[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA KEBANGGAAN ISLAM ]


بسم الله الرحمن الرحيم
   Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta para sahabatnya dan mereka yang mengikut jalan dakwahnya hingga ke harini.

Rasulullah SAW telah bersabda:
لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن شبابه فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ
“Tidak akan berganjak langkah seorang hamba itu pada hari Kiamat, sehinggakan ditanya akan dia 4 perkara: akan umurnya atas apa yang telah dia habiskan, akan waktu mudanya atas apa yang telah dia tunaikan, akan ilmunya yang telah dia amalkan dengannya, dan akan hartanya daripada mana telah dia usahakan dan telah infakkan”

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
   Remaja dan pemuda merupakan aset yang penting buat Islam, sehinggakan dikhususkan oleh Nabi SAW di dalam hadisnya diatas, berkenaan usia muda seseorang. Adakah pada waktu mudanya dihabiskan dengan membantu agama Allah, atau dibiarkan ia berlalu dengan melakukan amalan-amalan yang tidak berfaedah? Persoalan tersebut haruslah ditanya oleh diri setiap pemuda supaya diberi kesedaran dan matlamat yang jelas dalam hidupnya.

   Waktu muda adalah waktu keinginan dan semangat seorang manusia itu meningkat dan berkobar-kobar. Pada usia inilah para remaja akan mencuba-cuba untuk melakukan sesuatu perkara yang baharu, bersesuaian dengan semangat yang mereka miliki. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan masalah sosial berlaku adalah dalam kalangan remaja dek kerana kurangnya didikan dan tarbiah daripada ibubapa dan persekitaran yang tidak sihat. Pepatah melayu pernah menyebut 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Oleh itu, seorang pemuda itu perlulah dipandu dan dididik dengan didikan nilai-nilai Islam dari awal usianya. Hal ini sangat dititikberatkan oleh kebanyakan ulama terdahulu sehinggakan ditulis sebuah kitab yang berjudul 'Tarbiyyatul Aulad', sebagai panduan untuk mentarbiyah anak-anak muda ini.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah,
   Sejarah telah membuktikan betapa besarnya peranan remaja dalam penyebaran agama Islam pada awal kemunculan Islam. Hal ini dijelaskan, antara golongan yang terawal memeluk agama Islam adalah dari golongan remaja, seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khatab, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud, Bilal bin Rabah, Abdul Rahman bin 'Auf dan ramai lagi. Mereka semuanya adalah pemuda yang berusia dalam linkungan 20 hingga 30 tahun. Betapa beruntungnya golongan ini yang telah mendapat pendidikan secara langsung daripada Nabi Muhammad SAW. Nabi SAW telah mendidik mereka daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara yang berkaitan jihad dan pembinaan sebuah negara Islam berpandukan wahyu Allah SWT.

   Ali bin Abi Talib dengan semangat dan perasaan kasihnya terhadap Nabi SAW, beliau telah menggantikan tempat tidur Baginda SAW pada malam penghijarahan Nabi ke Madinah, hal ini bagi mengelakkan kaum kafir Quraisy  membunuh baginda SAW. Begitulah jiwa seorang remaja yang telah ditanam dengan rasa cinta akan Rasul, yang sanggup berkorban jiwa dan diri semata-mata untuk menyelamatkan utusan Allah itu.

   Abdul Rahman bin 'Auf ialah seorang remaja yang kaya dan bangsawan di Mekah pada zaman Nabi SAW. Tatkala datangnya seruan untuk berhijrah ke Madinah bersama Nabi SAW, maka Abdul Rahman bin 'Auf telah mengorbankan seluruh harta dan kekayaannya semata-mata untuk bersama dengan Nabi SAW. Tindakan beliau seharusnya menjadi contoh buat para remaja, beliau telah mendahulukan seruan Nabi SAW berbanding nilai sebuah harta yang bersifat sementara demi agama Islam yang dicintai.

