XPDC '14 Menyingkap Sejarah al-Fayoum


KAHERAH, 26 Ogos 2014- Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan Ekspedisi Jejak Fayoum 2014 (XPDC ‘14) pada 21 Ogos yang lalu bagi siswa dan 23 Ogos yang lalu bagi siswi. Dengan bertemakan “Alam Ditelusuri, Erat Silaturrahim”, XPDC ‘14 telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 15 orang peserta siswa dan 35 orang peserta siswi.

          Bersesuaian dengan temanya, XPDC ‘14 diadakan bagi mencapai dua objektif utama. Objektif pertama ialah meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T dengan menghayati dan mentadabbur alam ciptaan-Nya. Manakala objektif yang kedua ialah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli BKAWM. Kedua-dua objektif ini diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang XPDC ‘14.

          Para peserta XPDC ‘14 dibawa untuk melihat tempat-tempat bersejarah di kota ibrah Fayoum. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah Wadi ar-Rayyan, Istana Qarun, Tasik Qarun, Taman Ain Selien dan Kincir Air Nabi Yusuf A.S. Pelbagai sirah dan sejarah berkaitan kota Fayoum diceritakan oleh mushrif yang menemani para peserta berkaitan tempat-tempat yang dilawati. Pelbagai pengajaran juga dapat diambil oleh para peserta melalui kisah-kisah yang diceritakan. Antaranya ialah kisah Qarun yang bersikap takabbur dan sombong kepada Allah dan nabi Musa setelah dimakbulkan doanya oleh Allah untuk menjadi hamba yang kaya supaya dapat membantu orang-orang miskin. Akhirnya, Qarun dan semua harta-hartanya ditenggelamkan Allah di Tasik Qarun seperti firmanNya dalam surah al-Qasas ayat 81:

          “Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).” 


          Di samping itu, para peserta juga dihidangkan dengan beberapa aktiviti yang dilaksanakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama peserta. Antaranya, sesi taaruf sesama peserta, tazkirah pendek yang disampaikan oleh peserta, pertandingan kuiz dan penyampaian hadiah. Aktiviti-aktiviti ini walaupun hanyalah aktiviti sampingan, tetapi penting untuk memecah bendungan yang ada dalam kalangan peserta di samping dapat mencapai objektif yang disasarkan oleh pihak penganjur. Natijahnya, para peseta dapat mengikuti XPDC ‘14 dalam keadaan ceria dan mesra sesama mereka meskipun ramai di antara mereka yang tidak pernah bertemu mata pun sebelum ini. Tambahan pula, taakhi zon A PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan iaitu PMRAM cawangan Kedah turut sama menghantar wakil bagi menyertai XPDC ‘14 ini.


  

          “Alhamdulillah, XPDC ‘14 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Diharapkan agar para peserta dapat mengambil ibrah dan pengajaran dalam penghayatan terhadap sejarah-sejarah lampau yang telah disajikan sepanjang XPDC ‘14. Sejarah yang baik hendaklah diambil sebagai pedoman dan yang tidak baik hendaklah dijadikan pengajaran,” ulas saudari Nabihah binti Ahmad Rosdi, Timbalan Pengarah Ekspedisi Jejak Fayoum 2014.

          Pihak BKAWM mengharapkan agar para peserta XPDC ‘14 dapat mengambil manfaat daripada aktiviti yang dianjurkan ini. Di samping dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli BKAWM sejajar dengan tema BKAWM pada sesi ini, iaitu “Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah, Satu Amal”

SALAM '14- Aidilfitri Dirai, Solidariti Dihayati











KAHERAH, 12 Ogos 2014 – Pada tanggal 29 Julai 2014 bersamaan 2 Syawal 1435 telah berlangsung Sambutan Aidilfitri BKAWM 2014 (SALAM ’14), anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014. Dengan bertemakan ‘Aidilfitri Dirai, Solidariti Dihayati’, program ini diadakan bertujuan menyatakan sokongan dan solidariti BKAWM kepada Palestin di samping menyambut Aidilfitri. Antara objektif yang disasarkan oleh pihak penganjur program ialah:
1. Memperkasakan pengaplikasian sunnah dalam realiti kehidupan.
2. Meningkatkan thaqafah dan kemahiran dalam kalangan ahli.
3. Memupuk pembangunan individu muslim Rabbani.
4. Memanifestasikan ukhuwah dalam kalangan ahli.



