[KALAM PIMPINAN : KECIL TAPI BERNILAI]





Bismillahirrahmanirrahim.

   Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, kunci pintu rahmat Allah, kekasih ar-Rahman. Moga Selawat yang dipanjangkan menjadikan kami dicintai-Nya dan dicintai Rasul-Nya. 

Dari Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا تحْقِرَنّ مِنَ المَعْرُوفِ شَيْئا

Maksudnya: Janganlah kamu meremehkan kebaikan walaupun kecil.

(Riwayat Muslim dan Ahmad)
 
   Berdasarkan hadis ini, ternyata Nabi melarang kita meremehkan kebaikan walaupun kecil. Sering kali kita memandang remeh satu perbuatan kecil kerana disangka nilainya yang sedikit itu tiada gunanya. Kadang-kadang perbuatan yang kecil seperti mengalih batu di tengah jalan, mengutip sampah, menyusun kasut yang berselerak dan yang lainnya sering dipandang remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan jika melakukannya. Bahkan kita berharap orang lain akan melakukannya dan bagi kita hanya perkara yang penting-penting sahaja.



Bukankah Allah telah berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (٧)
وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ )٨(

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalnya)!

   Dari ayat al-Quran ini, seharusnya kita menjadikannya sebagai satu ayat yang memotivasikan diri untuk melakukan amal kebaikan biarpun kecil. Terdapat banyak kisah umat terdahulu yang Allah muliakan mereka kerana kebaikan yang sedikit. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda, "Ada seorang laki-laki berjalan melewati sebatang pohon yang melintang di tengah jalan. Lalu ia berkata : 'Demi Allah, akan kusingkirkan batang pohon ini agar tidak mengganggu kaum muslimin'. Maka oleh sebab itu dia pun dimasukkan ke dalam surga" (HR. Muslim)

Berkata juga Imam Abu Bakar al-Adani dalam nasihatnya,

“Janganlah kalian keberatan berbuat taat meskipun ia sedikit kerana padanya terdapat keredaan Allah. Dan janganlah meremehkan maksiat meskipun kecil kerana padanya terdapat murka Allah”


    Mereka yang membiasakan diri dengan amal yang kecil sebenarnya melatih dirinya mengalahkan ego dalam diri serta membentuk kerendahan hati. Orang yang rendah hatinya itu sentiasa merasakan kebersamaan Allah dengannya bahkan setiap amal dibuat dengan penuh keikhlasan. Dengan itu, akan wujudlah satu biah yang baik seperti saling nasihat-menasihati, sentiasa menawarkan pertolongan, 
sering berlumba-lumba melakukan kebaikan dan sebagainya. Malah, akan timbul dengan sendirinya keinginan berbuat kebaikan tanpa disuruh atau secara spontan. Hal ini sekali gus membentuk dan mencorak akhlak yang mulia dalam diri setiap individu muslim.

   Setiap kebaikan walaupun kecil akan melahirkan kebaikan yang lain. Jika kita melakukan kebaikan, maka akan menjadi pintu gerbang untuk memasuki pelbagai kebaikan yang lainnya. Sehubungan dengan itu, tidaklah dimaksudkan bahawa perkara yang besar dan penting patut diketepikan. Bahkan, sekiranya yang kecil itu perlu kita kira kepentingannya, apatah lagi pada yang lebih besar daripada itu.


Realitinya, ternyata setiap orang itu ada peranannya dalam sesebuah masyarakat. Ada yang memimpin dan juga dipimpin. Janganlah anggap bidang tugas sebagai AJK kecil bagi sesebuah program itu tiada nilainya dan menjadi pimpinan tertinggi besar ganjarannya. Malah, tidak mustahil mereka yang membantu dari sekecil-kecil perkara itulah yang mendapat ganjaran dan pengampunan dosa dari Allah.  Hal ini kerana setiap orang itu punya naluri manusia yang kenal apa itu kebaikan dan keburukan. Dan bagi mereka hanyalah pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Orang yang cerdik akan sentiasa memposisikan dirinya di mana sahaja dan sentiasa mencari peluang melakukan amal ketaatan. 

Akhir kalam, mulianya seseorang itu dilihat pada amal soleh dan kebaikan yang dia lakukan, walau di mana dan dalam apa-apa keadaan sekalipun. Semakin banyak kebaikan yang dilakukan, maka semakin tinggilah nilai kemuliaannya. Sebab itulah Allah menggalakkan kita supaya berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan.  Maka janganlah kita memandang kecil suatu kebaikan dan sebarkanlah nilai-nilai kebaikan di tengah-tengah manusia. Sungguh, muslim terbaik adalah yang paling bermanfaat bagi umat manusia. Moga kita sentiasa tergolong dalam kalangan mereka yang memberi manfaat kepada orang lain bahkan itulah yang diharapkan dari cebisan kalam ini.

Wallahu alam.

Disediakan oleh,
Nurul Amaani Binti Kushairi
Timbalan Bendahari Agung,
BKAWM sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]