[ BERITA:IHTIRAM '16 RAMADAN BULAN TARBIAH ]



KAHERAH, 5 Jun 2016 – Saban tahun kehadiran bulan Ramadan sentiasa dinanti oleh seluruh umat Islam di dunia, sehubungan dengan itu, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menganjurkan program bagi memenuhi Ramadan anak-anak Wilayah pada kali ini dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang bermanfaat. Ihya‟ Tarbawi Ramadan 2016 (IHTIRAM '16) kali ini telah bermula pada 5 Jun 2016 dengan program Bicara Ambang Ramadan yang disampaikan oleh saudara Muhammad Hafiz bin Rasimi, Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) pada sebelah petang, dan diteruskan pula pada sebelah malam dengan Majlis Perasmian yang telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Fadhli bin Adam, Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Antara objektif program IHTIRAM '16 pada kali ini adalah untuk mengamalkan dan menghayati sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan. Selain itu, IHTIRAM '16 juga adalah sebagai medan kepada ahli untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.Tambahan pula, IHTIRAM '16 dilihat mampu menjadi medium kepada ahli dan masyarakat untuk melakukan amal kebajikan sepanjang bulan Ramadan, lantas kesemua objektif ini mendorong kepada peneguhan ukhuwah dan tali kesatuan antara ahli.

Bagi menjayakan keseluruhan objektif tersebut, pelbagai pengisian Ilmiah dan bermanfaat yang telah dihidangkan dalam IHTIRAM '16. Sebagai contoh, pada 9 Jun 2016, Wacana Kesihatan yang bertajuk “Menyanggah Mitos Rawatan Kesihatan” oleh saudara Ilman bin Abdul Razak, Ketua Penasihat BKAWM sesi 2015/2016. Manakala pada 13-15 Jun 2016, Daurah Fiqh Musafir dan Fiqh Saum oleh saudara Syed Ahmad Ridhwan bin Syed Md Zain telah membuka minda ahli-ahli BKAWM tentang segenap hukum hakam berkaitan musafir dan puasa. Pengisian diteruskan lagi pada 18 Jun dengan Bengkel Sony Vegas di bawah kendalian saudara Muhammad Syakir bin Mohd Rosnan, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2015/2016. Pengisian seterusnya adalah pada 21 Jun 2016 iaitu Ceramah Nuzul Quran dan Badar Kubra yang disampaikan oleh Presiden PERUBATAN sesi 2016/2017, saudara Muhammad Ikraam bin Abdul Latif. IHITIRAM ‟16 pada tahun ini diserikan lagi dengan Tazkirah Ramadan Khas oleh Ustaz Syafiq Zulakifli, lepasan Ijazah Sarjana Muda kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar (2009) pada 23 Jun 2016 yang telah menyemarakkan semangat anak-anak Wilayah Persekutuan dalam pemburuan mencari Lailatul Qadar. Khusus buat para mahasiswi pula telah diadakan Daurah Linnisa‟ : Tafsir Surah An-Nur pada 28Jun yang telah dibentangkan oleh saudari Nasuha Husna binti Mohd Nordin, Penasihat Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT).

Tidak terhad kepada pengisian ilmiah semata-mata, pelbagai aktiviti lain yang mampu menyempurnakan objektif program telah direncana. Antara aktiviti menarik sepanjang IHTIRAM '16 ialah, Masjid Hopping, Khidmat masyarakat, Qiamullail, Iftar Jamaie dan Mahabbah, Syantah Ramadan, Maidah Rahman, Bake-off yang telah dipimpin oleh Puan Rakina binti Li, isteri Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan. Meskipun dengan pelbagai aktiviti ini, aktiviti harian sepanjang Ramadan tetap dilaksanakan juga seperti Solat Tarawih, Moreh, Pantauan Borang Mutabaah Amal, dan Tadarus Al-Quran yang telah diadakan Majis Khatam Al-Quran pada 4 Julai yang lalu.

IHTIRAM '16 yang telah pun melabuhkan tirainya mendoakan agar amalan-amalan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang Ramadan dapat dikekalkan dan diterima Allah SWT.


"Tarbiah Ramadan, Pemangkin Jiwa Insan"
"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"


Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]