          




          Aktiviti dijalankan seawal pukul 6:00 pagi dengan penyiaran Radio Raya oleh dua orang deejayKemudian, pada pukul 8:00 pagi, tazkirah dhuha disampaikan oleh saudara Muhammad Ilman Bin Abdul Razak. Selepas itu, para peserta disajikan dengan sarapan raya yang disediakan oleh AJK pelaksana SALAM ‘14. Seterusnya, permainan indoor dijalankan sehingga pukul 12:00 tengah hari. Antara permainan yang dijalankan di sebelah siswa adalah Berbalas Pantun, Karaoke Aidilfitri, Permainan Komputer: Solidarity for Palestine. Manakala di sebelah siswi dijalankan aktiviti pertandingan nasyid, sajak berantai, regu, Cap Kalicap dan Katak Beraya.
         

          Sambutan SALAM ‘14 direhatkan selepas Zohor bagi memberi laluan kepada ahli bagi menghadiri jamuan raya anjuran PERUBATAN cawangan Azhar. SALAM ‘14 diteruskan pada sebelah malamnya dengan majlis perasmian penutup IHTIRAM ’14 yang dipengerusikan oleh saudara Muhammad Ilman Bin Abdul Razak. Majlis diteruskan dengan persembahan nasyid daripada barisan AJKT BKAWM, penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang telah dijalankan sepanjang IHTIRAM ’14 dan SALAM ‘14, serta tayangan video Nostalgia Aidilfitri dan Memento Ramadan. Majlis diakhiri dengan jamuan raya.

         Sambutan SALAM ’14 sangat menggalakkan dengan kehadiran ahli yang sangat ramai. Bak kata pepatah, ‘Di mana ada gula, di situ ada semut’! Turut hadir, wakil-wakil daripada PMRAM cawangan negeri dan DPM, Badan Pengurus PMRAM serta HEWI PMRAM. Kehadiran yang ramai ini memeriahkan majlis pada malam ini.

          “Alhamdulillah Sambutan Aidilfitri pada kali ini ada kelainan dan cukup-cukup meriah. Semoga dengan tema yang dibawa pada SALAM ‘14 benar-benar dapat menjentikkan kesedaran pada kita supaya sentiasa cakna akan keadaan saudara-saudara kita di Gaza. Dalam kita beraya, tidak dilupakan mereka yang sedang menderita di sana,” ujar saudara Muhammad Hakimi bin Rosli, Pengarah SALAM ‘14.

          Pihak BKAWM mengucapkan tahniah kepada seluruh AJK pelaksana yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan SALAM ‘14. Tidak dilupakan juga kepada ahli-ahli yang telah membantu dan memeriahkan lagi Sambutan Aidilfitri BKAWM pada tahun ini. Semoga Aidilfitri yang dirai dapat dimaknakan dengan erti kemenangan yang hakiki.

“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah Satu Amal”




  




KALAM PIMPINAN: PERMAS Meneguh Kesatuan Ahli di Muhafazah



Assalamualaikum w.b.t

:(قال النبي (ص


"لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه"

Maksudnya:
“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri”

          Marcapada kini, seringkali kita mendengar masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat tidak kira latar belakang pengajian. Hal ini berlaku kerana sifat egocentric yang menebal dalam diri masing-masing serta faktor-faktor sampingan yang lain. Perkara ini jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan perpecahan yang teruk sesama umat Islam pada masa akan datang.

          Sehubungan dengan itu, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah ditubuhkan seawal tahun 1998 dengan tujuan bagi menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan yang bermastautin di perantauan Mesir. Alhamdulillah, setelah sekian lama, BKAWM berjaya menyatukan anak-anak Wilayah Persekutuan tidak kira di bumi Kaherah mahupun di muhafazah.


