BKAWM KELUARGA KITA!

  Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dengan limpah dan kurniaNya, serta rahmat dan inayahNya pada hari ini kita dapat hidup dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Semoga taufiq dan hidayahNya terus menyinari hidup kita sehingga kita dapat berkumpul dengan Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW di hari kiamat kelak. Selawat dan salam ke atas baginda, Rasulullah SAW serta ahli keluarga baginda yang mulia. Jika bukan kerana perjuangannya bersama para sahabat kita tidak akan dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.

Kesatuan merupakan satu agenda yang amat dituntut oleh baginda Nabi Muhammad SAW.  Dalam hadisnya, baginda SAW memberitahu kepada kita tentang erti pentingnya persatuan dan kesatuan.
Diriwayatkan dari Abu Burdah dari Abi Musa dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:

“Perumpamaan di antara orang mukmin dengan mukmin yang lainnya diibaratkan seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.

Melalui hadis ini, Rasulullah SAW mengumpamakan orang-orang mukmin seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan di antara satu sama lain. Demikianlah juga perihalnya kita sebagai ahli BKAWM. Selaku mahasiswa yang menuntut ilmu jauh di perantauan, BKAWM inilah yang akan menjadi pengganti keluarga kita di tanah air. Kita saling memerlukan antara satu sama lain serta saling menguatkan sama ada di dalam keadaan senang mahupun susah. 

Seperti mana yang kita ketahui, terlahirnya BKAWM dengan kesungguhan dan kesabaran orang-orang terdahulu yang bekerja keras bagi mewujudkan sebuah medium kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan ini. Jadi, generasi sekarang haruslah berusaha untuk menyambung dan meneruskan usaha yang telah dicetuskan ini bagi memastikan kelangsungan kesatuan BKAWM ini.

Oleh sebab itu, hendaklah kita selaku anak Wilayah Persekutuan di Perlembahan Nil ini bersatu di bawah naungan BKAWM. Janganlah disebabkan berbeza pendapat, kita berpecah belah dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Berlapang dadalah di antara kita seperti kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna:

“Setinggi-tinggi ukhuwah adalah ithar (melebihkan saudaranya) dan serendah-rendah ukhuwah adalah berlapang dada.”

BKAWM mengharapkan bukan sahaja pimpinan malah ahli juga turut sama-sama memelihara kesatuan ini daripada ancaman-ancaman luar yang boleh menganggu gugat kesatuan ini. Kita perlulah merasai  BKAWM ini seperti keluarga kita sendiri selari dengan misi keenam Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan  Mesir pada sesi ini iaitu membudayakan slogan ‘BKAWM Keluarga Kita’. Semoga melalui slogan ini akan lebih mengeratkan hubungan sesama kita, anak-anak  Wilayah Persekutuan di bumi Mesir bukan sahaja anak-anak Kuala Lumpur, malahan juga anak-anak Putrajaya dan anak-anak Labuan. BKAWM Keluarga Kita!


Nur Hazimah binti Mat Basri,
Naib Pengerusi HEWI I,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) 
sesi 2014/2015.





Comments

Popular posts from this blog

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]