[RISALAH IQTISODIAH : SIRI 02]

Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi
Muhammad Ilman bin Abdul Razak

Siri 02

Sejarah Tindakan Boikot Terhadap Israel

Pemboikotan terhadap produk dan sebarang perkhidmatan yang datang daripada yahudi zionis atau negara haram Israel telah bermula sebelum penubuhan Israel itu sendiri. Berikutan penentangan daripada negara Arab terhadap peningkatan bilangan penempatan dan kemasukan Yahudi semasa tanah Palestin di bawah pentadbiran British, Liga Arab telah membuat suatu ketetapan agar anggotanya perlu melaksanakan pemboikotan terhadap aktiviti perekonomian yahudi bermula pada tahun 1945.

Selepas deklarasi penubuhan negara haram Israel pada 14 Mei 1948, tindakan boikot pada peringkat Liga Arab diperkemaskan lagi melalui perluasan skop sasaran boikot. Ianya dibahagikan kepada tiga peringkat; peringkat pertama: larangan terhadap sebarang urusniaga antara rakyat negara anggota dengan Israel, peringkat kedua: larangan terhadap rakyat negara anggota berurusniaga dengan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel dan peringkat ketiga: larangan menjalinkan hubungan perekonomian antara negara anggota dengan Israel dan entiti perniagaan yang memberikan sumbangan kepada Israel.

Walaupun inisiatif yang sangat baik telah digerakkan oleh Liga Arab, tetapi tidak kesemua anggotanya mematuhi ketetapan tersebut. Mesir menjadi negara pertama menghentikan tindakan boikot terhadap Israel berikutan perjanjian antara Mesir-Israel pada tahun 1979, seterusnya diikuti dengan Palestin pada tahun 1993 (Perjanjian Oslo) dan Jordan pada tahun 1994.

Bermula daripada 1980-an, pemboikotan hanya tertumpu kepada peringkat yang pertama (rakyat negara anggota – Israel) sahaja. Tindakan boikot terhadap perniagaan yang membantu Israel (peringkat kedua) dan daripada kerajaan negara anggota kepada Israel (peringkat ketiga) telah secara beransur-ansur menjadi berkurangan.


Selepas tahun 1996, negara-negara teluk (Oman, Saudi, Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE) pula menghentikan tindakan boikot terhadap negara haram Israel. Keputusan yang diambil ini adalah kerana mereka berpandangan bahawa kestabilan dan keamanan rantau arab akan kembali pulih jika hubungan antara negara Arab-Israel dipulihkan. Desakan daripada Amerika Syarikat juga menjadi salah satu faktor tindakan ini diambil oleh negara-negara teluk ketika itu.

Aktiviti boikot juga berlaku dikalangan penduduk Palestin itu sendiri. Semasa tercetusnya Intifadha yang pertama (1987), rakyat Arab-Palestin yang berada di tanah Palestin ketika itu melancarkan penentangan melalui tekanan terhadap ekonomi pentadbiran Israel yang memerintah mereka (belum wujud pembahagian dua negara) melalui demonstrasi, menghentikan pembayaran cukai, mogok lapar, pemboikotan produk dan perkhidmatan dan penutupan premis-premis perniagaan sebagai tanda protes.

Titik mula gerakan boikot secara besar-besaran dan lebih tersusun adalah selepas Intifadha kedua (2000). Pada tahun 9 Julai 2005, telah dijalankan sebuah kempen yang diberi nama BDS Campaign (Boycott, Divestmen & Sanction) yang disertai oleh 171 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen BDS ini menggesa tiga tuntutan yang perlu dipenuhi oleh Israel sebagai syarat untuk menghentikan aktiviti boikot:

Menghentikan penjajahan tanah Arab dan meruntuhkan tembok pemisah yang memisahkan Tebing Barat.
Mengiktiraf hak penduduk Israel yang berbangsa Arab-Palestin, dan
Mengiktiraf hak perlarian daripada tanah Palestin untuk kembali ke tanah asalnya sepertimana yang telah digariskan di dalam Resolusi PBB 194.

Tambahan, boikot pada hari ini tidak lagi hanya melibatkan menghentikan jual beli produk dan perkhidmatan. Tetapi ianya turut sama melibatkan penarikan pengiktirafan terhadap sebarang aktiviti dan program anjuran Israel; melalui boikot akademik dan budaya.


Disediakan oleh:
Unit Tugas-tugas Khas (Unit Promosi),
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]