FIKIR '14 Menyuburkan Suasana Ilmiah




KAHERAH, 21 September 2014– Unit Pendidikan dan Pengetahuan (UPEP) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan satu program ilmiah iaitu Festival Ilmuwan Kontemporari 2014 (FIKIR ’14) dengan bertemakan “Sejarah Terdahulu, Panduan Generasi Baharu”. FIKIR ‘14 telah diadakan bertujuan untuk menyuburkan budaya perbincangan ilmiah secara sihat dan progresif serta mendedahkan kepada ahli mengenai peristiwa penting sepanjang abad ke-20 dan hala tuju umat Islam pasca kejatuhan khalifah.


          FIKIR ’14 ini diserikan dengan alunan qasidah dari kumpulan Qasidah BKAWM sebagai persembahan pembukaan program FIKIR ’14. Kehadiran peserta pada program ini amat memberangsangkan dan suasana ilmiah yang kondusif dapat dirasai sepanjang program FIKIR ’14 ini berlangsung. 
          Program FIKIR ’14 telah diadakan selama sehari bertempat di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan Kaherah dengan dua slot pengisian yang menarik bermula dari jam 10 pagi dengan slot pengisian “Merungkai Faktor Kemunduran Timur Tengah” oleh saudara Muhammad Ilman Bin Abdul Razak, Pengarah Pusat Sumber Tenaga PMRAM (PESAT) yang juga merupakan Penasihat BKAWM sesi 2013/2014. Manakala di sebelah malam pula diadakan forum “Pasca 1924: Adakah Kita Masih Perlukan Khilafah?” yang dibarisi oleh dua orang panelis yang hebat iaitu saudara Mohamad Naqib Bin Mohd Bakhudin, Felo MANHAL dan saudara Ahmad Shakir Bin Muhammad Faleh Lai, Pengarah Mini Pavilion yang melabuhkan tirai program FIKIR ’14 dengan fakta-fakta sejarah yang padat dan mutakhir. Forum ini dikendalikan oleh moderator saudara Muhammad Luqman Hakim Bin Abd. Halim, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM 2013/2014. 
          “Program FIKIR ’14 ini merupakan gelanggang ilmiah yang diwujudkan bagi merungkai kemelut persoalan yang ada dalam komuniti kita. Oleh itu, Jawatankuasa Pelaksana FIKIR ‘14 ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian semua yang hadir menimba ilmu sepanjang berada dalam program FIKIR ’14 ini,” ujar saudara Ahmad Faris bin Mazlan, Unit Tindakan Khas FIKIR ’14.
          Harapan agar program FIKIR ’14 dapat dijadikan sebagai program tahunan dan lebih banyak program ilmiah sebegini dapat diwujudkan bagi menambahkan thaqafah ahli khususnya dalam kecaknaan isu global semasa.


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”





SERAMBI WILAYAH GABUNGAN MEMBINA PELAPIS BERKUALITI







KAHERAH, 28 September 2014– Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan Serambi Wilayah Gabungan pada 18 September yang lalu. Serambi Wilayah merupakan sebuah aktiviti mingguan yang diadakan bagi mengumpulkan ahli-ahli BKAWM untuk sama-sama mengeratkan ukhuwah di samping berkongsi ilmu dan pengalaman. Untuk Serambi Wilayah pada kali ini, pihak UPR mengadakan Serambi Wilayah Gabungan dengan membawakan sebuah pengisian khas, iaitu “Kursus Vokasional” kepada semua anak Wilayah Persekutuan.

