[ KALAM PIMPINAN: KONSEP ILMU YANG SEBENAR DALAM ISLAM ]


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita terus thabat dalam menyampaikan risalah Rasulullah SAW.

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata daripada Rasulullah SAW:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Maksudnya: "Jika seseorang itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh" (HR. Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, apa yang ingin difokuskan di sini ialah apabila seseorang itu telah tamat riwayat hidupnya, selain doa anak yang soleh dan sedekah jariyah, maka yang bersamanya itu nanti juga adalah ilmu yang telah dimanfaatkannya semasa hidup.

Sebagai orang Islam yang beriman, diwajibkan ke atas kita untuk menuntut ilmu sehingga akhir hayat. Kenapa ilmu yang menjadi salah satu tumpuan? Ini adalah kerana ilmu itu cahaya yang Allah nyalakan di dalam hati supaya kita terus berjalan di atas jalan kebenaran menuju Allah.

Salah satu daripada 10 Muwasafat Tarbiah yang disusun oleh Imam Hassan al-Banna ialah مثقف الفكر iaitu fikiran yang berpengetahuan. Bagi melahirkan generasi yang berwibawa, pentingnya umat Islam kini menuntut ilmu sebanyak yang mungkin, bukan sekadar menuntut ilmu agama tetapi perlunya juga kita kuasai ilmu kontemporari.

Ilmu pengetahuan yang seimbang, iaitu yang mengintegrasi antara ilmu agama dan ilmu kontemporari akan memperlihatkan kepada kita yang berakal ini satu konsep yang jelas dan pemahaman yang baik tentang ajaran agama Islam yang syumul. Tambahan pula, kini kita menjadi umat yang seringkali dipersendakan oleh orang lain tentang kekurangan ilmu dan penguasaan ilmu yang tidak berkonsep, jadi dengan mengikut konsep yang betul, maka akan terlahirlah generasi yang berwibawa yang akan membantu dalam menjana kekuatan ummah, iaitu yang tidak boleh diperlekeh-lekehkan oleh umat lain.

Sahabat sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kita ingin menuntut sesuatu ilmu hatta sekecil kecil ilmu sekali pun, kita perlulah mengikut maratib ilmu yang telah ditetapkan, pertama sekali kita perlu niat ikhlas kerana Allah SWT, seterusnya kita haruslah mendengarkan ilmu tersebut, kemudian kita memikirkan sambil merenungkan akan ilmu yang telah kita dengari itu, setelah kita memikirkan dan menerima ilmu tersebut, maka perlulah kita menulis, hafal dan fahamkan ilmu itu agar ia sentiasa tersemat di dada, kemudian kita mengamalkannya serta kita menyampaikan kepada orang lain.

Rasulullah SAW juga ada bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku, meskipun satu ayat.”
(HR. Bukhari)

Imam Ghazali r.a telah menekankan perihal pentingnya iman, ilmu, amal dan ikhlas. Bahkan asas untuk membolehkan seseorang itu ke syurga Allah ialah iman, ilmu, amal dan ikhlas.

Beliau berkata,

"Orang yang tidak berilmu akan mendapat seksaan, orang yang berilmu tanpa amalan juga menerima seksaan, orang yang beramal tanpa keikhlasan turut diseksa."

Oleh sebab itu, penting bagi kita menjadikan iman, ilmu, amal dan ikhlas sebagai asas dan panduan dalam kehidupan seharian kita.

Maka sahabat sekalian, jadilah kita seperti air sungai yang sentiasa mengalir tanpa henti, yakni yang sentiasa terus menerus menuntut ilmu tanpa henti, dan jadilah seperti tanah yang subur yang apabila hujan membanjirinya ia menyerap air dan menumbuhkan banyak tumbuhan yang segar, iaitu yang mengamalkan dan memberi manfaat dengan penuh keikhlasan kepada kehidupan yang lain setelah memperolehi sesuatu ilmu tersebut.

Akhir sekali, marilah bersama-sama kita mengamalkan doa yang pernah dibacakan oleh Nabi SAW yang berbunyi:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

" Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, amalan yang diterima."

Wallahu a'lam.

Disediakan oleh:
NUR NAJWA LAILI BINTI MOHD KHIRI @ MOJD KHAIRI
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
sesi 2019/2020

Comments

Popular posts from this blog

Mencipta Semangat untuk Sentiasa Mengemas Rumah

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]