[ RISALAH AL-HIKMAH Bil 01: UMMAH MEMANGGILMU, SAUDARAKU! ]



Bil 01: Ummah Memanggilmu, Saudaraku!

“Ibu, ibu! Budak Syria ini mahu mengambil anak patung saya!” jerit Meryam, sambil berlari ke belakang ibunya, memeluk kuat. Meryam mengintai dari ekor matanya anak Syria itu. Geramnya bukan kepalang. Ibu baru sahaja menghadiahkannya patung itu, sempena keputusan peperiksaannya yang cemerlang tempoh hari. 

“Mudah-mudah saja mahu meminta, hish!” rengusnya.

Ibunya hanya memandang, lantas mengeluarkan sekeping syiling dari dalam dompetnya dan dihulurkan kepada anak malang itu. Anak Syria itu, seusia anaknya barangkali. Anak perempuan, dalam 8 tahun, kulitnya pucat, matanya cengkung, bibirnya bergetar menahan kesejukan bumi Turki. Senyum anak itu mengambil wangnya, sambil melafazkan syukur dan terima kasih.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berbicara tentang situasi yang sedang melanda masyarakat islam di seluruh dunia sememangnya tidak akan berkesudahan. Ketika mula menaip artikel ini, hadis nabi yang sering kita dengar kembali terngiang-ngiang di telinga, digambarkan keadaan umat akhir zaman ini dengan begitu teliti oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

“Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya manusia menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Baginda menyambung, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.” Seorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”
HR. Ahmad, al-Baihaqi, Abu Dawud No 3745

Menelusuri konflik yang sedang ganas membaham masyarakat beragama Islam di seluruh dunia sememangnya membuatkan kita sedih juga keliru. Sedih kerana tiada kuasa daya upaya untuk membantu. Keliru kerana berita yang sampai melalui lembaran media belum tentu benar, malah dijungkir-balikkan supaya kebenaran tidak tersingkap. Maka, watak antagonis yang bertopengkan manusia terus bebas terselamat, sedang yang lemah dijadikan kambing hitam untuk mengaburi muslihat mereka.

Bumi Syria kini sudah umpama padang jarak, padang tekukur. Tanah perang. Malah, ditambah pula dengan dingin musim sejuk yang terus menggigit. Rakyat marhaen menjadi pelarian. Dibaluti baju-baju usang di khemah-khemah yang dibina atas ehsan. Sedangkan dahulu, mereka punya rumah, harta dan segala bentuk kekayaan. Inilah yang berlaku apabila kuasa-kuasa besar semakin rakus membina kekuatan yang kononnya melambangkan kedudukan masing-masing di mata dunia. 

Perang sivil di Syria menyebabkan rakyatnya sudah putus harap, dan mencari jalan untuk meneruskan hidup di negara lain. Namun, tidak semua berjaya tiba ke destinasi. Ada yang gagal, tersungkur syahid, tenggelam di lautan dan pelbagai lagi kisah duka mereka. Jasad kaku adik Aylan Kurdi masih segar di ingatan kita, terbaring di pantai laut Turki, sebagai satu bukti betapa besarnya dugaan yang mereka lalui.

Campur tangan negara-negara asing berkuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Arab Saudi, Iran dan Turki nampaknya tidak mampu meredakan perang di Syria. Anggota tentera yang diupah dan dijenamakan dengan Islamic State (ISIS) pula menjadi bara api yang berterusan menghangatkan suasana.

Sengaja penulisan ini memfokuskan konflik di bumi Syria bagi memberi gambaran akan situasi yang melanda umat Islam kini, serta permainan yang sedang dijalankan oleh pihak kuasa besar dunia. Menjadi suatu tanggungjawab terpundak di bahu kita, bukan sahaja sebagai mahasiswa, tetapi selaku manusia untuk mengambil tahu akan nasib saudara seagama. 

Manusia. Diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah yang Maha Esa. Pastinya punya tugas yang lebih besar selain belajar dan bekerja semata-mata. Masa lapang sewajarnya kita manfaatkan bagi membantu sesama jiran tetangga, sahabat, saudara-mara malah saudara seakidah walau di mana mereka berada. Bukankah mukmin itu bila disepadukan umpama bangunan yang tersusun kukuh? Bukankah kita umpama batu-bata yang diperlukan untuk membinanya? Mengapa masih lalai, saudaraku?


Umat Islam di dunia bermula dengan belasan manusia yang beriman dengan baginda Nabi Muhammad SAW ketika awal penurunan wahyu. Kini, jumlahnya sudah menjangkau puluhan malah ratusan juta. Bagaimana jelasnya visi baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan dakwah Islam serta membina kekuatan sebuah empayar Islam yang digeruni. Pepatah yang biasa kita dengar, umat Islam kini sedang berada dalam tidur yang nyenyak, bermimpikan dunia yang penuh kenikmatan, berbantalkan emas permata, bersayapkan wang kertas. Bilakah agaknya kita akan terjaga dari mimpi itu, bangkit dari tidur yang panjang, keluar dari buaian iblis?

“Bicara memang mudah, saudara? Mahu laksanakan bagaimana?”bisik suara dari dalam kepala.

Menguasai isu semasa sebagai langkah pertama. Maka, wajibkan diri membaca. Tidak ada masalahnya jika melayari internet 24 jam sehari jika itu dapat menambah pengetahuan kita dalam isu semasa, bukan sekadar untuk membaca tentang haiwan peliharaan dan resepi masakan. Kuasai bahasa asing, seperti Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Malah, baginda Rasulullah SAW pernah memerintahkan seorang sahabat untuk menguasai bahasa pertuturan musuh bagi memudahkan strategi penyebaran Islam pada ketika itu. 

Masa yang terluang isilah dengan aktiviti berfaedah berbentuk sukarelawan dan kemasyarakatan. Libatkanlah diri dengan persatuan-persatuan yang baik dan bermanfaat untuk meningkatkan potensi dan kemahiran diri. Pembinaan jati diri muslim yang berwawasan perlulah bermula dari diri sendiri. Bacalah dan kutiplah motivasi dari sejarah tokoh-tokoh gerakan Islam yang begitu cekal berjuang mempertahankan agama dan saudara seakidah dari didominasi musuh-musuh Islam. 

Umat Islam seluruh dunia sedang memanggil kita dengan suara yang semakin sayup, cuba untuk mengejutkan kita yang terus leka menghabiskan saat kehidupan dengan kemewahan. Kemewahan yang bakal menjadikan kita bukan dari kalangan baginda Rasulullah SAW kerana malasnya kita untuk mengambil berat akan nasib saudara seagama yang diuji setiap saat dan ketika. Kemewahan yang bakal menjerumuskan kita ke lembah kehinaan di akhirat kelak, bila ditanya oleh anak-anak kecil Syria dan Palestin di hadapan Allah. Ayuhlah anak muda, usah bazirkan masa, marilah bersama sama mengangkat tangan dan mendoakan kesejahteraan saudara saudara kita ini.



DISEDIAKAN OLEH:
UNIT KHAS SAINS KESIHATAN
UNIT PENDIDIKAN DAN PENGETAHUAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR (BKAWM) SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]