          Serambi Wilayah Gabungan ini telah diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan dan bermula seawal selepas Maghrib dengan bacaan Yasin serta tahlil. Serambi Wilayah kali ini menampilkan Ustaz Aimi Akmal bin Mohd Zaini daripada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) yang merupakan pengisi jemputan bagi pengisian khas “Kursus Vokasional”. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua ahli tentang cara-cara untuk menangani pelbagai masalah yang timbul berkaitan pempaipan serta pembaikan dan pemasangan lampu sekiranya berlaku kerosakan. Selain itu juga, pengisian ini diadakan untuk mengasah bakat semua ahli BKAWM dalam bidang vokasional khususnya agar dapat melahirkan generasi pelapis yang mampu menangani masalah kerosakan yang berlaku tanpa memerlukan khidmat bantuan daripada orang lain, khususnya daripada warga tempatan Mesir.  
          “Alhamdulillah, Serambi Wilayah Gabungan kali ini mendapat sambutan yang hangat daripada ahli dan program berjalan dengan jayanya bersama harapan bahawa BKAWM mampu melahirkan ahli yang berkemahiran dalam bidang vokasional serta mampu berdikari untuk membaiki kerosakan di rumah masing-masing. Hal ini secara tidak langsung bertepatan dengan objektif Unit Perumahan dan Rehlah pada sesi ini iaitu menyediakan alternatif kepada ahli untuk menambah ilmu pengetahuan di samping membina hubungan yang erat melalui kursus yang dijalankan,” ujar saudari Nur Hidayahtul Aiman binti Johan, Timbalan Unit Perumahan dan Rehlah BKAWM sesi 2013/2014.
          Semoga dengan program yang dijalankan ini dapat memberi manfaat kepada semua ahli BKAWM. Segala ilmu yang diperolehi diharapkan dapat diamalkan serta melahirkan generasi pelapis yang berkualiti sejajar dengan salah satu misi BKAWM pada sesi ini, iaitu “Membina generasi pelapis yang berkualiti”.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”





Pengumuman Operasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) Sesi 2013/2014


Adalah dengan segala hormatnya ingin dimaklumkan bahawasanya SPR BKAWM sesi ini akan memulakan operasi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKAWM bagi sesi 2014/2015.


Ahli Jawatankuasa SPR BKAWM sesi ini adalah seperti berikut:

Pengarah:
Muhammad Daud bin Ashaari

Timbalan Pengarah merangkap Setiausaha:
Norhazirah binti Mat Basri

AJK Tugas-tugas Khas:
Nor Latifah binti Mohd Jupri


Dengan ini dimaklumkan bahawa pihak SPR BKAWM sesi ini akan menjalankan operasi SPR BKAWM pada tarikh bermula 30 September 2014 hingga 03 Oktober 2014.


Di sini dilampirkan bersama Peraturan SPR BKAWM 2013/2014. Sebarang maklumat berkenaan SPR BKAWM sesi 2013/2014 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa atau boleh menghubungi nombor telefon berikut:

Pengarah SPR BKAWM: Muhammad Daud bin Ashaari (+2011 1672 1442)

Timbalan Pengarah SPR BKAWM: Norhazirah binti Mat Basri (+2011 2642 6334)


Sekian, dimaklumkan.


“BERSIH, TELUS DAN AMANAH”


Saya yang menjalankan amanah,

(MUHAMMAD DAUD BIN ASHAARI)
Pengarah,
Suruhanjaya Pilihanraya,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014.



TINTA ILMIAH: Panduan Diet Seimbang





ARTIKEL BULAN SEPTEMBER EDISI 02/14

PANDUAN DIET SEIMBANG

Mafhum hadis Rasulullah SAW:
‘Dua nikmat yang sering melekakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan kelapangan masa’


Tanya pada diri..

::Adakah benar apa yang kita makan setiap hari itu menyihatkan dan mencukupi ?

::Adakah kita mengamalkan diet yang seimbang?


l) Diet seimbang bermaksud sajian makanan yang mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh dengan kadar yang betul.

2) Pemakanan yang seimbang amat penting demi memastikan kehidupan yang lebih sihat dan mengurangkan risiko mendapat penyakit berbahaya seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.

