[ RISALAH KEMPEN BIL 03: RUMAHKU SYURGAKU ]


BIL 03  : RUMAHKU SYURGAKU

Sebagaimana kita semua sedia maklum, Kempen Rumahku Syurgaku adalah sebuah kempen yang telah dilancarkan di bawah Lajnah Kebajikan dan Perumahan. Kempen ini merupakan program tahunan sepanjang sesi, bermula daripada awal sesi sehinggalah akhir sesi kepimpinan. Tujuan kempen ini dijalankan adalah untuk memastikan setiap rumah, sama ada di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan mahupun rumah-rumah sewa, sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, ceria dan mempunyai persekitaran yang baik.

Tema yang dibawakan bagi kempen untuk sesi ini adalah "Kebersihan Dilestari, Ukhuwah Terpatri". Secara umumnya yang dapat difahami daripada tema ini ialah melalui penjagaan kebersihan, suasana kekeluargaan dapat diwujudkan. Demi merealisasikan tema kempen ini, Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Perumahan (LKP) BKAWM sesi ini telah pun menggariskan beberapa objektif sebagai kayu ukur untuk mencapai taraf "Rumahku Syurgaku" seperti yang diimpikan, iaitu;

1) Meningkatkan kebersihan dan keselesaan kediaman ahli BKAWM.

Memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas dan teratur. Dalam hal ini, setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan kekemasan dan kebersihan rumah sentiasa berada di tahap yang memuaskan sesuai dengan status sebagai seorang mukmin sejati dan selari dengan maksud kebersihan yang digariskan Islam. Islam itu agama yang bersih dan menganjurkan penganutnya untuk menjaga kebersihan. 

Suasana yang bertentangan dengan hal ini tidaklah memberikan apa-apa faedah kepada kita melainkan keburukan. Tempat yang kotor akan menjadi sarang syaitan. Maka, mulalah ahli yang menginap di kawasan yang kotor itu diserang sikap-sikap negatif seperti malas, tidak bersemangat, suka melepak, banyak membuang masa dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung suasana yang tidak kondusif tadi telah mengubah sebahagian cara hidup kita ke arah yang lebih pasif dan negatif.

2) Mewujudkan suasana biah solehah di rumah sewa dan asrama.

Sebagai seorang mukmin yang proaktif, kita perlulah hidup dalam suasana yang baik dan terpelihara. Sesuai dengan usul pembawaan BKAWM sesi ini iaitu “Memperkasa biah solehah dalam kalangan ahli”, maka LKP juga turut menyelitkan objektif yang sama bersama kempen ini sebagai interprasi ke dalam kehidupan seharian. Setiap individu perlulah berganding bahu dan saling mengingatkan di antara satu sama lain berkenaan hal-hal kebaikan. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud, "Iaitu orang-orang yang beriman dan melalakukan amal soleh, sentiasa berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran." (Surah al 'Asr : 3)

Persekitaran yang baik boleh diwujudkan dengan cara mengamalkan gaya hidup Islam sebenar. Seorang mukmin yang baik tidak akan rela melihat saudara seakidahnya terus leka dibuai angan-angan kosong, hanyut dalam dunia fantasi dan sikap bermalas-malasan dalam beribadah. Sekiranya waktu solat telah masuk, sama-samalah ajak ahli rumah kita turun solat berjemaah di surau atau masjid berhampiran, mengajak sahabat kita membaca Alquran dan sebagainya. 

Suasana proaktif juga dapat diwujudkan melalui pengamalan nilai akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, menghidupkan sunnah baginda di dalam rumah, menghiasi rumah dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dan sebagainya. Seterusnya, menjaga lidah dari berkata perkara-perkara dusta dan sia-sia apatah lagi mengeluarkan kata-kata tercela. Dengan mengamalkan cara hidup Islam yang menyeluruh, maka persekitaran yang baik dapat diwujudkan di dalam rumah seterusnya menjadikan rumah tersebut dibanjiri dengan rahmat Allah SWT.

3) Mengukuhkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKAWM.

Sekiranya seseorang itu faham akan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ahli rumah, maka secara tidak langsung hubungan sesama ahli rumah dapat dieratkan sebagai sebuah keluarga seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sesama ahli BKAWM. Culas dalam melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai ahli rumah akan mendorong kepada keretakan ikatan ukhuwah. Justeru akan ada yang terasa hati, memendam marah dan seterusnya ada yang mula menyendiri kerana tidak tahan dengan situasi yang tidak selari dengan kehendak yang sepatutnya. Jika masing-masing melaksanakan tugasnya dalam rumah tersebut seperti yang telah disepakati, maka perkara ini tidak akan berlaku. Oleh itu, setiap individu perlu sematkan dalam diri, rasa tanggungjawab dan cakna dengan keadaan rumah masing-masing.

Begitulah serba sedikit pencerahan berkaitan objektif untuk kempen ini. Sama-samalah kita menjadi seorang mukmin yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran, kerana Allah SWT sangat suka hambanya yang bersih. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang bersih" ( Surah al Baqarah : 222). 

Kesimpulannya, menjaga kebersihan itu adalah sebuah tanggungjawab, dan bukannya hobi semata-mata. Kerana hakikatnya ia adalah tuntutan syariat bahkan pembuka kepada segala ibadah. Maka, jika kita ingin segala pekerjaan seharian kita dinilai sebagai ibadah, maka mulakanlah dengan pembersihan jiwa, diri dan persekitaran. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan membersihkan kita dari segala sifat negatif.

'Clean for healthy life.' 

Nukilan:
Mior Ahmad Fitri Bin Mior Shahridan
Kuliah Usuluddin, Tahun 2


Disediakan oleh:
UNIT KHIDMAT BAKTI
LAJNAH KEBAJIKAN DAN PERUMAHAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR
SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]