          Tambahan pula, bagi meraikan ahli-ahli di muhafazah, sebuah unit yang dinamakan Unit Perwakilan Mahasiswa (PERMAS) telah ditubuhkan sebagai satu wasilah antara ahli di luar Kaherah dengan persatuan BKAWM. Melalui PERMAS, setiap informasi daripada BKAWM yang berkaitan pemakluman sebarang aktiviti dan program dapat disampaikan dengan lebih sistematik. Secara tidak langsung, sebuah hubungan yang erat juga dapat dijalinkan walaupun tinggal berjauhan.

          Setiap muhafazah telah dilantik beberapa orang duta bagi PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan mewakili 6 muhafazah iaitu Shoubra, Zagazig, Tanta, Mansurah, Dumyat dan Iskandariah. Duta-duta ini berperanan sebagai orang tengah dalam menyalurkan maklumat-maklumat daripada BKAWM sekaligus melicinkan lagi gerak kerja di peringkat persatuan.

          Unit PERMAS juga dijadikan sebagai satu alternatif kepada para pimpinan BKAWM dalam mempermudahkan sebarang urusan bagi ahli yang menetap di luar Kaherah. Antaranya urusan kutipan yuran tahunan ahli, culaan data taburan ahli di muhafazah-muhafazah, pengumpulan maklumat keputusan peperiksaan dan sebagainya.

         Akhirnya, kita BKAWM berharap bahawa penubuhan Unit PERMAS ini dapat memberi banyak manfaat dari setiap sudut bagi memudahkan gerak kerja masing-masing. Seterusnya, ukhuwah yang telah terjalin antara persatuan BKAWM dengan anak-anak Wilayah Persekutuan di muhafazah-muhafazah dapat dieratkan serta dikekalkan agar kesatuan yang dibina terus gah dan utuh dalam menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir. Wabillahi taufik Walhidayah. Wassalam.

Ahmad Mustaqim bin Ramli
Naib Setiausaha Agung
Merangkap Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

IHTIRAM ’14 MEMBINA TARBIYAH RUHIYAH




KAHERAH, 10 Ogos 2014 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2013/2014 telah menganjurkan program Ihya’ Tarbawi Ramadan 2014/1435 H (IHTIRAM ’14) pada sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Dengan bertemakan “Ibrah Ramadan, Inspirasi Perjuangan”, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi meningkatkan thaqafah dan kemahiran ahli serta membentuk pembangunan insan muslim rabbani.


          



         
           Antara aktiviti yang telah diadakan di dalam program IHTIRAM ’14 ialah diskusi kitab “Al-Qiraat Manhaj Al-Hayat”, daurah kitab “Syamail Muhammadiyyah”, solat sunat terawih di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP) dan masjid-masjid di sekitar Kaherah serta aktiviti Maidah Rahman dan Syantah Ramadan. Iftar Jamaie dan Iftar Mahabbah juga diadakan bagi mengeratkan ukhuwah antara ahli BKAWM sendiri. Selain itu, aktiviti amal dan malam gema takbir turut diadakan pada bulan Ramadan ini. Suasana cukup meriah meskipun ramai ahli BKAWM yang pulang ke Malaysia.

          “Alhamdulillah, dengan adanya variasi aktiviti dalam program IHTIRAM ’14, saya dapat mengenali 
sahabat ahli lain terutamanya yang tidak pulang ke Malaysia dengan lebih rapat dan meningkatkan tarbiyah ruhiyah saya dalam madrasah Ramadan tahun ini,” ujar saudara Aizat Arif Bin Jamalullail, Tahun 2 Perubatan, Universiti al-Azhar yang juga merupakan Setiausaha program IHTIRAM ‘14.