3) Cara memulakan diet seimbang adalah melalui pengambilan makanan mengikut piramid makanan. Namun demiki, pengamalan diet seimbang adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada kadar kalori masing-masing.


Petua sihat..

1. Mengambil makanan dengan kerap tetapi dalam kadar yang sederhana supaya tubuh tidak kehabisan tenaga dan mengambil banyak makanan ketika lapar.

2. Amalkan pengambilan makanan rendah lemak dan kalori serta lebih mengutamakan kandungan protein dalam setiap menu makanan seperti tuna, ayam tanpa kulit dan kekacang.

3. Minum air yang banyak (6-8 gelas) setiap hari serta memilih waktu yang terbaik untuk minum air terutamanya selepas bangun pagi, 3o minit sebelum makan dan sepanjang hari. Ini bagi membantu pembakaran kalori yang berlebihan dalam badan dan meningkatkan kadar metabolisme.

4. Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

5. Amalkan pengambilan makanan yang mampu menghindari masalah kolesterol seperti oat, badam, minyak zaitun dan sayuran.

6. Mengurangkan penggunaan gula dan garam dalam masakan.

7. Mengelakkan penggunaan MSG dalam makanan sebagai penyedap rasa.



Kesan diet tidak seimbang..

:: Obesiti
:: Sakit jantung dan strok
:: Kencing manis
:: Tekanan darah tinggi
:: Malnutrisi 
:: Kwashiorkor 
:: Osteoporosis


Osteoporosis

Malnutrisi











Kwashiorkor
TAHUKAH ANDA??
Serat ialah sejenis karbohidrat yang terdapat dalam kekacang,bijirin,ubi,buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia membantu mencegah sembelit dan menyingkirkan sisa-sisa toksid daripada badan anda serta mencegah penyakit jantung.



Nukilan :
Asilah Binti Khairul Anuar
Tahun 5 Perubatan
Universiti Al-Azhar





Disediakan oleh :
Unit Khas Sains Kesihatan
Unit Pendidikan Dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2013/ 2014

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah



Bismillahirrahmanirrahim.

          Bukan mudah untuk sentiasa bersemangat dan berkeinginan yang tinggi untuk mengemas rumah, terutama sekali apabila terlalu sibuk dengan kuliah dan aktiviti berpersatuan. Pasti kebanyakan dari kita terpaksa bertempur dengan perasaan untuk mengemas rumah setelah seharian keluar untuk menimba ilmu. Namun, sebagai mahasiswa yang proaktif kita harus memastikan keadaan rumah dan bilik sentiasa teratur agar dapat mewujudkan suasana yang kondusif untuk belajar dan beristirehat. Maka, saya ingin berkongsi beberapa cara mencipta semangat dalam diri untuk sentiasa mengemas rumah agar kelihatan bersih dan tersusun.

           Pertama, bangun pagi, senyum dan pasang tekad untuk kemas rumah bersungguh-sungguh. Mulakan hari kita lebih awal. Bangun awal dan bangun dengan semangat yang positif. Apabila kita memulakan hari lebih awal, kita lebih mudah untuk berasa rajin dan akan kurang berasa malas. Udara nyaman dan sejuk di waktu pagi akan menyegarkan kita supaya lebih tenang untuk mengemas dan lebih fokus.

           Kedua, mulakan hari itu dengan menikmati minuman kegemaran kita. Buatlah Vico, Horlicks, Bonjorno, Teh Tarik atau apa-apa saja minuman kegemaran kita dan minum dengan hati yang lapang. Hadiahkan kesungguhan kita bangun awal pagi untuk mengemas rumah itu dengan menikmati minuman kegemaran itu dengan bahagia.

          Ketiga, pasang lagu atau alunan kegemaran diri. Pasanglah sesuatu alunan yang digemari sehingga mampu menjadikan pagi kita penuh dengan semangat dan bahagia. Mungkin ada yang lebih suka pasang ayat-ayat Al Quran. Mungkin ada juga yang suka pasang lagu Maher Zain. Tidak kisah. Tapi pasanglah sesuatu untuk membantu menjadikan suasana mengemas itu lebih menarik, aktif dan menyeronokkan!

