[ KALAM PIMPINAN: KITA PENYAMBUNG RISALAH NABI ]



Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam yang menciptakan langit dan bumi, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi dan kita rindui.

Bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan rahmat yang telah diberikan setiap detik dalam kehidupan kita serta budi dan pengorbanan yang tidak terkira keatas penghulu kita Nabi Muhammad SAW atas dakwah penyebaran Islam yang kita sedang nikmati pada saat ini.

Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT kepada umat akhir zaman. Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW diturunkan adalah bertujuan untuk membawa risalah yang telah diamanahkan keatasnya oleh Allah SWT untuk disampaikan kepada sekalian makhluk pada akhir zaman.

Rasulullah SAW tampil sebagai pembawa risalah Islam yang mencakupi هدى dan دين الحق. Selain itu, Rasulullah juga hadir sebagai saksi, pembawa berita gembira dan peringatan, menyeru ke jalan Allah dan sebagai pelita yang menerangi agar kita semua dapat keluar daripada kegelapan.

Bukan itu sahaja, misi risalah atau tujuan diutusnya Nabi Muhammad SAW ke dunia ini adalah bertujuan untuk membawa rahmat dan kasih sayang kepada alam semesta. Risalah nabi bersifat universal untuk semua manusia, tidak hanya untuk mereka yang beriman, tetapi juga bagi mereka yang tidak beriman.

Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad juga tidak hanya tertumpu kepada suatu perkara. Malah ia mencakupi pelbagai jenis aspek seperti prinsip hidup, moral, ibadah, akidah untuk mengatur kehidupan manusia agar wujudnya kebahagiaan dunia dan akhirat.

Bunga melur bunga melati,
  Tumbuh mekar ditepi timba,
Setiap yang hidup pasti mati,
  Bila suratan ajal sudah tiba.

Sebagai seorang muslim yang beriman wajib keatas kita beriman dengan qada' dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita perlu meyakini bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati, tidak kira yang beriman atau tidak beriman, tua atau muda, kaya mahupun miskin pasti akan merasai mati. Bertepatan dengan ayat al-Quran:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya: setiap yang hidup pasti merasai mati

(Surah Ali-Imran: 185)

Rasulullah SAW telah pun wafat dan meninggalkan kita sejak 1400 tahun yang lalu. Baginda telah pun berjaya menyelesaikan amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT keatasnya dengan menyampaikan semua risalah kepada sekalian manusia sebagai petunjuk untuk mencari reda Allah. Sehubungan dengan itu, kewafatan Rasulullah SAW tidak bererti penyebaran risalah itu berhenti begitu sahaja, ia perlu diteruskan agar generasi yang akan datang juga akan mendapat nikmat dan rahmat yang sama agar Islam kekal dijunjung hingga ke akhirnya. Kita dapat lihat setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, setiap urusan agama, negara dan sebagainya telah disambung oleh Khulafa' ar-Rasyidin seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar, Sayidina Uthman dan Sayidina Ali. Mereka terus membawa dan menyebarkan setiap risalah yang telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada seluruh manusia dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah bukan hanya sekadar mengikut hawa nafsu sahaja.

Disebabkan itu, kita dapat lihat bahawa bukan nabi sahaja yang bertanggungjawab atas penyebaran risalah ini bahkan ia adalah tanggungjawab kepada setiap individu yang bergelar muslim.

Pada era globalisasi ini, kita perhatikan bahawa mereka yang menyambung perjuangan ini adalah mereka yang bergelar ulama yang pakar dan mahir dalam agama, mereka memberikan komitmen yang sepenuhnya hanya menyampaikan risalah ini kepada umat manusia sehinggakan para ulama masa kini senantiasa menjadi rujukan kepada umat Islam diseluruh pelusuk dunia.

Dalam mendepani cabaran masa kini, kita perlu meletakkan diri kita dalam zon yang tidak selesa. Hal ini kerana para ulama juga merupakan seorang manusia biasa, berdasarkan ayat al-Quran diatas, kita perlu tahu bahawa mereka juga akan mati dan pergi meninggalkan kita.

Jadi apakah persiapan kita?
Siapakah yang akan menyambung untuk menyampaikan risalah ini kepada umat manusia?
Adakah ia berhenti begitu sahaja?

Jawapannya TIDAK.

Sebagai seorang muslim, kita perlu meletakkan diri kita juga sebagai pewaris yang akan meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan risalah yang telah diberikan oleh baginda kepada kita. Kita perlu berusaha sedaya upaya seperti yang telah dilakukan oleh orang sebelum kita dalam menjaga dan mengekalkan apa yang telah diwariskan. Pelbagai aspek yang perlu kita ketahui agar risalah yang kita ingin sampaikan tepat dan selari dengan apa yang diingini. Sebagai seorang muslim kita mestilah menuntut ilmu kerana itu adalah kewajipan keatas diri kita, dengan ilmu kita mampu untuk menyampaikan dan menerangkan kepada manusia yang lain dengan baik. Tanpa ilmu kita akan menjadi seorang yang tidak memberi sebarang manfaat dan tidak mampu untuk membantu agama kita walau apa jua keadaan. Seterusnya, dalam usaha untuk menyambung dan menyampaikan risalah ini kita wajib berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini kerana ia adalah tuntutan daripada nabi Muhammad SAW sendiri keatas umatnya pada khutbah terakhir baginda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ
Maksudnya:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan suunahku.” (HR al-Hakim)

Sehubungan dengan itu, dua aspek tersebut merupakan suatu perkara yang amat penting bagi kita kerana aspek tersebut merupakan kunci utama dalam menyampaikan risalah-Nya kepada umat manusia. Sekiranya kita gagal memiliki dua perkara tersebut, maka kita juga gagal untuk memelihara agama Islam. Lebih menyayat hati adalah apabila kita gagal untuk menyambung perjuangan kekasih kita Nabi Muhammad SAW yang mana baginda telah mengorbankan nyawa, jiwa dan raganya hanya untuk melihat kita mendapat rahmat dan nikmat yang ingin baginda sampaikan. Oleh itu, marilah kita bersedia dengan apa yang diperlukan untuk menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW serta menyampaikan risalah yang telah diberikan kepada kita.

Disediakan oleh:

RASYDAN DANIAL BIN ROSLAN
Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
sesi 2019/2020

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]