   Pada zaman Khilafah Umawiyyah, zaman yang terkenal dengan عصر الفتوح,  iaitu zaman penaklukan negara-negara dibawah taklukan agama Islam. Zaman tersebut telah menyaksikan bahawa Islam pernah tersebar sehingga ke negara-negara barat di bawah wilayah Andalusia. Lebih menakjubkan lagi apabila usaha penyebaran risalah Islam tersebut telah digalas oleh para-para pemuda, antaranya Musa bin Nusair dan Thoriq bin Ziyad. Betapa besarnya jasa dan sumbangan golongan remaja pada waktu itu.

Firman Allah SWT:
(وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا)
Bermaksud: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." Surah Al-Kahfi ayat 14

   Ayat al-Quran diatas jelas menunjukkan pendirian seorang pemuda yang berani mempertahankan akidah mereka daripada diseleweng oleh pemerintah yang zalim pada waktu ketika itu. Mereka seramai 7 orang pemuda yang datang dari latar belakang yang berlainan, yang saling tidak mengenali antara mereka. Akan tetapi, apabila mereka bersatu  diatas dasar menyelematkan akidah mereka, Allah telah satukan hati-hati mereka dan terselamatlah mereka daripada ancaman yang dihadapi.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Harus kita sedar bahawa segala usaha dan semangat perjuangan dalam jiwa pemuda pada waktu dahulu adalah hasil tarbiyah dan didikan Nabi SAW kepada mereka. Tanpa wahyu Islam, maka tiadalah cahaya Islam sehingga kini, tanpa tarbiyah Islam, pasti jiwa akan rebah, tanpa kesedaran Islam, pasti Islam tidak akan tersebar luas. Saidina Umar Al-Khatab pernah berkata:
نحن القوم أعزنا الله بالإسلام
(Kami adalah kaum, yang Allah muliakan dengan Islam)

   Jadilah kita seorang pemuda kebanggaan Islam, yang sentiasa mendukung Islam, memperjuangkan Islam, dan melaksanakan gerak kerja dakwah. Ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukan kerja dakwah ini. Allah SWT berfirman:

(وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ)
Bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Akhir kalam,
   Pada era masa kini, pelbagai cabaran dan mehnah yang dihadapi oleh umat Islam. Mehnah dari segi ancaman daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa mengatur langkah untuk menghancurkan umat Islam, dan sasaran utama mereka adalah daripada golongan remaja. Hal ini disebabkan remaja merupakan aset yang terpenting bagi sesebuah negara. Sebagaimana kata seorang cendekiawan “Jika engkau ingin lihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah remajanya”.

   Pelbagai gerak kerja dan strategi yang harus kita lakukan, demi menyedarkan pemuda betapa pentingnya hidup bermatlamatkan Islam. Tidaklah cukup sekadar kita menekankan skop pembinaan rohani sahaja, lalu mengabaikan skop yang lebih luas untuk mentadbir negara dengan acuan Islam. Bukanlah Islam hanya sekadar taat kepada Allah melalui amalan hati sahaja, bahkan ia perlu dibenarkan dengan lisan dan dizahirkan dengan amalan tubuh badan.

Jadilah kita para pemuda yang taat sebenar-benar taat kepada Allah. Ulama' memeberi takrifan 'taat' itu ialah:
الامتثال بأوامره واجتناب نواهه
Bermaksud: Taat itu itu memegang teguh dengan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya

   Justeru itu, lazimilah kita dengan sebuah kelompok yang sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah, supaya jiwa pemuda kita dapat diatur dan dibentuk dengan baik. Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) merupakan satu wadah yang sangat mementingkan aspek pembinaan sakhsiah individu muslim. Padanya terdapat aspek tarbiah, aspek pendidikan, aspek pembinaan jasmani yang semuanya itu didasari dengan sumber rujukan Islam yang asli iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

   Saya sudahi kalam saya dengan harapan agar para pemuda terus bergerak mara membantu agama Allah, menyebarkan Islam, dan membina sakhsiah diri dengan acuan Islam, supaya menjadilah kita seorang pemuda yang dibanggakan Islam.

Islam tidak memerlukan kita, tapi kita memerlukan Islam!

Disediakan oleh,
Amirul Arif bin Shukri
Setiausaha Agung BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]