[ KALAM PIMPINAN: BELAJAR VS PERSATUAN ]


Assalamualaikum wrh wbt. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabatnya. Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, kita diberi kesempatan untuk meneruskan ketakwaan kepadaNya, diberi kudrat dan kekuatan untuk mentaati suruhanNya serta meninggalkan laranganNya.
 
    Umum mengetahui, tujuan utama kita datang ke Mesir adalah untuk mengaut ilmu-ilmu yang luas di bumi Mesir ini. Selain mempelajari ilmu-ilmu di kuliah, terdapat juga kelas-kelas pengajian di sekitarnya. Oleh itu, kita sebagai mahasiswa perlu bersungguh-sungguh mengutip mutiara ilmu yang begitu banyak ini.
 
    Disamping itu, mahasiswa Al-Azhar juga perlu mempunyai kemahiran dan ilmu kemasyarakatan untuk berdakwah agar dapat mendekati masyarakat dengan cara yang sesuai. Oleh itu, mahasiswa Al-Azhar juga perlu melibatkan diri dengan persatuan-persatuan pelajar seperti Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).
 
    Namun, isu yang sering timbul dalam kalangan mahasiswa Al-Azhar pada hari ini ialah Belajar vs Persatuan. Walhal pada hakikatnya tiada istilah Belajar vs Persatuan kerana tiada pertembungan antara keduanya. Apa yang bertembung ialah Hak dan Batil. Belajar dan Persatuan bukanlah perkara yang berlawanan malah kedua-duanya mempunyai titik persamaan iaitu ilmu.

    Definisi ilmu ialah diddul jahlu atau segala bentuk pengetahuan tentang sesuatu yang datang dari Allah SWT, yang diturunkan kepada nabi dan rasul serta alam yang diciptakannya termasuk manusia dan seluruh ciptaanNya yang ada di muka Bumi atau pengetahuan yang sistematik dan bersifat ilmiah.
 
    Ulama telah menggariskan amal Islami kepada 3 bahagian sebagai langkah untuk menerangkan kepada masyarakat keperluan kita sebagai umat Islam dan kewajipan yang mesti dilaksanakan. Amal Islami tersebut ialah:
1) Amal Fardi
2) Amal Jamaie
3) Amal Ijtimaie
 
    Belajar termasuk dalam amal fardi yang menjadi kewajipan kita selaku mahasiswa di bumi Mesir ini. Berpersatuan pula merupakan amal ijtimaie yang menjadi wasilah bagi kita untuk menyampaikan Islam. Persatuan membuka ruang yang luas kepada mahasiswa untuk belajar ilmu pengurusan organisasi, cara bermuamalah dengan pelbagai ragam manusia dan menyampaikan kebaikan kepada orang lain.
 
    Namun begitu, seorang mahasiswa perlulah mahir membahagikan masanya agar dapat mengimbangkan antara belajar dan berpersatuan. Hal ini kerana, kedua-duanya saling melengkapi dan akan tempang jika bersendirian. Amat rugi sekiranya kita hanya mengambil salah satu dan meninggalkan yang lain.
 
    Seseorang yang menyibukkan dirinya dengan belajar dan meninggalkan persatuan, mereka memperoleh manfaat hanya kepada diri mereka sahaja dan telah mengabaikan amanah mereka kepada orang lain.
 
    Adapun mereka yang menyibukkan diri dengan persatuan dan mengabaikan ilmu juga adalah suatu perkara yang tidak wajar kerana berpersatuan inilah sepatutnya menjadikan kita untuk lebih berthaqafah dan menuntut ilmu lebih daripada orang lain


Sabda Rasulullah SAW: "بلغوا عني ولو اية", yang bermaksud “Sampaikanlah dariku walau satu ayat”.

    Hadis ini cukup jelas, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk menyampaikan ilmu yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada orang lain dan untuk menyampaikannya kepada yang lain kita mestilah berada dalam kelompok masyarakat dan medium² tersebut telah tersedia dalam setiap persatuan seperti tazkirah, kelas pengajian, usrah dll. Namun, seseorang tidak mampu untuk memberi sekiranya dia tidak mempunyai perkara tersebut.
 
    Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengambil peluang yang banyak di bumi Mesir ini untuk menambah ilmu pengetahuan dengan bertalaqqi dengan para Masyaikh dan dalam masa yang sama terus giat aktif dalam berpersatuan di Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) masing.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD KAMIL BIN AMRI
Bendahari Agung BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]