[ KALAM PIMPINAN: ILMU TUNJANG KEBERJAYAAN MAHASISWA ]


Bismillahirrahmanirrahim,

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat dan orang-orang yang mengikut jejak langkah baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah al-Mujadalah: 11)

Islam meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas utama kehidupan dan landasan bagi mencapai kejayaan. Sejarah telah membuktikan bahawa kedatangan Islam telah merubah dunia daripada dibelenggu kejahilan kepada zaman kegemilangan dan menjadi pemisah antara kegelapan dan cahaya kebenaran.

Oleh yang demikian, Islam mengajar umatnya bahawa menuntut ilmu merupakan satu kewajipan dan menjadi satu kayu ukur dalam menentukan baik buruk sesuatu perkara untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ayat al-Quran di atas telah jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang diberikan kepada mereka yang berilmu. Allah mengangkat kedudukan orang yang berilmu berbanding mereka yang tidak berilmu beberapa darjat di dunia dan di akhirat kelak.

Dalam konteks keperluan masyarakat pada hari ini, kita amat memerlukan individu yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, namun begitu individu yang mencakupi aspek iman dan akhlak keperibadian yang tinggi dalam diri seseorang.

Al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan utama dalam kita menuntut ilmu. Jika panduan ini tidak difahami dan dihayati, tidak mungkin kita menjadi umat Islam yang berjaya.

Kita boleh amati isu yang berlaku di Malaysia berkaitan arak seperti penjualan arak secara terbuka, pemandu yang mabuk dan nyawa individu terkorban akibat perbuatan si pemabuk.

Pengharaman arak telah jelas diterangkan dalam al-Quran berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 yang mengatakan bahawa arak adalah kotor serta salah satu amalan syaitan, dan seterusnya Allah memerintahkan agar hamba-hamba menjauhinya.

Namun terdapat segelintir masyarakat Islam yang tidak bersetuju sekiranya arak diharamkan. Perkara ini adalah bertentangan dengan perintah Allah SWT dalam syariat Islam.

Oleh itu, peringatan buat kita sebagai mahasiswa, menuntut ilmu bukan sekadar bermaksud mengumpul sebanyak ilmu yang mungkin, sebaliknya apa yang lebih penting bagi umat Islam adalah wajib mengamalkan ilmu yang dipelajari selari dengan tuntutan Islam yang sebenar.

Akhirnya, kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu. Moga-moga Allah SWT memberi kefahaman agama dan ilmu yang bermanfaat kepada kita agar dapat disampaikan kepada masyarakat di luar sana, di samping menjadi saham kita di akhirat nanti sepertimana dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." Riwayat Muslim.

Disediakan oleh:
SITI AISYAH BINTI DZULKIFLI,
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020.

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]