PENA HAMLAH: Ke Arah Kecemerlangan Akademik






KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK EDISI 02/14

BAHAGIAN I : MOTIVASI DIRI

          Maksud motivasi diri adalah satu dorongan yang wujud dalam diri seseorang itu sendiri. Mereka yang gagal walaupun telah diberi peluang yang sama untuk berjaya adalah terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai dorongan dalam diri mereka sendiri. Walaupun mereka memiliknya, tetapi ia terlalu lemah dan terlalu mudah hilang. Mereka ini hanya bergantung kepada dorongan dari luar untuk menggerakkan mereka.

          Memang tidak dapat dinafikan bahawa kita semua memerlukan dorongan dari luar dan juga dari diri kita sendiri. Hal ini kerana dorongan dari luar juga mempunyai peranan dalam menentukan tingkat pencapaian seseorang. Tetapi ia tidak dapat untuk mencungkil sepenuhnya potensi yang ada pada seseorang. Hanya dorongan dari dalam diri yang bersungguh sahaja akan memberi ketahanan kepada seseorang untuk terus mengekalkan ketekunannya dalam usaha untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

          Dorongan dalaman itu menjadikan mereka tidak pernah malu untuk mengaku kalah. Kegagalan yang mereka alami hanya dianggap sebagai satu rintangan sementara. Rintangan sementara itu hanya dilihat sebagai cabaran bagi mereka untuk terus berusaha dalam mencapai impian mereka.

          Motivasi diri begitu penting dalam menentukan tingkatan kejayaan seseorang. Tanpanya, seseorang tidak akan berjaya menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak akan dapat membuat satu perancangan serta bertindak dengan berkesan. Perkara yang lebih penting adalah tanpanya seseorang itu tidak dapat bertahan lama dalam sesuatu usaha apatah lagi apabila dihalang oleh berbagai-bagai cabaran.

          Setiap orang berhak mendapat kejayaan. Namun begitu, mereka perlu mewujudkan serta mengekalkan motivasi diri dalam menjayakan usaha-usaha untuk menuju ke arah matlamat tersebut. Antara langkah-langkah yang mampu membentuk motivasi diri yang berjaya adalah :-

1) Tetapkan di dalam fikiran anda satu matlamat utama dalam diri anda sendiri.

2) Senaraikan matlamat-matlamat jangka pendek. Matlamat jangka pendek ini mestilah yang membantu ke arah pencapaian matlamat utama anda.

3) Tetapkan tarikh bila anda hendak mencapai matlamat-matlamat jangka pendek anda.

4) Tuliskan semua matlamat jangka pendek dalam bentuk sebuah kejayaan secara ringkas, jelas dan padat.

5) Laksanakan dengan pantas segala gerak kerja yang telah anda catatkan untuk menjayakan matlamat jangka pendek meskipun anda belum bersedia.

6) Bacalah kenyataan kejayaan tersebut sekurang-kurangnya dua kali setiap hari. Jika suasana mengizinkan, anda digalakkan membacanya dengan suara yang nyaring. Bayangkan juga, semasa membaca bahawa anda seolah-olah dapat merasa, melihat dan yakin bahawa anda telah mencapai matlamat utama anda.

          Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan motivasi diri khususnya dalam musim peperiksaan kerana motivasi diri amat penting bagi kita untuk mendepani sifat mazmumah yang lazim berlaku dalam merentasi lautan cabaran menuju destinasi kejayaan.

Nukilan :
Munira Binti Mahammad Noor
Timbalan Unit Pendidikan Dan Pengetahuan
Tahun 2 Perubatan
Universiti Al-Azhar




Disediakan oleh :
Unit Pendidikan Dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2013/ 2014

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]