TINTA DAKWAH: Ukhuwah


                      
Assalamualaikum warahmatullah,
Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad, Wa ‘Ala Ali Sayyidina Muhammad

Alhamdulillah selepas mengeluarkan artikel sulung untuk sesi ini, iaitu pada bulan lalu dengan tajuk SALAM, kini Tinta Dakwah kembali lagi bagi menyambung naskhah ‘Tinta Dakwah’ dengan tajuk yang pastinya lebih menarik.

Apabila disebut saja tentang ukhuwah, pasti semua mafhum bahawa ukhuwah itu adalah satu perhubungan, persaudaraan sesama insan dan yang seerti dengannya. Namun, berapa ramai yang mengetahui bagaimanakah ukhuwah itu sebenarnya? Ya, Itulah tajuk yang ingin Tinta Dakwah kongsikan untuk bilangan kali iniUKHUWAHMungkin ada yang sudah tahu. Tetapi tidak mengapa

Bagi yang sudah tahu mari pakat-pakat baca bagi mantapkan lagi ingatan. Bagi yang tidak tahu, mari baca untuk tambahkan pengetahuan.


Untuk mengetahui bagaimana seharusnya ukhuwah itu diaplikasikan, mari kita telusuri satu persatu tingkatan ukhuwah itu sendiri. Yang pertama, dalam berukhuwah kita perlu mempunyai sikap salamatussodri iaitu, berlapang dada. Dalam setiap perhubungan pasti ada badai yang melanda hatta dalam hubungan kekeluargaan, apatah lagi persahabatan. Tetapi sekuat mana sikap berlapang dada kita  sendiri ketika mana masalah menimpa? Adakah kita akan cepat melatah atau akan cuba mencari penyelesaian untuk permasalahan itu? Ketahuilah bahawasanya salamatussadri ini merupakan tingkatan yang paling rendah dalam tingkatan ukhuwah.

Seterusnya musawah iaitu, sama rata. Seringkali kita terlepas pandang tentang perkara ini. Memang benar, agak sukar untuk kita berlaku adil terutamanya dalam urusan persahabatan. Pasti ada suatu ketika kita terlebihkan sebelah pihak sehingga menimbulkan rasa kurang puas hati di pihak yang lain walaupun ianya berlaku tanpa kita sendiri sedar. Untuk adil memang susah tapi ianya tidak mustahil. Selagi mana kita berusaha pasti ada jalan yang terbentang luas di hadapan kita.

Yang terakhir dalam tingkatan ukhuwah ini adalah ithar iaitu, melebihkan sahabat dalam hal-hal lain atau dalam skop yang lebih difahami, mendahulukan orang lain dari diri kita sendiri. Teringat satu cerita yang berkait dengan seorang sahabat nabi SAW yang bernama Ikramah.

‘Menjadi kebiasaan pada setiap akhir peperangan para sahabat akan memeriksa tentera-tentera dan para sahabat yang syahid. Terdengar sayup-sayup suara Ikramah meminta air. Sahabat yang membawa air segera menuju ke arahnya. Apabila hendak ditegukkan air kemulutnya terdengar sahabat lain juga meminta air. Ikramah berkata “Pergi kau segera kepadanya. Dia memerlukan air itu lebih dariku.” Dalam keadaan serba salah sahabat tadi segera ke arah suara tadi. Hal yang sama berlaku, sebelum air sempat melalui bibirnya, terdengar suara sahabat lain pula meminta air dan arahan yang sama diberikan kepada sahabat pemberi air. Apabila sampai ke arah suara tadi, sahabat itu telah kembali menghadap Ilahi. Si pemberi air segera kembali ke sahabat yang sebelumnya, nyata beliau juga sudah dijemput Ilahi. Akhirnya dia bergegas menuju Ikramah, tetapi beliau juga telah kembali ke sisi Rabbnya dengan keadaan tenang sekali.’

Kesimpulannya, ketiga-tiga tingkatan ukhuwah inilah yang harus ada dalam setiap perhubungan bagi mengeratkan ukhuwah yang terjalin di samping mendapat keredaan dari-Nya. Seperti yang disebutkan di dalam hadis nabi SAW,

“Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a pembantu Rasulullah SAW bersabda : Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”
HR Bukhari, Muslim dan Ahmad

Dengan ini, marilah sama-sama kita menerapkan ketiga-tiga sifat ini dalam diri kita. Semoga setiap daripada kita mendapat kebaikan, rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT dalam menuju reda-Nya.

Hasil Nukilan :
Nur Hafizah Binti Mohamad Rahman
Tahun 1 Kuliah Usuluddin


DISEDIAKAN OLEH:
UNIT SURAU,
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR

SESI 2014/2015

Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]