KALAM PIMPINAN: Menjiwai Sejarah BKAWM
بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, serta rahmat dan inayahNya pada hari ini kita dapat hidup dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Semoga taufiq dan hidayahNya terus menyinari hidup kita sehingga kita dapat berkumpul dengan Junjungan Mulia, nabi Muhammad S.A.W di hari Kiamat kelak. Selawat dan salam ke atas baginda, Rasulul Amin S.A.W serta ahli keluarga Baginda yang mulia yang jika bukan kerana perjuangannya bersama para sahabat, kita tidak akan dapat mengecapi dua nikmat terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.
“Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman”
(QS. Huud: 120)
Allah SWT telah mengajar kita suatu kaedah pendidikan yang agung iaitu penghayatan terhadap sejarah lampau melalui penurunan al-Furqan buat Kekasih kita S.A.W yang di dalamnya terdapat pelbagai kisah umat-umat yang terdahulu. Kisah-kisah ini sengaja Allah S.W.T rakamkan di dalam al-Quranul Karim bukan sahaja sebagai peneguhan hati buat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, juga untuk selain baginda. Betapa ramai para ulama dan orang-orang beriman memetik manfaat dari kisah para nabi dan yang lainnya sebagai penerang dan pedoman dalam menelusuri jalan juang nabi SAW dan para sahabat.
Apabila mempelajari sejarah, manusia akan tertarik dengan masa lalu dan menjadikan segala peristiwa yang terjadi sebagai langkah awal untuk merancang sesuatu. Sejarah terdahulu adalah warisan generasi akan datang. Sejarah lampau adalah gambaran kepada masa kini dan keadaan sekarang adalah imaginasi kepada masa hadapan. Seperti hal keadaan orang yang memanam pokok durian. Tidaklah mereka ini menanam untuk diri mereka sendiri tetapi adalah untuk generasi akan datang. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun belum tentu berkesempatan untuk menerima hasil tanaman mereka itu.
Namun, apa yang akan berlaku apabila sejarah diketepikan? Maka akan lahir satu generasi yang tidak pandai menghormati generasi sebelumnya. Kerana dirasakan kejayaan tersebut adalah dari usaha mereka sendiri. Mereka rasakan usaha generasi sebelum ini adalah sebuah kegagalan dan yang terlihat hanyalah kekurangan. Mereka juga tidak merasakan bahawa kejayaan yang diperolehi adalah berhubung kait antara satu sama lain, iaitu antara generasi terdahulu dan sekarang.
Itulah antara kewajipan kita selaku ahli Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), iaitu untuk menjiwai sejarah persatuan yang kita cintai ini. Bermula sebelum penubuhan BKAWM lagi iaitu pada 19 Oktober 1998, para generasi terdahulu telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam memperjuangkan kesinambungan persatuan yang menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan ini. Sama ada dalam usaha untuk menubuhkan sebuah badan kebajikan yang dahulunya dinamakan sebagai Badan Kebajikan Anak Kuala Lumpur Mesir (BKAKLM) sehinggalah kepada usaha bagi mendapatkan bangunan penempatan pelajar khususnya bagi pelajar Wilayah Persekutuan. Oleh itu, setiap darinya terdapat pelbagai kisah dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dan rujukan generasi akan datang.
Hasil daripada kerja keras merekalah, sehingga hari ini BKAWM terus teguh dalam menaungi dan menjaga kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di Mesir. Seperti yang saya katakan tadi, tidaklah mereka ini berjuang untuk kepentingan diri sendiri bahkan setiap titik peluh yang dicurahkan adalah untuk kesenangan generasi akan datang jua. Di saat BKAWM mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai PMRAM cawangan yang termuda, sebahagian besar daripada orang yang gigih memperjuangkan nasib persatuan ini telah pun pulang ke tanah air.
Oleh itu, marilah kita sama-sama menjiwai sejarah BKAWM agar kita dapat menyelongkar dan menyusuri lapis demi lapis kebijaksanaan silam seterusnya menambahkan kecintaan terhadap persatuan ini. Ianya juga penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta dapat mengetahui cabaran-cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kesatuan kita.
Janganlah kita saling ambil endah tak endah akan perkara ini dan hanya meletakkan tugasan ini di pundak generasi-generasi terdahulu dan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM sahaja. Malah, kitalah sebenarnya perlu menjadi tulang belakang harapan BKAWM agar dapat bersama-sama menjadi benteng dan perisai persatuan ini daripada anasir-anasir yang boleh menggugat kesatuan kita. Agar BKAWM terus utuh dan teguh dalam menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir. BKAWM Keluarga Kita.
Nabihah binti Ahmad Rosdi
Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2013/2014
“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
Comments
Post a Comment