          Keempat, mulakan dengan tugasan mengemas dengan bahagian yang lebih mudah. Perkara ini penting untuk memastikan momentum mengemas itu lebih konsisten. Mulakan dengan mengemas bahagian yang lebih mudah. Mungkin dengan mengemas bilik atau ruang tamu terlebih dahulu dan kemudiannya diikuti dengan dapur dan bilik air yang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk disapu, dimop, disental dan sebagainya.

           Kelima, lupakan sebentar urusan kerja yang menunggu. Nikmati semangat untuk mengemas kita tanpa memikirkan sebarang urusan kerja mahupun kuliah seketika. tenangkan fikiran dan teruskan aktiviti mengemas kita. Berfikir terlalu banyak tugasan dalam masa yang sama akan menyebabkan otak kita cepat letih. Akibatnya, kita akan mudah merasakan seolah-olah kita sahaja yang melakukan semua perkara, sedangkan kita cuma BERFIKIR sahaja tentang semua perkara!

          Keenam, buat perubahan atau design baru pada bahagian tertentu rumah kita. Kita akan rasa lebih puas apabila melihat hasil aktiviti kemas mengemas itu, keadaan interior design di dalam rumah juga berubah. Seolah-olah kita merasakan telah melakukan begitu banyak perubahan dalam rumah itu, walaupun hakikatnya mungkin sekadar mengalihkan sebuah pasu bunga ataupun mengubah kedudukan meja makan sahaja.

          Ketujuh, wangikan rumah kita dengan bau-bauan yang mampu menaikkan semangat dan memberi ketenangan. Gunakan sabun cucian yang wangi dan kalau mampu, pasang atau semburkan wangian di rumah selepas selesai mengemas. Ini akan membantu memberikan lebih kepuasan kepada diri kita kerana fitrah manusia itu sukakan wangian. Apabila wangi, secara tidak langsung kita juga akan merasa bersih dan tenang.

          Terakhir, tamatkan proses mengemas itu dengan mandi penuh kegembiraan! Selepas membersihkan dan mewangikan rumah, tiba masanya untuk memberikan hak kepada tubuh kita pula. Mandilah dengan tenang dan nikmat serta fikirkanlah betapa bersihnya rumah yang telah kita kemas sebentar tadi. Rasailah kesegaran tubuh dan segala kepenatan tadi akan hilang sekali bersama curahan air yang membasahi tubuh.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 222 :

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْن
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri “

          Maka, marilah kita sentiasa mencipta semangat mengemas dalam diri untuk terus menjadikan suasana rumah mahupun bilik kita dalam keadaan bersih dan tersusun. Hal ini secara tidak langsung akan merangsang akal dan pemikiran kita untuk lebih efektif dalam pembelajaran mahupun dalam melaksanakan gerak kerja. Semoga cara-cara yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat untuk kita agar terus bersemangat mengemas rumah supaya impian “RUMAHKU SYURGAKU” tercapai. Justeru itu, Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) menyeru kepada semua untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kekemasan rumah agar dapat bersama-sama menjayakan Kempen Rumahku Syurgaku.