         Pihak BKAWM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah bertungkus lumus bagi mengadakan IHTIRAM ‘14 sama ada secara langsung atau tidak langsung. Di kesempatan ini juga, BKAWM ingin menyampaikan sekalung penghargaan kepada para ahli yang telah menyokong dan menjayakan program-program BKAWM yang sentiasa komited dalam mengisi ahli dengan tarbiah ruhiyah demi membentuk mahasiswa Islam yang Rabbani. Semoga dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti ini, dapat memudahkan kita untuk mempertingkatkan lagi amalan-amalan kita dan diterima oleh Allah S.W.T.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

        





Kembara Mahabbah Mengunjungi Permata BKAWM



KAHERAH, 7 Ogos 2014- Barisan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan Kembara Mahabbah ke cawangan Zaqaziq sempena Aidilfitri sekaligus menziarahi ahli yang baru menerima kelahiran baru pada 4 Ogos yang lalu.

          Saudari Hakimah binti Mohamed yang juga merupakan mantan Timbalan Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan BKAWM sesi 2008/2009 selamat melahirkan seorang puteri sulung pada jam 5.30 petang waktu tempatan di Hospital Madinah, Zaqaziq. Berat bayi berkenaan sekitar 2.7 kg.

          Sebelum pulang, pihak AJK HEWI BKAWM yang diketuai oleh Naib Pengerusi HEWI 2, saudari Nur Hazimah binti Mat Basri menyampaikan cenderamata dan sedikit sumbangan kepada saudari Hakimah dan pasangannya, saudara Mohd Shobri bin Mat Yaakob. Semoga dengan kehadiran srikandi kecil ini bakal menjadi penyeri bahtera rumahtangga yang dibina seterusnya menjadi srikandi pejuang harapan ummah pada masa akan datang.

"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"
"Satu Fikrah Satu Amal"

KALAM PIMPINAN: Ibrah Syawal



          Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menyambut bulan Syawal, setelah sebulan menjalani madrasah ramadan pada tahun ini. Bulan Syawal juga, merupakan bulan kemenangan yang diberikan kepada umat Islam setelah sebulan umat Islam bertungkus lumus menjalani madrasah tarbiah Ramadan dengan penuh kesabaran. Mudah-mudahan setiap amalan yang dilakukan dapat menatijahkan taqwa.

          Sebelum berbicara lebih lanjut, saya ingin pembaca mengimbau seketika sejarah suci yang berlaku pada 17 Syawal iaitu peperangan Uhud yang berlaku di Bukit Uhud. Terdapat beberapa fakta yang secara zahirnya merupakan sebuah kekurangan bagi tentera Islam. Antaranya dari segi bilangan tentera Islam ketika berlakunya peperangan iaitu seramai 1000 orang sahaja berbanding tentera musuh seramai 3000 orang. Namun, kita dapat lihat bagaimana Uhud membentuk fikrah para sahabat supaya wala’ dengan sesuatu arahan dari pimpinan atasan sama ada dalam keadaan sukar mahupun senang.

          Alhamdulillah, pada kali ini Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sekali lagi berkesempatan untuk meneruskan lagi aktiviti bagi menyambut bulan Syawal bersama anak-anak Wilayah Persekutuan sama ada yang berada di Kaherah mahupun cawangan di bawah program Sambutan Aidilfitri BKAWM 2014 (SALAM ‘14). Pihak ahli jawatankuasa pelaksana SALAM ‘14 telah menyusun pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang berlangsungnya SALAM ‘14 yang kemuncaknya adalah pada 2 Syawal yang lalu bagi meraikan ahli Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir.

          Di kesempatan ini, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) sesi 2013/2014 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang telah menjayakan SALAM ‘14. Di samping itu, pihak LDPI ingin menggalakkan kepada semua agar dapat meneruskan kesinambungan ibadah-ibadah sunat yang kita kerjakan di sepanjang Ramadhan yang lalu. Tambahan pula, pada bulan Syawal ini juga disunatkan kepada umat Islam untuk berpuasa sunat selama enam hari selain memenuhi masa dengan aktiviti ziarah-menziarahi saudara mara dan sahabat handai yang dekat mahupun berjauhan. Semoga Syawal kali ini dapat kita manfaatkan bagi mengerjakan amal kebajikan sebanyak yang termampu di samping dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

         Akhir kata, sesungguhnya hikmah dan kebaikan Syawal itu terhampar luas di hadapan kita. Oleh itu, dalam kita menjalani ibadah Syawal ini bawalah diri belayar mencari cinta Allah. Tarbiyahlah diri selagi masih ada peluang dan selagi Allah masih melabuhkan kasih sayangNya kepada kita. Wallahu’alam.


