[RISALAH AL-HIKMAH : SYARAT-SYARAT MENJADI IMAM]




Syarat-syarat Menjadi Imam

وَعَنْ أبن مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم: يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ ، فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً ، فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ ، فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً ، فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً ، فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً ، فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا ، وَلَا يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ ، وَلَا يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلَّا بِإِذْنه

Dari Ibnu Mas'ud ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Yang mengimami kaum adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran di antara mereka. Jika dalam bacaan mereka sama, maka yang paling banyak mengetahui tentang Sunnah di antara mereka. Jika dalam Sunnah mereka sama, maka yang paling dahulu berhijrah di antara mereka. Jika dalam hijrah mereka sama, maka yang paling dahulu masuk Islam di antara mereka, dan janganlah seseorang mengimami orang lain di tempat kekuasaannya dan janganlah ia duduk di rumahnya di tempat kehormatannya kecuali dengan izinnya." (HR Muslim, no. 1709)


Berdasarkan hadis di atas, orang yang berhak menjadi imam mengikut turutan adalah:-
1     1)      Orang yang paling baik bacaan al-qurannya, beserta tajwid dan tartil.
2     2)      Orang yang memahami fiqh solat. Sekiranya ada dua orang, salah seorangnya baik dalam bacaannya tetapi kurang faham berkenaan fiqh solat, sedangkan orang yang kedua lebih faham mengenai fiqh solat tetapi kurang baik bacaannya, maka hendaklah mendahulukan orang yang faham fiqh solat.
3     3)      Orang yang memahami hadis nabi SAW. Maka dia lebih berhak menjadi imam berbanding orang yang hanya baik dalam bacaannya sahaja.
4     4)      Orang yang lebih awal hijrah (dari kafir ke Islam)  lebih diutamakan, apabila sama dalam ilmu dan bacaannya.
5     5)      Orang yang paling lebih awal masuk Islam.
6     6)      Orang yang lebih tua umurnya (jika mempunyai kemampuan yang sama dari nombor 1 hingga 5).

Selain itu juga, antara intipati yang terdapat dalam hadis di atas ialah:-
 ▪️Tuan rumah dan imam rawatib (imam tetap), lebih berhak menjadi imam solat daripada yang lain, kecuali mendapat izin daripada mereka. Hal ini bersandarkan  hadis nabi SAW: “Dan janganlah seseorang menjadi imam bagi orang di tempat kekuasaan orang itu.”

▪️Jika dalam keadaan darurat, maka kanak-kanak yang mahir dan fasih membaca al-quran dibenarkan menjadi imam.
Dalilnya dari Amr bin Salamah RA, dia berkata, “Ketika pembukaan kota Mekah, setiap kaum berlumba-lumba menyatakan keislamannya dan ayahku telah mendahului keislaman kaumku, tatkala dia datang kepada mereka, dia berkata,
”Demi  Allah, aku datang kepada kamu semua dari sisi nabi. Baginda bersabda: Solatlah begini pada waktu begini, dan solatlah begini pada waktu begini. Apabila (waktu) solat tiba, hendaklah seorang diantara kamu mengumandangkan azan dan hendaklah yang paling banyak hafalan qurannya yang menjadi imam kamu.
“Kemudian para sahabat mencari dan  tidak ada hafalan qurannnya lebih banyak dariku, kerana sebelum ini aku pernah belajar al-quran daripada sejumlah musafir, kemudian mereka memilihku sebagai imam, padahal aku masih berusia enam atau tujuh tahun.” (Sunan Nasaei)


Orang yang diharamkan menjadi imam
1     1)      Wanita yang mengimami lelaki. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW. “Tidak akan bahagia sesuatu kaum, yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita.” (HR Muslim)
2     2)      Orang yang berhadas atau terkena najis, padahal dia mengetahuinya. Jika makmum tidak mengetahuinya, hingga selesai solat, maka solat mereka sah.
3     3)      Orang yang ummi, iaitu orang yang kurang baik dalam bacaan al-fatihah, tajwid atau tilawah al-quran, seperti mengidghamkan huruf yang bukan idgham.
4     4)      Orang fasik dan ahli bida’ah.

Orang yang makruh menjadi imam
1     1)      Orang yang lahhan (lafaz dan makhraj huruf tidak jelas) dan banyak salah ketika membaca.
2     2)      Orang yang tidak disukai oleh sebahagian jemaah. Rasulallah SAW, bersabda: ”3 hal yang solat mereka tidak akan merangkak naik walau hanya sejengkal dari kepala mereka, seseorang yang mengimami suatu kaum, namun kaum tersebut membencinya.” (HR Ibnu Majah)


Disediakan oleh:
Muhammad Azan bin Abdul Malek,
Bendahari, Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM
sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]