MENGHAYATI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah yang masih meminjamkan kepada kita segala nikmatNya untuk terus menghela nafas di sepanjang perjalanan kehidupan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda. Rabiul Awal begitu sinonim dengan bulan keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kini, kita sudah pun menjejakkan kaki ke bulan yang penuh barakah iaitu bulan Rabiul Awal yang merupakan bulan kelahiran kekasih kita yang tercinta Nabi Muhammad SAW. Meskipun tidak pernah mengenali mahupun melihat susuk tubuh baginda, namun cinta baginda telah pun mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1400 tahun dahulu sehingga membuatkan kekasih Allah ini  terlalu istimewa untuk umatnya.
Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati susuk tubuh kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini kita dapat menikmati keindahan Islam ini sendiri.

Allah SWT berfirman: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”    (Surah al-Anbiya’, ayat 107).

Kelahiran (Maulid) Nabi adalah sebesar-besar rahmat Allah kepada alam dan manusia keseluruhannya. Rahmat ini ada dalam akidah, muamalah, akhlak, malah dalam semua bidang kehidupan. Rahmat ini tidak hanya terbatas untuk manusia pada zaman baginda sahaja, tetapi ia meluas ke sepanjang sejarah manusia seluruhnya. Memperingati, menyambut, merayakan dan membesarkan Maulidur Rasul adalah amal yang merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah di samping meluahkan ungkapan kebahagiaan dan kecintaan kepada Rasulullah . Haruslah diketahui bahawa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah : 

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya dan anaknya serta manusia keseluruhannya.” 

Ibn Rajab al-Hanbali berkata:
“Cinta kepada Nabi termasuk prinsip-prinsip dasar iman. Cinta ini seiring dengan cinta kepada Allah. Cinta kepada Allah dan Nabi sering disebut bersama dan mengancam sesiapa sahaja yang lebih mengutamakan kecintaan kepada perkara-perkara lain yang sudah menjadi tabiat manusia seperti cinta kaum kerabat, harta benda dan tanah air melebihi dari cinta kepada Allah dan Rasul.

Tidak hairanlah sambutan ini diadakan saban tahun kerana ketika saat ini peluang dakwah juga dapat dimaksimumkan terutamanya ketika menyambut Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul semestinya mensasarkan objektif untuk mengajarkan mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang alpa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta memperbetulkan mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Ini juga merupakan intipati dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia. Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat terhadap tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas kasihan Allah dan syafaat Nabi di akhirat.
BKAWM juga tidak ketinggalan untuk menyambut Maulidur Rasul yang dianjurkan di bawah Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) bagi menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan ahli. Aktiviti yang disusun semuanya ingin menyuntik kesedaran dalam diri mahasiswa dan mahasiswi untuk lebih mengenali dan mencintai kekasih agung nabi Muhammad SAW agar kita dapat menjadi penyambung risalah nabi untuk ummah ini.
Sebagai umat Baginda , kita dianjurkan untuk bergembira atas rahmat dan kurniaan Allah kepada kita, lebih-lebih lagi kurniaan yang terbesar ialah dengan kelahiran Nabi Muhammad. Allah berfirman:
“Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira dengan kurniaan Allah dan rahmatNya itu, adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Yunus:58)
Allah menyuruh manusia bergembira atas rahmatNya. Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam keseluruhannya jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah.Imam As-Suyuthi memberi pendapat tentang perayaan Maulidur Rasul di dalam Al-Hawi li al-Fatawa dengan katanya:
“Menurutku, asal perayaan Maulid Nabi , iaitu manusia berkumpul, membaca Al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan Nabi, menampakkan kesukaan dan kegembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”

Dalam Madarij ash-Shu’ud Syarh al-Barzanji disebutkan, Rasulullah bersabda:
"Siapa menghormati hari lahirku, tentu aku berikan syafaat kepadanya di hari kiamat."
Sayyiduna Umar Ibn Khattab secara bersemangat mengatakan: “Siapa yang menghormati hari lahir Rasulullah sama ertinya dengan menghidupkan Islam”.

Maka, selaku kita yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik kita perlu merasakan jerih perih baginda untuk meletakkan Islam sebagai syiar yang tertinggi. Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam kehidupan seharian di samping meletakkan diri sebagai pejuang agama Allah yang menjadi sambungan rantaian perjuangan Rasullullah SAW. Justeru itu, BKAWM ingin menyeru kepada semua ahli untuk sama-sama menyuburkan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak.


“BKAWM Keluarga Kita”
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal














NUR HIDAYAHTUL AIMAN BINTI JOHAN
TIMBALAN LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNGAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR 
(BKAWM) SESI 2014/2015


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]