Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah



Bismillahirrahmanirrahim.

          Bukan mudah untuk sentiasa bersemangat dan berkeinginan yang tinggi untuk mengemas rumah, terutama sekali apabila terlalu sibuk dengan kuliah dan aktiviti berpersatuan. Pasti kebanyakan dari kita terpaksa bertempur dengan perasaan untuk mengemas rumah setelah seharian keluar untuk menimba ilmu. Namun, sebagai mahasiswa yang proaktif kita harus memastikan keadaan rumah dan bilik sentiasa teratur agar dapat mewujudkan suasana yang kondusif untuk belajar dan beristirehat. Maka, saya ingin berkongsi beberapa cara mencipta semangat dalam diri untuk sentiasa mengemas rumah agar kelihatan bersih dan tersusun.

           Pertama, bangun pagi, senyum dan pasang tekad untuk kemas rumah bersungguh-sungguh. Mulakan hari kita lebih awal. Bangun awal dan bangun dengan semangat yang positif. Apabila kita memulakan hari lebih awal, kita lebih mudah untuk berasa rajin dan akan kurang berasa malas. Udara nyaman dan sejuk di waktu pagi akan menyegarkan kita supaya lebih tenang untuk mengemas dan lebih fokus.

           Kedua, mulakan hari itu dengan menikmati minuman kegemaran kita. Buatlah Vico, Horlicks, Bonjorno, Teh Tarik atau apa-apa saja minuman kegemaran kita dan minum dengan hati yang lapang. Hadiahkan kesungguhan kita bangun awal pagi untuk mengemas rumah itu dengan menikmati minuman kegemaran itu dengan bahagia.

          Ketiga, pasang lagu atau alunan kegemaran diri. Pasanglah sesuatu alunan yang digemari sehingga mampu menjadikan pagi kita penuh dengan semangat dan bahagia. Mungkin ada yang lebih suka pasang ayat-ayat Al Quran. Mungkin ada juga yang suka pasang lagu Maher Zain. Tidak kisah. Tapi pasanglah sesuatu untuk membantu menjadikan suasana mengemas itu lebih menarik, aktif dan menyeronokkan!

          Keempat, mulakan dengan tugasan mengemas dengan bahagian yang lebih mudah. Perkara ini penting untuk memastikan momentum mengemas itu lebih konsisten. Mulakan dengan mengemas bahagian yang lebih mudah. Mungkin dengan mengemas bilik atau ruang tamu terlebih dahulu dan kemudiannya diikuti dengan dapur dan bilik air yang mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk disapu, dimop, disental dan sebagainya.

           Kelima, lupakan sebentar urusan kerja yang menunggu. Nikmati semangat untuk mengemas kita tanpa memikirkan sebarang urusan kerja mahupun kuliah seketika. tenangkan fikiran dan teruskan aktiviti mengemas kita. Berfikir terlalu banyak tugasan dalam masa yang sama akan menyebabkan otak kita cepat letih. Akibatnya, kita akan mudah merasakan seolah-olah kita sahaja yang melakukan semua perkara, sedangkan kita cuma BERFIKIR sahaja tentang semua perkara!

          Keenam, buat perubahan atau design baru pada bahagian tertentu rumah kita. Kita akan rasa lebih puas apabila melihat hasil aktiviti kemas mengemas itu, keadaan interior design di dalam rumah juga berubah. Seolah-olah kita merasakan telah melakukan begitu banyak perubahan dalam rumah itu, walaupun hakikatnya mungkin sekadar mengalihkan sebuah pasu bunga ataupun mengubah kedudukan meja makan sahaja.

          Ketujuh, wangikan rumah kita dengan bau-bauan yang mampu menaikkan semangat dan memberi ketenangan. Gunakan sabun cucian yang wangi dan kalau mampu, pasang atau semburkan wangian di rumah selepas selesai mengemas. Ini akan membantu memberikan lebih kepuasan kepada diri kita kerana fitrah manusia itu sukakan wangian. Apabila wangi, secara tidak langsung kita juga akan merasa bersih dan tenang.

          Terakhir, tamatkan proses mengemas itu dengan mandi penuh kegembiraan! Selepas membersihkan dan mewangikan rumah, tiba masanya untuk memberikan hak kepada tubuh kita pula. Mandilah dengan tenang dan nikmat serta fikirkanlah betapa bersihnya rumah yang telah kita kemas sebentar tadi. Rasailah kesegaran tubuh dan segala kepenatan tadi akan hilang sekali bersama curahan air yang membasahi tubuh.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 222 :

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْن
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri “

          Maka, marilah kita sentiasa mencipta semangat mengemas dalam diri untuk terus menjadikan suasana rumah mahupun bilik kita dalam keadaan bersih dan tersusun. Hal ini secara tidak langsung akan merangsang akal dan pemikiran kita untuk lebih efektif dalam pembelajaran mahupun dalam melaksanakan gerak kerja. Semoga cara-cara yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat untuk kita agar terus bersemangat mengemas rumah supaya impian “RUMAHKU SYURGAKU” tercapai. Justeru itu, Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) menyeru kepada semua untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kekemasan rumah agar dapat bersama-sama menjayakan Kempen Rumahku Syurgaku.



Nukilan :
Nur Hidayahtul Aiman bt Johan
Timbalan Unit Perumahan dan Rehlah,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014



Disediakan oleh :
Unit Informasi dan Promosi, 
Unit Perumahan dan Rehlah, 
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]