Nukilan :
Nur Hidayahtul Aiman bt Johan
Timbalan Unit Perumahan dan Rehlah,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014



Disediakan oleh :
Unit Informasi dan Promosi, 
Unit Perumahan dan Rehlah, 
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014

KALAM PIMPINAN: Menjiwai Sejarah BKAWM




بسم الله الرحمن الرحيم
          Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, serta rahmat dan inayahNya pada hari ini kita dapat hidup dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Semoga taufiq dan hidayahNya terus menyinari hidup kita sehingga kita dapat berkumpul dengan Junjungan Mulia, nabi Muhammad S.A.W di hari Kiamat kelak. Selawat dan salam ke atas baginda, Rasulul Amin S.A.W serta ahli keluarga Baginda yang mulia yang jika bukan kerana perjuangannya bersama para sahabat, kita tidak akan dapat mengecapi dua nikmat terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.
“Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman” 
(QS. Huud: 120)

          Allah SWT telah mengajar kita suatu kaedah pendidikan yang agung iaitu penghayatan terhadap sejarah lampau melalui penurunan al-Furqan buat Kekasih kita S.A.W yang di dalamnya terdapat pelbagai kisah umat-umat yang terdahulu. Kisah-kisah ini sengaja Allah S.W.T rakamkan di dalam al-Quranul Karim bukan sahaja sebagai peneguhan hati buat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, juga untuk selain baginda. Betapa ramai para ulama dan orang-orang beriman memetik manfaat dari kisah para nabi dan yang lainnya sebagai penerang dan pedoman dalam menelusuri jalan juang nabi SAW dan para sahabat.

          Apabila mempelajari sejarah, manusia akan tertarik dengan masa lalu dan menjadikan segala peristiwa yang terjadi sebagai langkah awal untuk merancang sesuatu. Sejarah terdahulu adalah warisan generasi akan datang. Sejarah lampau adalah gambaran kepada masa kini dan keadaan sekarang adalah imaginasi kepada masa hadapan. Seperti hal keadaan orang yang memanam pokok durian. Tidaklah mereka ini menanam untuk diri mereka sendiri tetapi adalah untuk generasi akan datang. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun belum tentu berkesempatan untuk menerima hasil tanaman mereka itu.

          Namun, apa yang akan berlaku apabila sejarah diketepikan? Maka akan lahir satu generasi yang tidak pandai menghormati generasi sebelumnya. Kerana dirasakan kejayaan tersebut adalah dari usaha mereka sendiri. Mereka rasakan usaha generasi sebelum ini adalah sebuah kegagalan dan yang terlihat hanyalah kekurangan. Mereka juga tidak merasakan bahawa kejayaan yang diperolehi adalah berhubung kait antara satu sama lain, iaitu antara generasi terdahulu dan sekarang.

          Itulah antara kewajipan kita selaku ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), iaitu untuk menjiwai sejarah persatuan yang kita cintai ini. Bermula sebelum penubuhan BKAWM lagi iaitu pada 19 Oktober 1998, para generasi terdahulu telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam memperjuangkan kesinambungan persatuan yang menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan ini. Sama ada dalam usaha untuk menubuhkan sebuah badan kebajikan yang dahulunya dinamakan sebagai Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (BKAKLM) sehinggalah kepada usaha bagi mendapatkan bangunan penempatan pelajar khususnya bagi pelajar Wilayah Persekutuan. Oleh itu, setiap darinya terdapat pelbagai kisah dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dan rujukan generasi akan datang.

          Hasil daripada kerja keras merekalah, sehingga hari ini BKAWM terus teguh dalam menaungi dan menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir. Seperti yang saya katakan tadi, tidaklah mereka ini berjuang untuk kepentingan diri sendiri bahkan setiap titik peluh yang dicurahkan adalah untuk kesenangan generasi akan datang jua. Di saat BKAWM mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai PMRAM cawangan yang termuda, sebahagian besar daripada orang yang gigih memperjuangkan nasib persatuan ini telah pun pulang ke tanah air.

          Oleh itu, marilah kita sama-sama menjiwai sejarah BKAWM agar kita dapat menyelongkar dan menyusuri lapis demi lapis kebijaksanaan silam seterusnya menambahkan kecintaan terhadap persatuan ini. Ianya juga penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta dapat mengetahui cabaran-cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kesatuan kita.