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”


Noor Syairah Atiqah binti Rahim
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014.


Ziarah Mahabbah Mengerat Hubungan Dua Hala



KAHERAH, 4 Ogos 2014- Barisan AJK Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan Ziarah Mahabbah sempena Aidilfitri ke Markas HEWI PMRAM 2014 yang bertempat di Hayyu Sabie. Seramai 6 orang AJK HEWI BKAWM telah berkunjung ke markas yang diketuai oleh saudari Nur Hazimah binti Mat Basri selaku Naib Pengerusi HEWI 2 merangkap pemangku Naib Pengerusi HEWI 1.

          Kunjungan bermula seawal jam 10 malam dan berakhir pada jam 12 malam. Pelbagai juadah disediakan oleh tuan rumah. Aktiviti ziarah berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni dan penuh mahabbah. Pelbagai perkara yang bermanfaat dibicarakan dan dibincangkan.

          Seterusnya, AJK HEWI yang hadir sempat bertaaruf dan saling bertukar-tukar maklumat diri dengan tuan rumah di samping mendengar ucapan daripada wakil bagi kedua-dua pihak. Saudari Farida Hamimie binti Mohd Saupi, Ketua Unit Kesenian, Kebudayaan dan Kemasyarakatan HEWI PMRAM mewakili tuan rumah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan yang dilakukan. Beliau mengingatkan kepada semua agar dalam kita menyambut kemeriahan Syawal, jangan lupa untuk meneruskan pesta ibadah kita di bulan Ramadhan dengan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Ziarah Mahabbah berakhir dengan sesi fotografi.

          Pihak BKAWM mengharapkan agar dengan Ziarah Mahabbah yang dianjurkan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara BKAWM dengan PMRAM sebagai persatuan induk mahasiswa Malaysia di Mesir yang merupakan salah satu daripada Penaung kepada BKAWM dan selaku pencetus kelahiran BKAWM di bumi kinanah ini. Di kesempatan ini, barisan AJK HEWI mengambil peluang untuk mengucapkan, “Selamat Hari Raya Aidilfitri, كل عام وأنتم بخير” kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada di perlembahan nil ini khususnya kepada anak-anak Wilayah Persekutuan.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

Futsal Aidilfitri Mendapat Sambutan




KAHERAH, 3 OGOS 2014 – Semalam Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan sesi 2013/2014 telah menganjurkan aktiviti  futsal sempena musim Aidilfitri yang telah menjelma tiba. Suasana aktiviti cukup meriah dengan kehadiran mahasiswa yang pelbagai latar belakang pengajian seramai 25 orang.

Turut hadir ialah ketua penasihat Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir, saudara Mohd Bazli bin Zakaria dan penasihat Perubatan Ain Syam, saudara Fathoni. Aktiviti bermula seawal jam 10.00 malam sehingga 12.00 tengah malam bertempat di padang futsal Gunners.

“Alhamdulillah walaupun kepulangan anak-anak Wilayah yang begitu ramai, kita berjaya juga untuk mengeratkan silaturrahim melalui aktiviti bermain bola sesama mahasiswa-mahasiswa Wilayah Persekutuan yang berbaki di perantauan Mesir," ujar saudara Ahmad Mustaqim bin Ramli, Ketua Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan sesi 2013/2014.

Harapan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir agar ikatan ukhuwah sesama ahli dapat dikekalkan dan sentiasa menjaga kesinambungan persatuan yang menaungi anak-anak Wilayah.

