[ BERITA: IHYA' TARBAWI RAMADAN 2020 (IHTIRAM ‘20) ]


KAHERAH, 28 April 2020 – Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana di atas kurniaan-Nya dapat kita sampai ke bulan Ramadan al -Mubarak ini. Sehubungan itu, program Ihya’ Tarbawi Ramadan 2020 (IHTIRAM ‘20) telah dianjurkan bagi mengalakkan ahli untuk beribadat kepada Allah. IHTIRAM ’20 adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKAWM) bagi memeriahkan suasana anak-anak Wilayah Persekutuan yang berpuasa di bumi Mesir. Program ini telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan, bermula daripada 24 April 2020 sehingga 23 Mei 2020.

Sambutan IHTIRAM ‘20 pada kali ini sangat berbeza daripada sambutan IHTIRAM pada sesi sebelum ini. Hal ini kerana wujudnya penyakit yang menular di seluruh dunia iaitu pandemik COVID-19 yang boleh menjangkiti semua orang. Seluruh pelajar disarankan untuk duduk di rumah dan keluar mengikut keperluan sahaja. Oleh sebab itu, pihak program telah memutuskan untuk menumpukan program di dalam asrama dan rumah sewa ahli sahaja.


Antara objektif IHTIRAM ’20 adalah menghayati serta menghidupkan kerohanian Ramadan, meningkatkan thaqafah Islamiah dan memupuk nilai ukhuwah Islamiah dalam kalangan anak Wilayah Persekutuan.

Program IHTIRAM ’20 telah dimulakan dengan solat sunat tarawih yang diimamkan oleh Yang Dipertua BKAWM, saudara Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri. Pembukaan program turut diserikan dengan tazkirah khas yang disampaikan oleh Pengawai Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan, En. Mohd Azrul bin Ismail.

Sehubungan dengan itu, sebahagian ahli telah dilantik untuk menjadi imam dan bilal tarawih serta menjadi pentazkirah bagi menghidupkan suasana kerohanian sepanjang Ramadan. Di samping itu, pihak jawatankuasa program telah membahagikan tugasan gerak kerja yang bertujuan untuk melatih ahli-ahli BKAWM bagi membiasakan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat kelak.


Antara inisiatif IHTIRAM '20 bagi memupuk nilai-nilai rohani sepanjang program berlangsung  antaranya ialah qiamullail, tadarus al-Quran, mengedarkan penanda buku yang berunsurkan fadhilat ibadat, mengeluarkan poster ibadat sunat sepanjang Ramadan dan memasang audio ayat suci al-Quran. Selain itu, , sebuah kempen kecil telah dijalankan yang diberi nama Our Mission iaitu kempen untuk menggalakkan ahli untuk lebih bersemangat untuk memperbanyakkan amalan di sepuluh akhir Ramadan.


Sepanjang program berlangsung, ia diserikan lagi dengan iftar mahabbah dan semestinya iftar jama’ie yang sering dinanti-nantikan oleh seluruh ahli. Secara tidak langsung ikatan silaturahim yang dibina antara ahli dapat diperkukuhkan. Selain itu, turut diadakan aktiviti Syantah Mahabbah iaitu bantuan berupa barangan keperluan asasi dan edaran bubur lambuk kepada ahli asrama dan ahli rumah sewa. Ini bertujuan untuk menyempurnakan objektif IHTIRAM ’20 iaitu menanam serta memupuk sifat ukhuwah Islamiah antara anak Wilayah Persekutuan.




Pengisian thaqafah juga tidak ditinggalkan dalam meningkatkan thaqafah Islamiah anak-anak Wilayah Persekutuan di mana pihak IHTIRAM ‘20 telah mengadakan video-video berbentuk ilmiah dengan kolaborasi bersama BKAN taakhi tentang amalan dan fadhilat berpuasa di samping mengeluarkan wallpaper infografik. Terdapat juga video berkaitan nuzul al-Quran dan Lailatul al-Qadar. Turut diadakan kuiz online bagi menguji kefahaman ahli berdasarkan video-video ilmiah tersebut.



IHTIRAM ’20 melabuhkan tirai pada 23 Mei 2020 bersamaan 30 Ramadan 1441 H dengan membuat majlis Khatam al-Quran di rumah masing – masing.

Akhirnya, pihak program ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli dan para penyumbang yang telah menyerikan suasana Ramadan melalui program IHTIRAM ’20 ini. Bersama-sama kita memohon agar Allah SWT menerima sumbangan kecil ini sebagai suatu amalan yang barangkali dapat membantu kita masuk ke syurga-Nya.

Harapan kami agar program IHTIRAM pada kali ini sedikit sebanyak berjaya menghidupkan suasana kerohanian dan mengukuhkan tautan ukhuwah seiring dengan objektif yang telah digariskan pihak program.

Disediakan oleh,
MOHAMAD AIMAN BIN MOHAMAD GHAZALI
Setiausaha,
Ihya Tarbawi Ramadan 2020 (IHTIRAM ‘20),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020.

Tarbiah Ramadan Dihayati, Meraih Maghfirah Ilahi

“Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan”
“BKAWM Keluarga Kita’’
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]