KALAM PIMPINAN: Kebersamaan dalam BKAWM






Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi ruang dan peluang untuk menghirup udara yang segar dalam memastikan kehidupan ini terus berjalan walaupun tanpa membayar satu sen pun. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Pimpinan Agung kita iaitu Nabi Muhammad SAW serta kepada ahli keluarga Baginda, kaum kerabat, para tabi’ tabi’in dan seterusnya kepada para penyambung rantai perjuangan Islam yang sentiasa berjuang bagi memastikan Islam tetap berada di dada kita. Firman Allah SWT:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Ertinya : “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.“ (Surah Ali ‘Imran :103)

Kemudian dilanjutkan kembali di dalam al-Quran yang berbunyi:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Ertinya : “Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” (QS. Al An’am :153)

Kedua-dua ayat al-Quran ini sangat jelas menunjukkan bahawa kunci kemenangan Islam tidak lain dan tidak bukan adalah kuatnya kebersamaan dan ukhuwah di antara orang-orang Islam. Lalu, mengapakah kita perlu menjaga kekuatan dan ukhuwah kita?

Hal ini tidak lain adalah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud,
“Hampir saja umat-umat menyerang kalian dari segala penjuru, bagaikan rayap-rayap yang menyerang tempat makannya sediri” Lalu para sahabat bertanya, “Apakah jumlah kita waktu itu sedikit ya Rasulullah?”“Tidak,” jawab Rasulullah, “Malahan pada waktu itu kalian berjumlah sangat banyak, tetapi kalian adalah buih bagaikan air bah. Sesungguhnya Allah SWT telah mencabut kewibawaan kalian dan pada waktu yang sama Allah menanamkan Wahn dalam hati kalian.” Para sahabat bertanya, “Apa Wahn itu ya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, "Cinta dunia dan takut mati."

Oleh hal yang demikian, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sebagai
persatuan gerakan Islam yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) amat mementingkan aspek kebersamaan dan ukhuwah Islamiah. Kesatuan mahasiswa BKAWM bukan sahaja untuk anak-anak Kuala Lumpur akan tetapi termasuklah juga anak-anak Putrajaya dan Labuan. Melalui kesatuan inilah akan terpupuknya sifat kerjasama dan saling membantu terutamanya dalam aspek pengajian dan kebajikan antara kita. Ketahuilah, persatuan ini sememangnya tidak menjanjikan pulangan material, kemasyhuran, pangkat dan kekayaan. Akan tetapi, persatuan ini adalah suatu platform untuk mendidik kita mengenal Islam secara syumul.

Perlulah kita sedari bahawa Khilafah Uthmaniyah yang jatuh pada 3 Mac 1924 adalah berpunca daripada tidak bersatunya dan bersamanya umat Islam pada zaman tersebut. Adakah kita ingin mengulangi sejarah ini? Jawapannya semestinya TIDAK. Sejarah BKAWM telah membuktikan, para pejuang terawal (abang-abang dan kakak-kakak lama) telah menubuhkan BKAWM bukan sahaja demi kebajikan dan pengajian bahkan demi kebersamaan ahli dalam menggapai keredhaan Allah SWT sekali gus melahirkan pelapis mata rantai perjuangan. Jadi, persatuan yang telah terbina ini janganlah pula kita bina yang baru, KESATUAN yang satu ini janganlah kita membilangkannya. Bersamalah kita dikala susah dan senang, suka dan duka. Sekiranya terdapat kekurangan dan kecacatan dalam persatuan ini, sama-samalah kita membantu dan menampungnya, janganlah sekadar suara itu berlalu di bibir sahaja.



MUHAMMAD YASIN BIN AWANG
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]