          Janganlah kita saling ambil endah tak endah akan perkara ini dan hanya meletakkan tugasan ini di pundak generasi-generasi terdahulu dan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM sahaja. Malah, kitalah sebenarnya perlu menjadi tulang belakang harapan BKAWM agar dapat bersama-sama menjadi benteng dan perisai persatuan ini daripada anasir-anasir yang boleh menggugat kesatuan kita. Agar BKAWM terus utuh dan teguh dalam menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir. BKAWM Keluarga Kita.

Nabihah binti Ahmad Rosdi
Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

Sumbangan Tabung Kebajikan Disampaikan kepada Ahli



KAHERAH, 17 September 2014 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) melahirkan rasa simpati atas musibah yang menimpa saudari Dalia binti Zaidi. Beliau mengalami kecederaan di bahagian kaki semasa menyertai pertandingan Bola Jaring ketika program Minggu Warna-warni Kemerdekaan PMRAM 2014 (WARNA ’14) pada 31 Ogos yang lalu.

          Disebabkan kecederaan ini, beliau terpaksa menjalani pembedahan kecil atas saranan daripada doktor yang terbabit. Alhamdulillah selepas dua kali temujanji untuk pemeriksaan mingguan di Hospital Zahra’, Abbassiyah, kondisi beliau semakin beransur pulih.

          Oleh itu, Lajnah Kebajikan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan kepada saudari Dalia. Sejajar dengan salah satu objektifnya pada sesi ini iaitu menyediakan kemudahan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ahli BKAWM sama ada secara langsung atau tidak langsung, pihak Lajnah Kebajikan di bawah Unit Kecemasan telah melakukan kutipan derma kilat bagi membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh saudari Dalia. Beliau yang juga merupakan Penasihat BKAWM sesi 2013/2014 telah menerima sumbangan terkumpul daripada kutipan tersebut beserta sumbangan daripada Tabung Kebajikan sendiri. Sumbangan telah disampaikan oleh saudari Nur Hazimah binti Mat Basri selaku Timbalan Lajnah Kebajikan BKAWM pada 15 September 2014.

          Pihak BKAWM mendoakan agar beliau diberi kesembuhan dan dipelihara oleh Allah S.W.T serta dapat kembali beraksi di medan perjuangan dalam keadaan sihat walafiat.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”

Ziarah Mahabbah Mempamer Komitmen BKAWM Terhadap Ahli





KAHERAH, 16 September 2014 – Barisan AJK HEWI Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah melakukan Ziarah Mahabbah ke beberapa rumah ahli di muhafazah sepanjang bulan Ogos yang lalu. Ziarah Mahabbah ini merupakan anjuran Lajnah Kebajikan BKAWM. Program ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Lajnah Kebajikan sendiri.

          Antara aktiviti yang dijalankan semasa Ziarah Mahabbah adalah taaruf ringkas AJK HEWI sesama ahli, membuat culaan keselamatan dan situasi terkini ahli dari sudut pengajian, kebajikan dan sebagainya. Di samping itu, turut diedarkan bahan-bahan bacaan daripada unit-unit BKAWM seperti risalah bulanan, Putra Digest dan juga kad ucapan AJK HEWI sempena Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

          Antara muhafazah yang sempat diziarahi dalam Ziarah Mahabbah pada kali ini 
ialah Mansurah, Zaqaziq, dan Sayyeda Zainab. Tujuan Ziarah Mahabbah ini dijalankan adalah untuk lebih mengeratkan hubungan antara pimpinan BKAWM dengan ahli serta mengambil cakna keadaan ahli yang berada di muhafazah-muhafazah.
 
          Harapan kami di pihak BKAWM agar ahli sentiasa komited dengan BKAWM yang merupakan sebuah badan yang ditubuhkan khusus untuk menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan sama ada yang berada di sekitar Kaherah mahupun di cawangan. BKAWM keluarga kita.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”






Data Keahlian BKAWM Ogos 2014

















Sebarang permasalahan boleh berhubung dengan Ketua dan Timbalan Unit Pendaftaran dan Sambutan.


