Kalam Pimpinan - Peperiksaan Tamat Bukanlah Tamatnya Amalan

Bismillahirrahmanirrahim,

Lautan kesyukuran kita hadirkan ke dalam diri, mensyukuri keberadaan kita di dalam nafas keimanan dan ketaqwaan. Ribuan lafaz syukur kepada Ilahi yang menghamparkan rahmatNya buat sekelian ciptaanNya.

Mari kita berselawat ke atas junjungan besar umat ini, Nabi Allah yang mulia, Saidina Muhammad b. Abdullah saw. Tidak lupa jua, doa buat para sahabat baginda dan seluruh pencinta agama Allah yang telah gigih berusaha dalam memastikan api Islam terus menyala dan dapat melimpahkan cahayanya sehingga sampai kepada diri kita yang kerdil ini.

Apa khabar iman dan hati kita selepas berakhirnya peperiksaan? Ramai yang merasakan sangat lelah dan penat dalam menjaga disiplin ilmu. “Oh, tidak boleh melakukan itu, tidak boleh melakukan ini. Jika tidak ilmu akan lari.” Maka, sepanjang tempoh peperiksaan kita telah menjadi sangat teliti di dalam segala perilaku harian mahupun dalam aspek permakanan. Alhamdulillah, yang ditegah Ilahi, kita jauhi dan yang dijanji pahala, kita cari. Tetapi, bagaimana pula pada hari ini?

Rasa jemu menghadap penulisan fakta dan ilmiah. Rasa letih untuk memaksa otak mengingati fakta dan istilah terma yang pelik. Rasa lelah menjaga perilaku kehidupan. Segala rasa ini, setiap insan pasti pernah merasainya apabila menghadapi peperiksaan.

Pada hari ini, musim peperiksaan sudah selesai melabuhkan tirainya. Apakah kaedah yang telah kita pilih untuk menyalurkan rasa lelah dan jemu yang telah terkumpul sekian lama?

Ayuh kita semak semula apa yang sudah dirancang oleh kita untuk dilaksanakan sepanjang cuti ini. Tiada perancangan bertulis? Tidak mengapa, perancangan tidak semestinya berada di dalam keadaan bertulis dan berjadual. Cukup sekadar bertanya kepada diri sendiri secara jujur: “Apa yang saya ingin lakukan sepanjang tempoh cuti ini?”.

Kemudian, nilailah dengan mata hati. Apakah perancangan itu ada nilai tambahnya pada Islam? Atau hanya menjauhkan diri kita daripada nilai disiplin seorang muslim?

Tidakkah naluri kemanusiaan kita terjentik apabila mendengar khabar berita saudara kita di Palestin, Syria dan Myanmar? Tidakkah timbul suatu rasa bahawa tanggungjawab kita semakin besar dan setiap detik hayat kita itu cukup bernilai untuk dibazirkan dengan hanya ‘menipu’ diri agar menangis kerana drama syahdu filem korea?

Benar kata as-Syahid Imam Hassan al-Banna apabila mengungkapkan kata-kata bahawa tanggungjawab buat pemuda pada hari ini melebihi waktu yang dimiliki oleh mereka. Mungkin pada kali pertama kita mendengarnya, kita akan tertanya-tanya akan kebenarannya, kerana kita tidak pernah cuba memahami dan mengenalpasti tanggungjawab yang kita perlu dukungi. Tetapi, hal ini sangat bertentangan dengan para pejuang agama Allah, mereka sangat dambakan tambahan waktu demi melunaskan tuntutan tanggungjawab yang cukup besar dalam usaha mengembalikan Islam pada kedudukan yang selayaknya.

Mari kita periksa semula kewajaran perlaksanaan perancangan cuti kita. Andai sudah diketahui berpotensi membawa kepada kelalaian dan kemaksiatan, maka padamlah perancangan tersebut daripada kalendar cuti kita. Biarlah hati ini kekal terjaga sebagaimana keadaannya dijaga rapi sepanjang tempoh peperiksaan. Bukankah bulan Ramadhan yang dicintai semakin menghampiri? Mengapa tidak kita gunakan masa yang ada untuk mempersiapkan diri menghadapi bulan yang mulia ini.

