[RISALAH IQTISODIAH : SIRI 01]
Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi
Muhammad Ilman bin Abdul Razak
Siri
01
Pendahuluan
Semenjak krisis antara Palestin-Israel kembali meruncing, perbincangan
berkenaan boikot menjadi salah satu isu yang giat dipolemikkan dan diperbincangkan;
adakah ianya berkesan ataupun tidak di dalam memberikan tekanan terhadap negara
haram Israel atau sebenarnya hanya menzalimi perusahaan perniagaan yang tidak
terkait dengan kezaliman di Gaza?
Adakah Wajib Untuk Boikot?
Sebelum kita pergi lebih lanjut, sebaiknya kita melihat terlebih
dahulu perbincangan di kalangan ulama’ berkenaan boikot secara ringkas; adakah
ianya dibolehkan atau sebaliknya. Pada permulaan, kita fahami dahulu hukum asal
jual beli antara muslim dan orang yahudi (atau syarikat dimiliki orang yahudi).
Menjalankan aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan daripada orang yahudi
asal hukumnya adalah harus, ianya disandarkan kepada tindakan nabi Muhammad SAW
membeli makanan daripada orang yahudi yang dirakamkan di dalam hadith riwayat Bukhari.
Begitu juga Allah menghalalkan memakan daging sembelihan ahli kitab dan turut
sama dibolehkan untuk mengahwini mereka, maka apatah lagi berurus niaga dengan
mereka (selagi mana menepati syarat jual beli di dalam Islam).
Bagaimana pula tindakan memboikot barangan-barangan yang dihasilkan
oleh syarikat yang jelas sumbangannya kepada Israel? Dalam konteks ini, kita
telusuri semula sirah Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi pernah bertindak
memulau perkampungan Yahudi Bani Nadzir bahkan menebang pohon-pohon kurma milik
mereka (sumber ekonomi mereka) berikutan ancaman yang dizahirkan oleh mereka
untuk memerangi umat Islam. Begitu juga jika dilihat terhadap pemulauan yang
dibuat terhadap yahudi Bani Quraidzah yang mana mengkhianati umat Islam di
dalam peperangan Ahzab. Tetapi adakah di sini titik penilaiannya apabila ianya
datang daripada Yahudi, maka perlu diperangi dan diboikot? Tidak. Tetapi ianya
merujuk wujudnya sifat memerangi terhadap umat Islam dan tekanan ekonomi
melalui tindakan boikot terhadap yang memerangi itu menjadi suatu jalan jihad
untuk menggesa pengembalian semula hak yang dirampas.
Berkenaan persoalan adakah ianya menjadi wajib dan haram untuk
membeli barangan yang disenaraikan sebagai barangan boikot? Di sini terdapat
perbezaan antara Fatwa dan Qadha’ (arahan pemerintah), yang mana sifat Fatwa
adalah ghairu mulzim dan Qadha’ bersifat mulzim. Ianya akan
menjadi wajib apabila telah diperintahkan oleh ‘Ulil Amri (jika wujud khilafah)
atau tertakluk kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing (bagi tempoh
ketiadaan khilafah). Selagi ianya tidak menjadi suatu arahan daripada
pemerintah, boikot masih berada di dalam lingkungan ‘digalakkan’.
Berikutan beberapa situasi terpencil yang mempamerkan perilaku
pendokong usaha boikot yang keterlaluan seperti memusnahkan harta pemilikan
syarikat atau melakukan pemaksaan secara keras terhadap pilihan individu lain
adalah dilarang dan perlu dihentikan. Begitu juga dalam perlaksanaan boikot;
memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap maklumat dan latar belakang
syarikat yang diboikot. Kerana hukum asal berurus niaga dengan Yahudi adalah
harus, sebarang sangkaan dan khabar angin yang tidak dapat disahkan ketulenan
faktanya tidak dapat boleh dijadikan sandaran untuk memasukkan sesebuah
syarikat tersebut ke dalam senarai boikot. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang
mafhumnya; “ Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu sangkaan.”
(Al-Majmu, al-Nawawi)
Disediakan oleh:
Unit Tugas-tugas Khas (Unit Promosi),
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2016/2017
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment