lembaran sejarah telah banyak yang dinukilkan tentang keperitan dan kesusahan yang ditempuhi, bermandikan darah dan airmata sehingga ada yang hamper goyah keimanan. Begitulah gambaran ujian yang dihadapi oleh mereka.

     Adapun kita, generasi penuntut ilmu juga tidak lepas daripada diuji sama ada ringan mahupun berat namun dengan cara yang berbeza kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui kemampuan setiap hambanya

   Usaha dan tawakal bagai isi dengan kuku
     Ayat di atas menceritakan bahawa golongan yang dikasihi oleh Allah s.w.t ialah orang yang bertawakal. Namun tawakal memerlukan usaha. Di dalam kitab "dalilul fallahin" , dinukilkan kalam Imam Qusyairi yang bermaksud :
“ ketahuilah tempat bagi tawakal adalah di hati. Adapun pergerakan zahir (iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang akan berlaku adalah mengikut ketetapan Tuhan. Jika dipermudahkan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak tuhan demikianlah juga sebaliknya”.
     Kalam mutiara :
“Allah telah menyediakan rezeki untuk burung, tapi ia mesti terbang untuk mendapatkannya, bukankah itu tandanya setiap dari kita harus berusaha?”

Tidak mengenal erti putus asa
     Mahasiswa yang bijak dapat menyeimbangkan kehendak mental, emosi dan fizikalnya. Dalam erti kata lain mempunyai masa yang efektif untuk “study”, memanfaatkan waktu rehat dengan bahan bacaan ilmiah, ambil tahu isu semasa, mengeratkan hubungan sesama umat Islam, beriadah dan pelbagai lagi “refreshment” yang sihat dapat dilakukan.

     Dengan cara ini, dengan izin Allah kita dapat mengurus “stress” dan sifat “futur” (putus asa) dapat dihindari dalam fatrah imtihan ini. Malahan hati dan emosi kita akan dipenuhi dengan sifat sabar dan fikiran positif. Meskipun kita berada di saat-saat genting untuk pecutan terakhir bagi persediaan peperiksaan namun, kesihatan emosi, mental dan fizikal akan tetap stabil.

Masa adalah nyawa kita
     Mengurus masa samalah dengan mengurus nyawa kita. Hidup manusia itu penuh dengan ujian. Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk “taqarrub” kepada Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji oleh Allah s.w.t , hanya yang mampu melepasi ujian itu adalah mereka yang mampu memanfaatkan masa sebaiknya.

     Justeru penundaan tarikh peperiksaan kali ini bagi Universiti Al-Azhar khususnya, merupakan peluang besar yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah bagi melakar kejayaan. Janganlah pula kita masuk dalam golongan yang mensia-siakan peluang yang telah sedia dihadapan, penuhilah masa dengan mentelaah setiap helaian buku kuliah. Fahamilah ilmu dalam buku-buku tersebut, ikhlas kerana Allah s.w.t dengan harapan ia menjadi salah satu cabang dalam memperoleh pahala. Bukankah setiap orang yang menuntut ilmu itu berada dilandasan “jihad fisabilillah”?

     Sahabat-sahabt sekalian, Setelah segala perancangn dan penyusunan yang kita rangka sejak awal untuk menghadapi peperiksaan, jangan lupa kembalikan semula matlamat asal kita selaku mahasiswa Islam , bahawa kejayaan yang dicari itu adalah kerana Allah s.w.t. Kerana pengakhiran matlamat adalah untuk kemenangan Islam itu sendiri. Jadilah batu-bata yang kukuh tersusun sebangai benteng ampuh untuk Islam, kerana kita semua mempunyai posisi masing-masing tidak kira pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan.

     Tidakkah kita lihat dunia sekarang menghina dan merendahkan agama Allah s.w.t ini? Semuanya akibat dari mundurnya pemikiran pemuda-pemudi zaman kini dari hakikat cahaya ilmu Allah s.w.t. Bagaimana kita boleh bangga menjadi individu muslim jika diri kita sendiri tidak menjadi benteng-benteng tersebut? Sedarlah wahai sahabat, hakikatnya kampung halaman kita yang sebenar adalah akhirat yang abadi.

     Dikesempatan ini saya mewakili Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli BKAWM di Kaherah dan cawangan samada yang sedang sedang mahupun yang akan menghadapi peperiksaan. Semoga Allah s.w.t mempermudahkan perjalanan imtihan buat kita semua dan dikurniakan kejayaan yang dihiasi dengan redha dan berkat dari Allah s.w.t., bukanlah kejayaan yang kosong iaitu tanpa amalan setelah mempelajarinya dan mengetahuinya.

     Akhir kalam, hayatilah bait-bait lirik nasyid ini,
Demi satu kejayaan perlukan pengorbanan,
Keazaman juga ketabahan,
Inilah kehidupan menuntut kesungguhan,
Tak semudah indahnya khayalan…..

 Salam imtihan…Salam motivasi buat semua.

Nurul Hanna Binti Mohammad Bokhari
Naib Pengerusi HEWI 1,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
BKAWM Sesi 2011/2012

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]