Sehubungan dengan itu, kami daripada barisan kepimpinan BKAWM sangat mengalu-alukan sebarang cadangan aktiviti yang berbentuk pengisian rohani, kesukanan, kekeluargaan mahupun kelas pengajian daripada ahli untuk dijayakan bersama. Supaya masa cuti yang ada tidak dibiar begitu sahaja, tetapi terisi rapi dengan persiapan diri agar kita semua mampu memberikan manfaat kepada masyarakat islam.

Kami juga mendoakan kebaikan dan kejayaan kalian semua. Moga dikurniakan keputusan peperiksaan yang terbaik buat diri kalian dan Islam. Jangan hentikan doa anda, jangan hentikan sujud anda dan jangan hentikan amal baik anda. Kita bukan bertuhankan imtihan tetapi bertuhankan Allah, pemilik seluruh alam.

Andai ditakdirkan keputusan peperiksaan yang diperoleh tidak disenangi oleh diri, ketahuilah bahawa Allah telah menyusun segala sesuatu yang terbaik untuk setiap insan. Mungkin Allah memberikan kita sedikit rasa susah, supaya kita melihat kembali jadual hidup kita yang lepas. Kemungkinan kita sering melupakan diriNya. Kemungkinan kita hanya berusaha ‘hangat-hangat tahi ayam’. Percayalah, ia hanyalah sentuhan kasih daripada Ilahi supaya kita kembali ke dalam dakapanNya. Maka, usahlah bersedih, malah bergembiralah kerana Allah tidak membiarkan kita terus berada di dalam kealpaan. Allah maha mengetahui segala perkara yang terbaik buat diri kita, bersyukurlah dan carilah hikmah daripada setiap peristiwa yang muncul dalam hidup kita.

Kepada ahli yang sudah pulang/akan pulang ke tanah air. Sematlah dalam hati bahawa jangan biarkan kepulangan anda hanyalah sebuah kepulangan kosong tanpa memberi makna buat Islam. Rakyat negara kita sangat dahagakan permata ilmu yang kita perolehi sepanjang pengajian kita di bumi anbia’ ini. Berkongsilah dan bekerjalah bersama jemaah yang membangunkan masyarakat Islam. Harga tiket yang kita beli mahal itu hanya dapat dibayar nilainya semula dengan manfaat yang dapat anda berikan kepada masyarakat setempat. Andai sukar,cukuplah dengan berbakti kepada keluarga dengan sebaik-baiknya. Pamerkanlah akhlak Islam agar menjadi contoh kepada saudara mara yang melihat.

Kepada ahli yang tidak pulang ke Malaysia, marilah bersama BKAWM untuk memberi dan menerima. Pelbagai aktiviti menarik bakal menanti anda. Sudah pasti yang terdekat adalah program yang akan disusun buat sepanjang bulan Ramadhan. Pastikan anda tidak melepaskan peluang mengikutinya, kehadiran anda di dalam setiap program amatlah kami nantikan dan hargai. Hilangkan rasa malu dan tidak mahu, marilah bersama kami memperbaiki segala yang dirasa kurang. Agar akhlak Islami yang diimpi selama ini, dapat diwujudkan antara hubungan ini.

Semoga Allah meredhai setiap helahan nafas dan detik yang berlalu dalam hidup kita. Ayuh rakan, bersama dengan BKAWM meninggikan Islam dalam kehidupan. Eratkanlah tali persaudaraan antara kita andai masih longgar. Jangan dibiar kesatuan yang terbina selama 14 tahun ini runtuh kerana kita.

Akhir kalam, marilah kita memanjatkan doa ke hadrat ilahi agar kesatuan ini akan terus berada di atas landasan yang benar dan terus dapat menyalurkan kebajikan buat mereka yang mendukungi kesatuan ini. Moga BKAWM dapat terus memberikan manfaat pada agama yang dicintai kita semua. Islam untuk semua.

“KESATUAN UKHUWAH PEMANGKIN KECEMERLANGAN”

Muhammad Ilman bin. Abdul Razak,
Ketua Unit Perumahan dan Rehlah,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM),
Sesi 2011/2012.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]