[ RISALAH BIAH SOLEHAH: MEDIA ELEKTRONIK ]




MEDIA ELEKTRONIK

    Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa. Selawat dan salam sejahtera kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

    Dalam kehidupan seharian manusia,  kita pasti tidak boleh lari daripada penggunaan media elektronik. Media elektronik merupakan alat yang digunakan untuk menyampaikan pesanan-pesanan daripada suatu sumber kepada orang ramai melalui alat-alat seperti komputer, radio, telefon bimbit dan televisyen. Dalam era moden ini, kecanggihan teknologi yang wujud tidak lagi menghairankan, bahkan kebanyakannya sudah pun menjadi kebiasaan sehingga dapat mempengaruhi diri. Allah SWT telah berfirman :

وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوٓا۟ ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
                                                                                                             (Surah al-Baqarah: 195)

    Penggunaan media ini perlulah dikawal agar tidak mendatangkan kemudaratan dan kerosakan. Sekiranya penggunaan ini disalahgunakan, seolah-olah ia membuka pintu-pintu kerosakan yang lain yang akan membahayakan diri mereka, orang sekeliling serta agama Islam.

    Manfaat media elektronik ini akan kita peroleh sekiranya digunakan ke arah kebaikan, dan sebaliknya kita akan peroleh keburukan jika kita tidak menggunakan dengan sebaiknya. Sebagai seorang mahasiswa Islam, seharusnya kita berfikiran kreatif dan kritis  dalam mencari ruang dan peluang memanfaatkan media elektronik sama ada dengan cara kita berusaha mencari ilmu pengetahuan, mengetahui isu semasa atau dengan melaksanakan tugas kita sebagai seorang pendakwah sekalipun. Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
                                                                                                               (Surah ali-Imran: 110)

    Pada zaman nabi SAW, masyarakat berkomunikasi, menuntut dan menyebarkan  ilmu, menyampaikan sebarang maklumat serta berdakwah kepada orang ramai adalah dengan cara berhadapan dan berlaku pertemuan antara dua orang atau lebih (mubasyarah). Berbeza dengan situasi hari ini, kita mempunyai pelbagai medium komunikasi seperti radio, televisyen dan seterusnya berkembang melalui jaringan internet seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Blog, Youtube, dan banyak lagi.

    Oleh itu, sebagai umat Islam, kita perlulah menguasai media elektronik dan memanfaatkannya semaksimum mungkin  supaya ia menjadi satu titik tolak kepada kita dalam usaha kita mengembalikan semula kebangkitan Islam. Wallahu’alam.

Disediakan oleh:
Unit Biah Solehah,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2018/2019

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]