KEMPEN RUMAHKU SYURGAKU: Musafir Mengikut Sunnah Rasulullah SAW



“Abah, cuti ni jom kita pergi berjalan-jalan,” ujar si anak kecil. “Boleh sayang. Keluar bermusafir itu bukankah sunnah Rasulullah SAW. Tapi, sebelum itu kita perlu tahu dahulu adab dan sunnah baginda SAW ketika bermusafir,” senyum si bapa. Bermusafir mempunyai banyak faedah. Sabda Nabi SAW,

سافروا تصحوا وتغنموا
 “Bermusafirlah agar kamu sihat dan beruntung”

 Dalam riwayat lain menyebut,
سافروا تصحوا وتسلموا
” Bermusafirlah agar kamu sihat dan sejahtera”.

Terdapat beberapa adab yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada kita ketika bermusafir. Yang pertama, sebelum memulakan perjalanan, Rasulullah SAW menggariskan agar niat dan tujuan bermusafir adalah baik dan betul. Bertepatan dengan sabda Baginda SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat... “. Niat merupakan asas ibadat di dalam Islam. Para fuqaha’ berpandangan bahawa hanya niat yang membezakan di antara ibadat dan adat. Jika musafir tanpa arah tujuan sudah tentu seseorang itu tidak menepati tujuan baik yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW.


Yang kedua, Nabi SAW berpesan bahawa perkara terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah dia menunaikan solat 2 rakaat. Inilah langkah pertama yang harus dilakukan sebelum seseorang itu keluar dari tempatnya. Rasulullah SAW suka bermusafir pada hari Khamis dan tidak suka bermusafir pada hari Jumaat. Sebagaimana yang diceritakan oleh Kaab bin Malik bahawa Rasulullah SAW keluar  menyertai peperangan Tabuk adalah pada hari Khamis. Seseorang itu tidak digalakkan untuk keluar bermusafir pada hari Jumaat, bimbang dia gagal untuk menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

Yang ketiga ialah memulakan perjalanan pada waktu malam. Berjalan di waktu malam dapat menjimatkan masa atau memendekkan masa perjalanan kerana malam lebih tenang. Benarlah sabda Nabi SAW,
Bermusafirlah di malam hari kerana ia memendekkan perjalanan. 
(Riwayat Abu Daud)
Antara perkara sunat dalam bermusafir ialah seseorang perlu membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk dirinya. Setiap kali bermusafir, Nabi SAW membawa beg kecil berisi siwak. Baginda juga membawa sikat, cermin, celak dan kayu wangi. Kayu wangi ini dinamakan Al-Midra, dengannya baginda meleraikan rambut.
              
                Sebelum melangkah keluar hendaklah  mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga, dengan memohon penjagaan daripada Allah SWT. Inilah sunnah yang diajar dan dibacakan oleh Nabi SAW kepada beberapa sahabat,

استودعك الله الذي لا يضيع ودائعه
 “Aku pohon agar kau dijagai Allah SWT yang takkan hilang jagaan daripadaNya”.

Selain itu, sunat juga bagi kita meminta didoakan oleh orang musafir. Sesungguhnya doa orang bermusafir itu mustajab. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi, tiga doa yang mustajab dan tiada syak padanya ialah doa orang yang dizalimi, doa yang bermusafir dan juga doa ibu bapa kepada anaknya. Bahkan Rasulullah SAW meminta salah seorang sahabatnya iaitu sayyidina Umar Al-Khattab agar mendoakan baginda ketika dia berangkat untuk bermusafir. Umar al-Khattab r.a berkata, “Aku meminta izin kepada Nabi SAW untuk melaksanakan ibadah umrah dan baginda mengizinkanku serta bersabda:

“Jangan engkau lupakan kami dalam doamu, wahai saudaraku”.         
     (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)

Seterusnya, apabila mula menaiki kenderaan untuk bermusafir, berdoalah dengan doa musafir. Terdapat banyak doa dan zikir untuk musafir yang boleh diamalkan. Antaranya,

سُبْحَانَ الَّذِيْ سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ. وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ} اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِيْ سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيْفَةُ فِي اْلأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ 
وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوْءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَاْلأَهْلِ. وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ وَزَادَ فِيْهِنَّ: آيِبُوْنَ تَائِبُوْنَ عَابِدُوْنَ لِرَبِّنَا حَامِدُوْنَ.

Sunat juga bagi yang bermusafir secara berkumpulan atau jumlah mereka 3 orang dan ke atas, mereka perlu bermesyuarat untuk memilih ketua. Iaitu sebagai pemimpin dan penyusun program perjalanan mereka agar teratur dan baik. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Malangnya ia adalah salah satu sunah yang dilupai oleh kita.

Rasulullah SAW juga mengajar kita untuk bertakbir apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi. Sebagai contoh ketika menaiki kapal terbang, apabila mula berlepas dan terbang tinggi, sunat bagi kita bertakbir ‘Allahu Akbar!’ dan bertasbih ketika turun, ‘Subhanallah!’ . Begitu juga ketika kita mendaki bukit, jejantas atau kawasan tinggi, sunat bertakbir setiap kali naik ke atas dan bertasbih ketika menuruninya.

Antara sunnah Rasulullah yang lain ialah al-Huda’ (nyanyian musafir). Telah diceritakan oleh Anas bin Malik, riwayat Bukhari, bahawa Rasulullah SAW memiliki seorang pengawal iaitu Anjasyah. Beliau mempunyai suara yang merdu. Nyanyian beliau akan membuatkan unta berjalan lebih laju. Maka pada ketika itu Rasulullah SAW menegur beliau agar memperlahankan nyanyiannya kerana bimbang akan memecahkan sesuatu yang mudah pecah. Qatadah mengatakan bahawa maksudnya adalah wanita, kerana lemah dirinya. Hal ini sebagai bukti bahawa nabi SAW suka mendengar nyanyian ketika dalam perjalanan. Rasulullah SAW inginkan kita dalam suasana yang baik, berehat dan menenangkan diri daripada suasana tegang.

Seterusnya ialah membeli buah tangan untuk dibawa pulang. Ia menjadi sebahagian dari adat budaya kita. Namun, sayangnya kita melakukannya tanpa mengetahui bahawa ia adalah sebahagian daripada sunnah Rasul SAW. Walaupun hadiah tersebut kecil, tetapi ia amat bernilai. Ia dapat mengeratkan hati manusia dan menghubungkan kasih sayang.

Apabila kita melakukan salah satu dari sunnah ini, kita dapat merasai perjalanan kita adalah perjalanan yang luar biasa. Inilah keistimewaan kepada yang tahu dan belajar serta mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Marilah kita sama-sama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW agar perjalanan dan permusafiran kita dipenuhi dengan pelbagai manfaat dan faedah.

 " Kediaman Islamik, Ukhuwah Dinamik "
" Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan "
Satu Fikrah Satu Amal

Disediakan oleh: 
Unit Perumahan dan Rehlah, 
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir Sesi 2014/2015

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]