Dikeluarkan oleh:
Jabatan Setiausaha Agung (JASA)
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014

PENA HAMLAH: Ke Arah Kecemerlangan Akademik






KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK EDISI 02/14

BAHAGIAN I : MOTIVASI DIRI

          Maksud motivasi diri adalah satu dorongan yang wujud dalam diri seseorang itu sendiri. Mereka yang gagal walaupun telah diberi peluang yang sama untuk berjaya adalah terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai dorongan dalam diri mereka sendiri. Walaupun mereka memiliknya, tetapi ia terlalu lemah dan terlalu mudah hilang. Mereka ini hanya bergantung kepada dorongan dari luar untuk menggerakkan mereka.

          Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita semua memerlukan dorongan dari luar dan juga dari diri kita sendiri. Hal ini kerana dorongan dari luar juga mempunyai peranan dalam menentukan tingkat pencapaian seseorang. Tetapi ia tidak dapat untuk mencungkil sepenuhnya potensi yang ada pada seseorang. Hanya dorongan dari dalam diri yang bersungguh sahaja akan memberi ketahanan kepada seseorang untuk terus mengekalkan ketekunannya dalam usaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

          Dorongan dalaman itu menjadikan mereka tidak pernah malu untuk mengaku kalah. Kegagalan yang mereka alami hanya dianggap sebagai satu rintangan sementara. Rintangan sementara itu hanya dilihat sebagai cabaran bagi mereka untuk terus berusaha dalam mencapai impian mereka.

          Motivasi diri begitu penting dalam menentukan tingkatan kejayaan seseorang. Tanpanya, seseorang tidak akan berjaya menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak akan dapat membuat satu perancangan serta bertindak dengan berkesan. Perkara yang lebih penting adalah tanpanya seseorang itu tidak dapat bertahan lama dalam sesuatu usaha apatah lagi apabila dihalang oleh berbagai-bagai cabaran.

          Setiap orang berhak mendapat kejayaan. Namun begitu, mereka perlu mewujudkan serta mengekalkan motivasi diri dalam menjayakan usaha-usaha untuk menuju ke arah matlamat tersebut. Antara langkah-langkah yang mampu membentuk motivasi diri yang berjaya adalah :-

1) Tetapkan di dalam fikiran anda satu matlamat utama dalam diri anda sendiri.

2) Senaraikan matlamat-matlamat jangka pendek. Matlamat jangka pendek ini mestilah yang membantu ke arah pencapaian matlamat utama anda.

3) Tetapkan tarikh bila anda hendak mencapai matlamat-matlamat jangka pendek anda.

4) Tuliskan semua matlamat jangka pendek dalam bentuk sebuah kejayaan secara ringkas, jelas dan padat.

5) Laksanakan dengan pantas segala gerak kerja yang telah anda catatkan untuk menjayakan matlamat jangka pendek meskipun anda belum bersedia.

6) Bacalah kenyataan kejayaan tersebut sekurang-kurangnya dua kali setiap hari. Jika suasana mengizinkan, anda digalakkan membacanya dengan suara yang nyaring. Bayangkan juga, semasa membaca bahawa anda seolah-olah dapat merasa, melihat dan yakin bahawa anda telah mencapai matlamat utama anda.

          Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan motivasi diri khususnya dalam musim peperiksaan kerana motivasi diri amat penting bagi kita untuk mendepani sifat mazmumah yang lazim berlaku dalam merentasi lautan cabaran menuju destinasi kejayaan.

Nukilan :
Munira Binti Mahammad Noor
Timbalan Unit Pendidikan Dan Pengetahuan
Tahun 2 Perubatan
Universiti Al-Azhar




Disediakan oleh :
Unit Pendidikan Dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2013/ 2014

QAWIYUL JISM: Sukan Memanah



Blogroll

Loading...