KALAM PIMPINAN: PERMAS Meneguh Kesatuan Ahli di Muhafazah



Assalamualaikum w.b.t

:(قال النبي (ص


"لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه"

Maksudnya:
“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri”

          Marcapada kini, seringkali kita mendengar masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat tidak kira latar belakang pengajian. Hal ini berlaku kerana sifat egocentric yang menebal dalam diri masing-masing serta faktor-faktor sampingan yang lain. Perkara ini jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan perpecahan yang teruk sesama umat Islam pada masa akan datang.

          Sehubungan dengan itu, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah ditubuhkan seawal tahun 1998 dengan tujuan bagi menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan yang bermastautin di perantauan Mesir. Alhamdulillah, setelah sekian lama, BKAWM berjaya menyatukan anak-anak Wilayah Persekutuan tidak kira di bumi Kaherah mahupun di muhafazah.


          Tambahan pula, bagi meraikan ahli-ahli di muhafazah, sebuah unit yang dinamakan Unit Perwakilan Mahasiswa (PERMAS) telah ditubuhkan sebagai satu wasilah antara ahli di luar Kaherah dengan persatuan BKAWM. Melalui PERMAS, setiap informasi daripada BKAWM yang berkaitan pemakluman sebarang aktiviti dan program dapat disampaikan dengan lebih sistematik. Secara tidak langsung, sebuah hubungan yang erat juga dapat dijalinkan walaupun tinggal berjauhan.

          Setiap muhafazah telah dilantik beberapa orang duta bagi PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan mewakili 6 muhafazah iaitu Shoubra, Zagazig, Tanta, Mansurah, Dumyat dan Iskandariah. Duta-duta ini berperanan sebagai orang tengah dalam menyalurkan maklumat-maklumat daripada BKAWM sekaligus melicinkan lagi gerak kerja di peringkat persatuan.

          Unit PERMAS juga dijadikan sebagai satu alternatif kepada para pimpinan BKAWM dalam mempermudahkan sebarang urusan bagi ahli yang menetap di luar Kaherah. Antaranya urusan kutipan yuran tahunan ahli, culaan data taburan ahli di muhafazah-muhafazah, pengumpulan maklumat keputusan peperiksaan dan sebagainya.

         Akhirnya, kita BKAWM berharap bahawa penubuhan Unit PERMAS ini dapat memberi banyak manfaat dari setiap sudut bagi memudahkan gerak kerja masing-masing. Seterusnya, ukhuwah yang telah terjalin antara persatuan BKAWM dengan anak-anak Wilayah Persekutuan di muhafazah-muhafazah dapat dieratkan serta dikekalkan agar kesatuan yang dibina terus gah dan utuh dalam menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir. Wabillahi taufik Walhidayah. Wassalam.

Ahmad Mustaqim bin Ramli
Naib Setiausaha Agung
Merangkap Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]