SERAMBI WILAYAH GABUNGAN MEMBINA PELAPIS BERKUALITI







KAHERAH, 28 September 2014– Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan Serambi Wilayah Gabungan pada 18 September yang lalu. Serambi Wilayah merupakan sebuah aktiviti mingguan yang diadakan bagi mengumpulkan ahli-ahli BKAWM untuk sama-sama mengeratkan ukhuwah di samping berkongsi ilmu dan pengalaman. Untuk Serambi Wilayah pada kali ini, pihak UPR mengadakan Serambi Wilayah Gabungan dengan membawakan sebuah pengisian khas, iaitu “Kursus Vokasional” kepada semua anak Wilayah Persekutuan.

          Serambi Wilayah Gabungan ini telah diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan dan bermula seawal selepas Maghrib dengan bacaan Yasin serta tahlil. Serambi Wilayah kali ini menampilkan Ustaz Aimi Akmal bin Mohd Zaini daripada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) yang merupakan pengisi jemputan bagi pengisian khas “Kursus Vokasional”. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua ahli tentang cara-cara untuk menangani pelbagai masalah yang timbul berkaitan pempaipan serta pembaikan dan pemasangan lampu sekiranya berlaku kerosakan. Selain itu juga, pengisian ini diadakan untuk mengasah bakat semua ahli BKAWM dalam bidang vokasional khususnya agar dapat melahirkan generasi pelapis yang mampu menangani masalah kerosakan yang berlaku tanpa memerlukan khidmat bantuan daripada orang lain, khususnya daripada warga tempatan Mesir.  
          “Alhamdulillah, Serambi Wilayah Gabungan kali ini mendapat sambutan yang hangat daripada ahli dan program berjalan dengan jayanya bersama harapan bahawa BKAWM mampu melahirkan ahli yang berkemahiran dalam bidang vokasional serta mampu berdikari untuk membaiki kerosakan di rumah masing-masing. Hal ini secara tidak langsung bertepatan dengan objektif Unit Perumahan dan Rehlah pada sesi ini iaitu menyediakan alternatif kepada ahli untuk menambah ilmu pengetahuan di samping membina hubungan yang erat melalui kursus yang dijalankan,” ujar saudari Nur Hidayahtul Aiman binti Johan, Timbalan Unit Perumahan dan Rehlah BKAWM sesi 2013/2014.
          Semoga dengan program yang dijalankan ini dapat memberi manfaat kepada semua ahli BKAWM. Segala ilmu yang diperolehi diharapkan dapat diamalkan serta melahirkan generasi pelapis yang berkualiti sejajar dengan salah satu misi BKAWM pada sesi ini, iaitu “Membina generasi pelapis yang berkualiti”.

“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”





Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]