Ribat BKAWM - Kuatkan Keyakinan Kepada Allah


     11 Mei,ARWP - Agenda tarbah ruhiyah tetap diterapkan dan diterusan walaupun debaran peperiksaan kian dirasai oleh semua ahli BKAWM.

     Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM tetap optimis menganjurkan Ribat BKAWM pada setiap minggu dalam musim peperiksaan dan komitmen ahli meningkat pada setiap minggu walaupun ada dalam kalangan ahli khususnya mahasiswa kuliah Pergigian yang telah pun memulakan peperiksaan bertulis fasa dua.

     Ribat kali ini telah dimulakan dengan solat sunat Hifzi pada malam sebelumnya dan qiamullail bermula sekitar jam 2.55 pagi. Solat-solat sunat pilihan telah dimamkan oleh saudara Mohd Adlly bin Mohd Bokhari dan saudara Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi. Seterusnya ribat diteruskan dengan solat Subuh berjemaah yang diimamkan sendiri oleh ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Muhammad Razman.

     Selesai solat Subuh berjemaah, ribat diserikan lagi dengan alunan qasidah yang diketuai oleh saudara Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi, Setiausaha Agung BKAWM. Kemudian ribat diteruskan dengan tazkirah Jumaat yang telah disampaikan oleh saudara Ab Samad bin Abdul Aziz, mantan penasihat BKAWM sesi 2010/2011.

     Saudara Ab Samad bin Abdul Aziz menekankan berkaitan kebergantungan dan keyakinan kepada Allah s.w.t khususnya dalam fatrah imtihan. Orang yang yakin adalah orang yang bersedia dan sentiasa rasa diperhatikan oleh Allah s.w.t. Beliau menegaskan bahawa budaya negatif seperti hedonism dan masalah sosial semasa adalah berpunca daripada kurangnya keyakinan terhadap Allah s.w.t.

     Pegangan mahasiswa Islam khususnya perlu diperbaiki tanpa mengabaikan peringatan Allah tentang dosa dan pahala dari sudut aqidah,ibadah dan akhlak. “Kita selaku abna’ul Azhar adalah terkebelakang jika kita tidak mengurus ibadah dengan baik” kata beliau. Beliau juga berpesan agar kita tidak berkira dengan Allah dalam melaksanakan ibadah dan menegaskan bahawa orang yang berkira dengan Allah adalah yang rugi. Tamat slot tazkirah Jumaat, ribat diakhiri dengan jamuan yang telah disediakan oleh Unit Surau di bawah LDPI.

   “Ribat adalah antara agenda pembentukan individu muslim yang menerapkan rasa kehambaan ahli kepada Allah sekaligus meningkatkan keyakinan dan kebergantungan kepada Allah s.w.t” ujar saudara Muhammad Syazwan Syamil mengulas berkaitan kepentingan ribat. BKAWM melalui LDPI akan terus optimis menganjurkan Ribat BKAWM dan berharap agar semua ahli memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]