[ KALAM PIMPINAN: AIDILADHA, KISAH PENGORBANAN SEBENAR ]


Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta sahabat-sahabatnya. 

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: "Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (Surah al-Kauthar: 2)

Perkataan an-Nahr diertikan sebagai korban ataupun sembelih. Berkorban merupakan salah satu sifat yang dituntut dalam Islam. Imam Hasan al-Banna menyebut, "tiada dakwah tanpa jihad, dan tiada jihad tanpa pengorbanan." Maka, dengan menggunakan kaedah usul fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب.

Hukum bagi seorang hamba mempunyai sifat berkorban dalam berdakwah ialah wajib. 

Sifat pengorbanan boleh dikategorikan dalam pelbagai jenis sepertimana firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَاۤؤُكُمۡ وَأَبۡنَاۤؤُكُمۡ وَإِخۡوَ ٰ⁠نُكُمۡ وَأَزۡوَ ٰ⁠جُكُمۡ وَعَشِیرَتُكُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةࣱ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَاۤ أَحَبَّ إِلَیۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادࣲ فِی سَبِیلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ یَأۡتِیَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِینَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (Surah at-Taubah: 24) 

Berdasarkan ayat tersebut, pengorbanan boleh dimaksudkan sebagai berkorban jiwa, harta, masa, cinta, kehidupan dan segalanya semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah SWT. 

Sifat pengorbanan yang sebenar-benarnya bagi seorang hamba boleh dilihat dengan menelusuri kisah seorang nabi yang digelar sebagai 'Khalilullah' (kekasih Allah) iaitu Nabi Ibrahim a.s. 

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"." (Surah as-Saffat: 102) 

Ayat tersebut menceritakan bahawa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk melaksanakan korban ke atas anaknya, Nabi Ismail a.s. Jika dilihat secara logikal, perintah tersebut bukanlah suatu perkara yang mudah dan ringan. Tidak mungkin bagi seorang bapa bermudah-mudah untuk membunuh (menyembelih) anak kesayangannya yang sudah lama ditunggu kehadirannya dalam beberapa tempoh selepas perkahwinan. 

Akan tetapi, respon yang diambil oleh Nabi Ibrahim a.s ialah baginda terus melaksanakannya dengan penuh taat dan rasa cinta tanpa ada rasa ingkar terhadap perintah tersebut. 

Selain itu, ayat tersebut juga menunjukkan betapa pentingnya seorang hamba itu menghidupkan suasana keluarga yang baik, dengan menyuburkan nilai-nilai Islam dalamnya, demi melaksanakan perintahNya sebagai permulaan wasilah menghidupkan suasana Islam dalam kalangan masyarakat, seterusnya menghidupkan Islam di negara tersebut, sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Ismail a.s. Baginda menyahut seruan bapanya dengan mengizinkan dirinya disembelih sebagai tanda pelaksanaan suruhan Allah SWT. 

Seterusnya, berdasarkan kisah pengorbanan yang telah diceritakan dalam al-Quran, satu perkara yang mesti kita iringkan di samping berkorban ialah adanya sifat ikhlas yang berdasarkan taqwa, seperti firman Allah SWT:

لَن یَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاۤؤُهَا وَلَـٰكِن یَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj: 37)

Hadis Nabi SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Daripada Abu Hurairah beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian." (HR Muslim) 

Kesimpulannya, bersempena menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi, marilah sama-sama kita menghayati kisah pengorbanan yang telah dilakukan oleh kekasih Allah SWT. Dalam masa yang sama juga, boleh kita hayati pelaksanaan para jemaah haji dalam melaksanakan ibadah haji di Mekah. Di dalam rukun-rukun itu, adanya kisah berkaitan pengorbanannya, seperti melakukan saie antara Safa dan Marwah. 

Seterusnya, marilah sama-sama kita mempraktikkannya melalui medium yang BKAWM telah sediakan. Ia juga merupakan perkara yang mudah disebut, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Bahkan ia merupakan wasilah dalam mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Maka, pengorbanan memerlukan latihan demi latihan untuk mendidik jiwa kita agar terus istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Wallahua'lam.

Disediakan oleh:
FATHIMATUZ ZAHRA' BINTI RASID,
Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]