Pameran Free Gaza Menyuntik Kesedaran Mahasiswa




 


Kaherah, 3 Ogos 2014– Lajnah Kebajikan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah mengadakan pameran Free Gaza pada 28 Julai yang lalu bersamaan 1 Syawal. Pameran tersebut diadakan bersempena Sambutan Aidilfitri BKAWM 2014 (SALAM ’14) yang bertemakan “Aidilfitri Dirai Solidariti Dihayati".

           Pameran tersebut telah diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP). Waktu pameran bermula sejurus selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan berlanjutan sepanjang hari. Sasaran pameran tersebut adalah khusus untuk anak Wilayah Persekutuan yang masih berada di Mesir dan umumnya untuk semua mahasiswa dan mahasiswi di Perlembahan Nil.

           Objektif utama pameran ini diadakan adalah untuk menyuntik kesedaran mahasiswa tentang isu umat Islam sekarang di Palestin khususnya di Gaza. Pameran tersebut mendapat sambutan yang sangat meriah dari kalangan mahasisiwa sekitar Kaherah. Pimpinan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) juga turut menjayakan pameran Free Gaza ini.
        

             Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah ruang bergambar uniform lengkap Briged  al-Qassam, ruang informasi berkaitan dengan isu semasa Palestin serta replika kereta kebal, tembok besar yang memisahkan Palestin dan sebagainya. Selain itu, turut menceriakan suasana pameran ialah hiasan backdrop bendera Palestin.

          “Kami sangat teruja dan mengucapkan tahniah kepada PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan kerana mampu mengadakan pameran seperti ini,“ kata saudari Nurul Izzati binti Rohani selaku Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM sesi 2014.

          Harapan dari barisan pimpinan BKAWM sesi 2013/2014 kepada seluruh anak Wilayah Persekutuan agar terus ambil cakna berkaitan isu saudara kita di bumi Palestin khususnya. Di 
samping kita menyambut hari raya Aidilfitri kita tidak melupakan nasib saudara kita di sana. Sama-samalah kita mendoakan supaya Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam di seluruh dunia khusus di bumi Palestin.

"Satu Fikrah Satu Amal"
"Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah"





















Iftar Jamaie Anjuran Bersama PPMM dengan BKAWM Meriah




KAHERAH, 27 JULAI 2014 – Sebuah Majlis Berbuka Puasa telah diadakan pada 27 Julai yang lalu iaitu pada malam terakhir Ramadhan bersama anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) dengan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014.

          Majlis bermula seawal jam 5.00 petang dengan ucapan daripada Yang Dipertua BKAWM 2013/2014, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman, Pegawai Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan, Haji Ahmad Yahya bin Mohd Haniff dan TYT Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir atau lebih dikenali dengan Pak Ku.

          Majlis diteruskan dengan aktiviti khatam Al-Quran dan tahlil yang diketuai oleh saudara Muhd Bazli bin Zakaria. Para hadirin dijamu dengan juadah yang disediakan sesudah solat Maghrib. Turut hadir Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) merangkap Menteri Penasihat, Kedutaan Besar Malaysia ke Kaherah (KBMK) beserta seluruh pegawai kedutaan dan negeri di Mesir. Suasana cukup meriah dan ceria dengan kehadiran para tetamu.

          “Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang hadir kerana telah menjayakan program berbuka puasa pada malam ini. Semoga ukhuwah yang terjalin antara kita dapat dikekalkan selamanya”, ujar saudari Munira binti Mahammad Noor, Timbalan Pengarah Ihya’ Tarbawi Ramadhan 2014 (IHTIRAM ’14).

     
     

          Pihak BKAWM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PPMM di atas tajaan jamuan iftar pada kali ini. Di kesempatan ini, seluruh barisan kepimpinan BKAWM mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada semua anak Wilayah Persekutuan khususnya dan kepada muslimin dan muslimat secara umumnya. Semoga amalan kita diterima oleh Allah S.W.T.


“Satu Fikrah, Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”



Blogroll

Loading...